MENGAPA MESTI MENGIKUTI MANHAJ SALAF DALAM BERAGAMA?

Image

Terdapat beberapa sebab yang mendasar mengapa umat Islam perlu menjadikan manhaj generasi al-Salaf al-Shalih sebagai manhaj yang perlu diikuti di dalam memahami dan mempraktikkan ajaran agama Islam. Antara sebab yang utama adalah seperti berikut:

PERTAMA

Perbezaan kefahaman dan tafsiran terhadap sumber hukum Islam iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah yang wujud di kalangan pelbagai aliran dalam Islam hari ini menuntut agar umat Islam perlu mencari satu rujukan yang ‘standard’ yang bertindak sebagai garis pemisah antara tafsiran yang benar dengan tafsiran yang salah terhadap kedua-dua sumber wahyu itu.

Maka dalam menghadapi suasana ini, manhaj generasi al-Salaf al-Shalih dilihat sebagai satu ‘petanda ukur’ terbaik yang bertindak sebagai tirai pemisah antara kefahaman yang haq dengan yang batil terhadap ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Perkara ini telah pun diisyaratkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya menerusi banyak ayat al-Qur’an dan al-Hadis, antaranya seperti berikut:

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:[1]

Maksudnya: Maka jika mereka beriman sebagaimana kamu beriman, maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk. Dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu). Oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka. Dan Dialah jua Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Di dalam kitabnya yang berjudul Tafsir al-Qayyim, hlmn. 14, Ibnu al-Qayyim rahimahullah (751H) berkata ketika mentafsirkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang tertera di atas:[2]

Pada ayat ini Allah menjadikan iman para sahabat Nabi sebagai timbangan (pengukur) bagi membezakan antara petunjuk dan kesesatan, antara kebenaran dan kebatilan. Apabila Ahl al-Kitab beriman sebagaimana berimannya para sahabat, maka sungguh mereka mendapat hidayah (petunjuk) yang mutlak dan sempurna. Jika mereka (Ahl al-Kitab) berpaling (tidak beriman) sebagaimana imannya para sahabat, maka mereka jatuh ke dalam perpecahan, perselisihan dan kesesatan yang sangat jauh.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:[3]

فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ.

Maksudnya: Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham.

Menjelaskan maksud hadis ini, Syeikh al-Albani rahimahullah berkata:[4]

Dalam hadis ini terdapat dua sunnah, (iaitu yang pertama adalah) sunnah Rasulullah dan (yang kedua adalah) sunnah para Khalifah pengganti Rasulullah yang berada di atas petunjuk. Kita generasi terkemudian mesti merujuk kepada kitab Allah, sunnah Rasulullah dan jalan orang beriman. Kita tidak boleh bebas berleluasa memahami al-Qur’an dan al-Sunnah tanpa merujuk kepada kefahaman (generasi) Salaf pendahulu kita….

Atas dasar itu, menjadi suatu hakikat yang tiada tempat (untuk kita) lari darinya bahawa tidak cukup dengan hanya bersandar kepada al-Qur’an dan al-Sunnah tanpa disertai metod (manhaj) Salaf yang menjelaskan kedua-duanya dalam pemahaman ilmu dan amal serta dakwah dan jihad.

Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas hafizhahullah juga memiliki komentar yang amat baik mengenai hadis ini. Beliau berkata:[5]

Nabi mengkhabarkan akan terjadinya perpecahan dan perselisihan pada umatnya, kemudian Rasulullah memberikan jalan keluar untuk selamat di dunia dan akhirat, iaitu dengan mengikuti sunnahnya dan sunnah para sahabat. Hal ini menunjukkan tentang wajibnya mengikuti sunnahnya (Nabi) dan sunnah para sahabatnya.

Perhatikan pula firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Fatihah, ayat ke-7 seperti berikut:

Maksudnya: Tunjukilah kami ke jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka…

Penulis kitab Sittu Durar min Ushul Ahl al-Atsar, ‘Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani ketika menerangkan ayat di atas berkata:[6]

Ayat ini mencakupi pemahaman (generasi) Salaf terhadap jalan yang lurus itu, padahal tiada seorang pun merasa ragu bahawa orang yang berpegang teguh pada al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah, ia benar-benar berada di atas petunjuk yang membawanya kepada jalan-jalan yang lurus.

Namun, manakala pemahaman manusia terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah tidak memiliki kesamaan, ada yang benar dan ada pula yang salah, maka untuk memahami keduanya, diperlukan pokok yang ketiga bagi menghilangkan perbezaan tersebut, iaitu pemahaman Khalaf harus dikaitkan dengan pemahaman Salaf.

KEDUA

Sesungguhnya kemuliaan dan keutamaan generasi ini telah pun dipersaksikan dan diperakui sendiri oleh nas-nas al-Qur’an dan al-Hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih, antaranya ialah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah at-Taubah, ayat 117:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang), kemudian Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka.

Kemudian dalam surah yang sama di atas, ayat 100, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Maksudnya: Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang mula-mula (masuk Islam) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti (jejak langkah) mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pula redha kepada-Nya. Dan Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.

Imam Malik rahimahullah berkata mengenai ayat di atas sebagaimana disebut di dalam kitab I’lam al-Muwaqqi’in jilid 4, hlmn. 129:[7]

Sesungguhnya ayat ini mengandungi pujian terhadap para sahabat dan sanjungan ke atas mereka. Mereka berhak menjadi contoh ikutan, diambil kata-katanya dan layak menerima sanjungan bagi sesiapa yang mengikuti keseluruhan mereka atau mengikuti setiap perbuatan mereka selagi mereka tidak menyalahi nas.

Hakikat ini diperkukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabdanya:[8]

خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.

Maksudnya: Sebaik-baik umatku ialah kurunku (iaitu para sahabat) kemudian kurun selepas mereka (tabi’in) kemudian kurun selepas mereka (tabi’ut tabi’in).

Kemuliaan, keistimewaan dan keutamaan para sahabat juga turut dirakamkan oleh ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anhu melalui kata-katanya:[9]

إِنَّ اللهَ نَظَرَ إِلَى قُلُوْبِ الْعِبَادِ، فَوَ جَدَ قَلْبَ مُحَمَّدٍ خَيْرَ قُلُوبِ الْعِبَادِ، فَاصْطَفَاهُ لِنَفْسِهِ، فِاَبْتَعَثَهُ بِرِسَالَتِهِ، ثُمَّ نَظَرَ فِي قُلُوْبِ الْعِبَادِ، بَعْدَ قَلْبِ مُحَمَّدٍ، فَوَجَدَ قُلُوْبَ أَصْحَابِهِ خَيْرَ قُلُوْبِ الْعِبَادِ، فَجَعَلَهُمْ وُزَرَاءَ نَبِيِّهِ، يُقَاتِلُوْنَ عَلَى دِيْنِهِ، فَمَا رَأَى الْمُسْلِمُوْنَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ حَسَنٌ، وَمَا رَأَوْا سَيِّئًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ سَيِّءٌ.

Maksudnya:  Sesungguhnya Allah melihat hati hamba-hamba-Nya dan Allah mendapati hati Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam  adalah sebaik-baik hati manusia, maka Allah memberikan risalah kepadanya, kemudian Allah melihat dari seluruh hati hamba-hamba-Nya setelah Nabi-Nya, maka didapati bahawa hati para sahabat merupakan hati yang paling baik sesudahnya. Maka Allah jadikan mereka sebagai pendamping Nabi-Nya yang mereka berperang untuk agama-Nya. Apa yang dipandang kaum Muslimin (para sahabat) itu sebagai baik maka itu baik pula di sisi Allah dan apa yang mereka pandang sebagai buruk, maka di sisi Allah itu adalah buruk.

KETIGA

Termasuk dalam perkara  yang disepakati di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ialah berpegang kepada manhaj generasi al-Salaf al-Shalih yang terdiri dari kalangan para sahabat (iaitu golongan Muhajirin dan Ansar secara umum dan Khulafa’ al-Rasyidin secara khusus), generasi tabi’in serta generasi tabi’ut tabi’in.  Oleh kerana itu, ketika menghuraikan pengertian ‘ash-Shirath al-Mustaqim’, al-Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah menulis di dalam kitabnya, Madarijus Salikin jilid 1, hlmn. 72-73:[10]

Setiap orang yang lebih mengenal al-Haq (kebenaran) dan paling banyak mengikutinya, mereka lebih utama memperoleh jalan yang lurus itu. Dan tiada keraguan bahawasanya para sahabat Rasulullah lebih utama dan lebih pantas untuk memiliki sifat ini daripada Syi’ah Rafidhah. Oleh sebab itu, para Salaf menafsirkan “ash-Shirath al-Mustaqim wa Ahluhu” (jalan yang lurus dan penempuhnya) adalah Abu Bakar ash-Shidiq, ‘Umar al-Khaththab dan para sahabat Rasulullah.

Berkata al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah:[11]

أُصُوْلُ السُنَّةِ عِنْدِنَا التَّمَسُّكُ بِمَا كَانَ عَلَيْهِ أَصْحَابُ رَسُولَ اللهِ وَالاِقْتِدَاءُبِهِمْ

Maksudnya: Asas-asas sunnah menurut pandangan kami (ialah) berpegang teguh pada apa yang menjadi pijakan para sahabat Rasulullah dan mengikuti jejak mereka.

KEEMPAT

Mengikuti manhaj generasi al-Salaf al-Shalih, secara khususnya para sahabat adalah termasuk dalam perkara yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nisa’, ayat 115 seperti berikut:

Maksudnya: Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalannya orang-orang mukmin, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam. Dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Setelah membawakan keterangan Syeikh al-Islam mengenai tafsir ayat di atas bahawa yang dimaksudkan dengan jalan orang-orang mukmin ialah merujuk kepada golongan para sahabat, Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat hafizhahullah mengulas di dalam kitabnya, Lau Kaana Khairan Lasabaquunaa Ilaihi:[12]

Bahawa Allah telah menegaskan sesiapa yang memusuhi Rasul dan mengikuti selain jalannya para sahabat sesudah nyata baginya kebenaran, maka Allah akan menyesatkannya ke mana dia tersesat. Kemudian Allah mengancamnya dengan (neraka) janaham seburuk-buruk tempat kembali. Ayat yang mulia ini merupakan sebesar-besar ayat dan dalil yang paling tegas dan terang, bahawa wajib bagi kita mengikuti perjalanan para sahabat iaitu cara beragamanya para sahabat atau manhaj mereka di dalam beragama secara ilmu, amal dan dakwah.

Serentak dengan itu, Syeikh al-Albani rahimahullah menjelaskan:[13]

Sesungguhnya Allah Maha Suci daripada perbuatan sia-sia, maka tidak diragukan lagi bahawa penyebutan sabilil mukmin itu tentunya untuk suatu hikmah dan manfaat yang besar ertinya. Disebut oleh-Nya untuk menunjukkan kepada kita bahawa dalam mengikuti kitab Allah (al-Qur’an) dan al-Sunnah Nabi-Nya, ada lagi satu kewajipan yang sangat penting iaitu ia haruslah sesuai dengan apa yang difahami oleh generasi kaum muslimin yang terawal, yang terdiri daripada para sahabat Rasulullah dan kemudiaannya diikuti oleh generasi sesudah mereka. Allah berfirman (maksudnya): Dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar. Sedangkan orang yang meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah di satu sisi dan kefahaman salaf pada sisi yang lain bukanlah dia seorang yang benar dan jujur sama sekali.

Dalam kenyataannya yang lain, beliau menjelaskan maksud surah al-Nisa’, ayat 115 di atas:[14]

Allah telah menyebutkan dalam ayat ini sebuah peringatan keras tentang menyelisihi Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam dan menentang baginda. Kemudian Allah menghubungkan hal ini dengan firman-Nya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin. Tidak diragukan lagi bahawa orang-orang mukmin yang mana Allah mengingatkan kaum muslimin supaya tidak menyelisihi jalan mereka, tidak diragukan lagi bahawa mereka adalah orang-orang yang disebutkan dalam ayat yang telah lalu: Iaitu orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik. Sesungguhnya Allah telah meredai mereka dan mereka pun telah reda kepada-Nya.

Syeikh al-Albani rahimahullah juga menegaskan:[15]

Kita tidak mempunyai jalan untuk mencapai sunnah tersebut dan mengetahuinya melainkan melalui jalan (manhaj) para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana itu, maka tidak ada jalan lain agar seorang muslim menjadi bahagian golongan yang selamat kecuali dengan mengikuti al-Kitab dan al-Sunnah serta berasarkan pemahaman para al-Salaf al-Shalih.

KELIMA

Berpegang teguh kepada manhaj generasi al-Salaf al-Shalih juga termasuk dalam perkara yang diwasiatkan oleh para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Perhatikan wasiat-wasiat mereka di bawah ini:

Hudzaifah bin al-Yaman berkata:[16]

كل عبادة لم يتعبد بها أصحاب رسول الله فلا تتعبدوا بها، فإن الاول لم يدع للآخر مقالا، فاتقوا الله يا معشرالقراء خذوا طريق من كان قبلكم.

Maksudnya:  Setiap ibadah yang tidak pernah dilakukan oleh sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, janganlah kamu melakukannya. Sebab, sesungguhnya generasi pertama itu tidak memberikan kesempatan kepada generasi berikutnya untuk berpendapat (dalam masalah agama). Bertaqwalah kepada Allah wahai para qurra’ dan ambillah jalan orang-orang sebelum kamu.

Berkata ‘Abdullah bin Mas’ud:[17]

من كان مستنا فليستن بمن قد مات، أولئك أصحاب محمد كانوا خير هذه الأمة، وأبرها قلوبا، و أعمقها علما، وأقلها تكلفا، قوم اختارهم الله لصحبة نبيه ونقل دينه فتشبهوا بأخلاقهم وطرا ئقهم فهم كانو على الهدي المستقيم.

Maksudnya: Barangsiapa mengikuti jejak (seseorang) maka ikutilah jejak orang-orang yang telah wafat. Mereka adalah para sahabat Muhammad. Mereka adalah sebaik-baik umat ini, paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, dan paling sedikit berpura-pura. Mereka adalah satu kaum yang dipilih Allah untuk menjadi sahabat Nabi-Nya dan menyebarkan agama-Nya. Maka dari itu, berusahalah untuk meniru akhlak dan cara mereka kerana mereka telah berjalan di atas petunjuk yang lurus.

Khalifah yang adil, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz berkata:[18]

قف حيث وقف القوم فإنهم عن علم وقفوا، وببصر نافذ كفوا، و هم على كشفها كانوا أقوى، وبالفضل لو كان فيها أحرى.

Maksudnya: Berhentilah kamu seperti berhentinya para sahabat (dalam memahami nas). Sebab mereka berhenti berdasarkan ilmu dan dengan penglihatan yang tajam mereka menahan (diri). Mereka lebih mampu untuk menyingkapnya dan lebih patut dengan keutamaan seandainya hal tersebut ada di dalamnya.

al-Imam al-Auza’i berkata:[19]

عليك بآثار من سلف و إن رفضك الناس، إياك وآراء الرجال و إن زخرفوها لك بالقول، فإن الأمر ينجلي و أنت على طريق مستقيم.

Maksudnya:  Hendaklah engkau berpegang kepada atsar para   pendahulu (Salaf) meskipun orang-orang menolakmu. Selain itu, jauhkanlah dirimu dari pendapat para tokoh (kemudian yang bertentangan dengan pegangan para Salaf) meskipun dia menghiasi pendapatnya dengan perkataan yang indah. Sesungguhnya hal itu akan jelas, sedang kamu berada di atas jalan yang lurus.

Seterusnya, perhatikan pula ucapan al-Imam Malik bin Anas berikut:[20]

لَنْ يُصْلِحَ آخِرَ هَذِهِ الْأُمَّةِ إِلاَّ مَا أَصْلَحَ أَوَّلَهَا.

Maksudnya: Tidak akan dapat memperbaiki generasi akhir dari umat ini kecuali apa yang telah dapat memperbaiki generasi terdahulu.

Demikian beberapa sebab penting mengapa umat Islam perlu menjadikan manhaj generasi al-Salaf al-Shalih sebagai manhaj yang ‘standard’ yang perlu diikuti di dalam memahami dan mempraktikkan ajaran agama ini.

Nota kaki:

[1] Surah al-Baqarah, ayat 37.

[2] Lihat Al-Rasaa-il karya Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, jld. 1, ms. 38.

[3] Hadis riwayat Abu Daud, no. 4607, at-Tirmidzi, no. 2676 dan lain-lain. Disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh adz-Dzahabi. Lihat komentar Syeikh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil, no. 2455.

[4] Lihat Majalah al-Asalah vo. 9, ms. 86-90; dalam 15 Jati Diri Muslim Cemerlang karya Dr. Azwira Abdul Aziz, ms. 124.

[5] Lihat Al-Rasaa-il karya Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, jld.1 ms. 47.

[6] Lihat Sittu Durar min Ushuli Ahl al-Atsar  karya ‘Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani, ms. 129.

[7] Lihat Manhaj Salaf Akidah Salaf karya Ustaz Rasul bin Dahri, ms. 32.

[8] Hadis riwayat al-Bukhari, no. 3650.

[9] Atsar riwayat Ahmad 1/379, al-Hakim 3/78 dan ath-Thabrani, no. 8582. Disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir.

[10] Lihat Sittu Durar min Ushul Ahl al-Atsar karya ‘Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani, ms. 129.

[11] Riwayat al-Lalika’i dalam Syarh Ushul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, no. 317.

[12] Lihat Laukaana Khairan Lasabaquunaa Ilaihi karya Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, ms. 155.

[13] Lihat Majalah al-Asalah vo. 9, ms. 86-90; dalam 15 Jati Diri Muslim Cemerlang karya Dr. Azwira Abdul Aziz, ms. 123.

[14] Lihat at-Ta’liqatus Saniyyah, Syarh Ushulud Da’wah as-Salafiyyah karya Syeikh al-Albani, ms. 42-43.

[15] Lihat at-Ta’liqatus Saniyyah, Syarh Ushulud Da’wah as-Salafiyyah karya Syeikh al-Albani,  ms. 48-49.

[16] Diriwayatkan oleh Ibnu Baththah dalam kitabnya, al-Ibanah.

[17] Dikeluarkan oleh al-Baghawi dalam kitab Syarhus Sunnah 1/214 dan Ibnu ‘Abdil Barr dalam Jami’ al-Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlihi 2/947, no. 1810, tahqiq Abul Asybal Samir al-Zuhairi.

[18] Disebutkan oleh Ibnu Qadamah dalam Lum’atul I’tiqad Hadi Ila Sabilir Rasyad.

[19] Dikeluarkan oleh al-Khatib dalam kitab Saraf ash-habul Hadith, Imam al-Ajurri dalam asy-Syari’ah 1/445, no. 127. Disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Mukhtashar al-‘Uluw lil Imam adz-Dzahabi, ms. 138, Siyar A’lam an-Nubala’ 7/120 dan Jami’ al-Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlihi 2/1071, no. 2077.

[20]  Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdil Barr dalam at-Tamhid 15/292, tahqiq Usamah bin Ibrahim dan Ibnu al-Qayyim dalam Ighatsatul Lahfan min Mashayidhisy Syaithon 1/313, tahqiq Khalid ‘Abdul Lathif as-Sab’il ‘Alami.

Sumber: Mendulang Cinta Ilahi Dengan Ittiba’ Al-Rasul karya Mohd Hairi Nonchi, terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2012.

Oleh: Mohd Hairi Nonchi @ Cikgu Arie

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat

%d bloggers like this: