SYARAT – SYARAT SAH SOLAT

Image

Solat itu memiliki syarat- syarat dimana ia tidak sah tanpa syarat – syarat tersebut. Jika satu daripada syarat tersebut tidak dipenuhi maka batallah sembahyang yang dilakukan.

1.       ISLAM

Maka solat yang dikerjakan orang kafir tidak sah. Demikian juga sekalian ibadat yang lain, tidak sah jika yang melakukannya adalah orang kafir.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 97, maksudnya:

“ Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, sama ada lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.”

 

Ayat yang lain, Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur 39, maksudnya:

“ Dan orang-orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana ditanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu ia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya ( ketetapan ) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya.”

 2.       SUCI DARI HADAS KECIL DAN BESAR

Dalilnya adalah Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 6, maksudnya:

“ Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat ( padahal kamu berhadas kecil ), maka ( berwuduklah ) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu berjunub ( berhadas besar ) maka bersucilah dengan mandi wajib….”

 

Sehubungan dengan ini, daripada Umar r.anhu katanya, Nabi SAW bersabda:

“ Allah SWT tidak akan menerima solat tanpa bersuci terlebih dahulu dan tidak akan menerima sedekah hasil dari harta rampasan bukan miliknya.” [1]

 3.       SUCI BADAN, PAKAIAN DAN TEMPAT SOLAT

Jumhur Ulama telah bersepakat bahawa ia adalah termasuk syarat sah solat yang wajib dipenuhi. Mereka ( jumhur ulama ) berdalil kepada firman Allah SWT dalam surah al-Mudatthir ayat 4, maksudnya:

“ Dan pakaianmu,maka hendaklah engkau bersihkan.”

 

Manakala dari sunnah adalah sabda Nabi SAW kepada seorang perempuan yang beristihadhah:

“ Cucilah darah itu dan kemudian kerjakanlah solat!” [2]

 

Dari Mu’awiyah r.anhu, katanya:

“ Aku bertanya kepada kepada Ummu Habibah: ‘ Pernahkah Nabi SAW mengerjakan solat dengan memakai pakaian yang pernah dipakai ketika berjimak?’ Ummu Habibah menjawab: ‘ Benar, jika tidak ada kotoran disitu.’ [3]

 

4.       MASUK WAKTU

Maka kewajipan solat tidak ada sebelum masuk waktu dan tidak sah jika dilakukan selepas keluar waktunya. Oleh itu, maka setiap orang yang hendak mengerjakan solat wajib terlebih dahulu mengetahui waktu solat apakah sudah masuk atau belum. Sebab Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisaa’ ayat 103, maksudnya:

“ Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya.”

 

Maka sesiapa yang mengerjakan solat sebelum masuk waktu tentunya maka ia wajib mengulangi solatnya apabila ia telah tahu bahawa solatnya yang dilakukannya belum masuk waktunya.

5.       MENGHADAP KIBLAT

Seseorang yang melihat Kaabah diwajibkan menghadap kea rah Kaabah, manakala bagi yang tidak dapat melihatnya pula diwajibkan menghadap ke arahnya sahaja. Sebab, hanya inilah yang mampu dilakukan. Allah SWT tidak memberati seseorang melainkan berdasarkan kemampuannya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 144, maksudnya:

“ Palingkanlah mukamu kearah Masjidil Haram. Dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya.”

 

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW pernah bersabda. Dari Abu Hurairah r.anhu, katanya:

“ Nabi SAW bersabda: ‘ Arah yang terletak diantara Timur dan Barat itulah kiblat.” [4]

 

Hadis ini dikhususkan kepada penduduk kota Madinah dan daerah yang berhampiran  dengannya, seperti penduduk Syam, smenanjung Arab dan Iraq. Manakala kiblat penduduk Mesir pula terletak di antara timur dan selatan, manakala kiblat penduduk Yaman adalah dengan meletakkan kearah timur berada di sebelah kanan orang yang solat dan arah barat di sebelah kirinya. Penduduk India pula dikehendaki membelakangi timur dan menghadap ke barat dan demikianlah seterusnya.

BAGAIMANA PULA DENGAN SESEORANG YANG TIDAK MENGETAHUI ARAH KIBLAT?

 

Seseorang yang tidak mengetahui petunjuk – petunjuk kiblat disebabkan hari gelap atau cuaca berawan, diwajibkan bertanya kepada orang yang mengetahui sebelum mengerjakan solat. Sekiranya tidak ada orang yang mengetahui, hendaklah dia berijtihad dan mengerjakan solat mengikut arah yang di yakininya bahawa disitu merupakan arah kiblat. Solatnya tetap dianggap sah dan tidak wajib mengulanginya, meskipun arah kiblat itu ternyata salah setelah mengerjakan solat. Jika kekeliruan itu diketahui ketika sedang mengerjakan solat, hendaklah dia berpusing kearah kiblat tanpa harus menghentikan solatnya.

Dalilnya pada hadis Umar r.anhu, katanya:

 

“ Ketika kaum muslimin sedang mengerjakan solat subuh di Quba’, tiba-tiba datang seseorang lalu berkata: ‘ Malam tadi, Nabi SAW mendapat wahyu yang menyuruh supaya menghadap ke Kaabah. Oleh itu, hendaklah kamu menghadap ke arah sana.’ Ketika itu, wajah mereka masih lagi menghadap ke arah Syam. Sebaik mendengar itu, mereka pun berpusing menuju ke arah Kaabah.” [5]

 

 

BILAKAH KEWAJIPAN MENGHADAP KIBLAT DIGUGURKAN?

 

a.       Solat sunat bagi seseorang yang berada di atas kenderaan

Seseorang yang berada di atas kenderaan dibolehkan mengerjakan solat sunat di atas kenderaannya, rukuk dan sujud dengan isyarat kepala. Namun, ketika sujud hendaklah kepalanya lebih rendah berbanding ketika rukuk, sementara arah arah kiblatnya adalah mengikut kepada arah kenderaannya.

Dari Amir bin Rabi’ah katanya:

“ Aku pernah melihat Nabi SAW mengerjakan solat di atas kenderaan mengikut arah kenderaan itu.”

Al – Bukhari menambahkan:

“ Beliau memberi isyarat dengan kepala, tetapi perbuatan begini tidak pernah dilakukan ketika mengerjakan solat fardhu.” [6]

 

Dalam riwayat Ahmad, Muslim dan at – Tirmizi pula sebagai berikut:

“ Nabi SAW mengerjakan solat di atas kenderaan sewaktu pulang dari Mekah menuju Madinah, dengan mengikut arah kenderaannya itu. Ketika itu, turunlah ayat: ‘….maka ke mana sahaja kamu arahkan diri ( ke kiblat untuk menghadap Allah ) maka di situlah arah yang di redai Allah….’ [7]

( Surah al – Baqarah ayat 115 )

 

Dari Ibarahim an-Nakh’I, beliau berkata: “ Mereka biasa mengerjakan solat di atas kenderaan dengan menghadap kea rah binatang-binatang yang mereka tunggangi.”

Ibnu Hazm berkata: “ Inilah pendapat yang diceritakan dari sahabat dan tabi’in pada umumnya, sama ada ketika bermukim, mahupun bermusafir.” [8]

 

b.      Solat orang yang dipaksa, orang yang sakit & ketakutan

Dibolehkan mengerjakan solat tanpa harus menghadap kiblat, jika mereka memang tidak mampu menghadap ke arahnya dengan betul.

Nabi SAW bersabda: “ Jika aku menyuruhmu supaya mengerjakan sesuatu perkara, maka lakukanlah mengikut keupayaanmu.” [9]

 

Allah SWT berfirman dalam surah al – Baqarah ayat 239, maksudnya:

“ Dan jika kamu takuti ( sesuatu bahaya ) maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan….”

 

Ibnu Umar r.anhu berkata: “ Ayat ini menegaskan bahawa, seseorang itu dibolehkan menghadap kiblat atau tidak menghadap ke arahnya dalam keadaan seperti ini.” [10]

 

6.       MENUTUP AURAT

 

Jumhur ulama bersepakat bahawa menutup aurat adalah salah satu syarat sah sembahyang. Dan pakaian yang dipakai mestilah tebal sehingga kulit badannya tidak dapat dilihat dengan penglihatan mata.

Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31, maksudnya:

“ Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat ( atau mengerjakan solat )….”

 

Hiasan disini bermaksud sesuatu yang digunakan untuk menutupi aurat, sedang yang dimaksudkan dengan masjid pula adalah solat. Jadi, ayat ini bermaksud: ‘ Tutuplah auratmu pada setiap kali kamu hendak mengerjakan solat!’

a.       Batasan aurat lelaki

Masing-masing lelaki dan perempuan mempunyai batasan aurat yang berbeza. Ada yang dinamakan aurat mughallazah ( berat ) dan aurat mukhaffafah ( ringan ). Aurat mughallazah bagi lelaki adalah kemaluan depan dan belakangnya. Maka seorang lelaki yang bersolat sedang kemaluan depan dan belakangnya terbuka atau tiba-tiba terbuka ditengah mengerjakan solat, sama ada terbuka semua atau sebahagiannya maka solatnya batal. Adapun aurat mukhaffafah baginya adalah mulai pusat sampai lutut selain kemaluan depan ( qubul ) dan belakang ( dubur ). Maka jika seseorang lelaki mengerjakan solat sedangkan pusatnya, dua paha, punggung atau perutnya terbuka, maka solatnya dianggap sah mengikut pendapat yang paling sahih, hanya sahaja dimakruhkan membiarkannya terbuka.

Dalil Ulama yang mengatakan tidak aurat

 

Ulama yang berpendapat bahawa paha, pusat dan lutut itu tidak termasuk aurat adalah berdasarkan hadis daripada ‘Aisyah r.anha, bahawa:

“ Pada suatu ketika, Nabi SAW sedang duduk dalam keadaan pahanya terbuka. Abu Bakar meminta izin masuk menjumpainya dan Nabi SAW mempersilakannya, sedang beliau tetap dalam keadaan seperti itu. Kemudian Umar meminta izin masuk untuk menjumpainya dan Nabi SAW mempersilakannya, sedangkan beliau tetap dalam keadaan seperti tadi. Lalu datanglah Uthman meminta izin masuk, maka Nabi SAW pun menarik kain sekaligus menutup bahagian pahanya yang terbuka itu. Setelah mereka pergi meninggalkan rumah Nabi SAW, aku bertanya kepadanya: ‘ Wahai Rasulullah! Ketika Abu Bakar dan Umar meminta izin masuk untuk berjumpa denganmu, kamu mempersilakan mereka masuk, sementara pakaianmu tetap seperti asalnya. Tapi ketika Uthman meminta masuk, kenapa kamu menarik pakaian dan menutup pahamu yang terbuka itu?’ Nabi SAW menjawab: ‘ Wahai ‘Aisyah! Tidakkah aku berasa malu kepada Uthman! Demi Allah! Para malaikat sungguh merasa

malu kepadanya? [11]

 

Dalam hadis yang lain Anas r.anhu berkata:

“ Pada waktu perang Khaibar, Nabi SAW menyingsingkan kainnya hingga ke pahanya dan aku melihat pahanya yang putih itu.” [12]

 

Ibnu Hazm berkata: “ Dalam masalah ini, jelaslah bahawa paha bukanlah aurat. Sekiranya aurat, tentunya Allah ‘Azza Wa Jalla tidak membiarkan pada Rasulullah SAW terbuka. Padahal beliau adalah seorang yang dijamin kesuciannya dan terpelihara dari dosa, sama ada dimasa kenabian mahupun dimasa kerasulan. Di samping itu, sekiranya ia aurat, tentulah beliau tidak akan memperlihatkannya kepada Anas bin Malik dan sahabat-sahabat yang lain. Padahal Allah Taala telah memelihara auratnya sejak usia kanak-kanak dan sebelum kenabiannya. Dalam Sahih al – Bukhari dan  Sahih Muslim  diriwayatkan dari jabir, bahawa pada suatu ketika, Rasulullah SAW ikut serta mengangkut batu-bata untuk membina semula Kaabah bersama orang ramai dan beliau ketika itu tetap memakai kain. Bapa saudaranya, Abbas bertanya kepadanya: ‘ Wahai anak saudaraku! Bagaimana kalau kamu tanggalkan kainmu itu dan kamu letakkan di atas bahumu sebagai alas?’ Kemudian Nabi SAW menanggalkan kainnya dan meletakkan kain itu di atas bahunya, tetapi akibatnya beliau pun jatuh pengsan. Sejak itu, tidak pernah lagi beliau terlihat telanjang.” [13]

 

Dari Muslim dari Abu al-‘Aliyah al-Barra’, katanya:

“ Abdullah bin ash-Shamit pernah menepuk pahaku dengan telapak tangannya seraya berkata: ‘ Aku pernah bertanya kepada Abu Zar, lalu dia menepuk pahaku sebagaimana aku menepuk pahamu sekarang ini, sambil berkata: ‘ Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW sebagaimana kamu bertanya kepadaku, maka beliau menepuk pahaku sebagaimana aku menepuk pahamu, seraya bersabda: “ Kerjakanlah solat tepat pada waktunya….” [14]

 

Ibnu Hazm berkata: “ Sekiranya paha itu aurat, tentu paha Abu Zar tidak disentuh oleh Rasulullah SAW dengan tangannya yang suci itu. Begitu pula Abu Zar, jika menurut pendapatnya bahawa paha itu adalah aurat, tentulah dia tidak akan menyentuh dengan tangannya. Demikian juga halnya Abdullah bin ash-Shamit dan Abu al-‘Aliyah. Bagaimanapun, seorang muslim tentunya tidak dibolehkan menepukkan tangannya pada kemaluan orang lain, punggunggnya atau pada tubuh seorang perempuan bukan muhrim meskipun menggunakan kain sebagai alas.”

Kemudian Ibnu Hazm menyebutkan sebuah riwayat dengan sanad kepada Jubair bin al-huwairith, bahawa dia pernah melihat paha Abu Bakar yang ketika itu sedang terbuka. Di samping itu, Anas bin Malik dating menjumpai Qais bin Syamms dalam keadaan kedua-dua pahanya terbuka.

Dalil Ulama yang mengatakan aurat

 

Ulama yang mengatakan bahawa paha, pusat dan lutut adalah termasuk aurat adalah berdasarkan kepada dua hadis berikut:

Dari Muhammad bin Jahsy, katanya:

“ Rasulullah SAW pernah melewati Ma’mar yang ketika itu kedua-dua pahanya dalam keadaan terbuka. Maka beliau bersabda: ‘ Wahai Ma’mar! Tutuplah kedua-dua pahamu itu, kerana paha itu termasuk aurat!” [15]

 

Dari Jarhad, katanya:

“ Rasulullah SAW lewat ( lalu ), sedangkan aku ketika itu memakai pakaian yang terbuka pada bahagian pahaku. Beliau bersabda: ‘ Tutuplah pahamu itu, kerana ia termasuk aurat!” [16]

 

Demikian alasan-alasan yang dikemukan oleh kedua belah pihak ulama yang saling bertentangan pendapat mengenai paha, lutut dan pusat. Dalam hal ini, seseorang bebas memilih salah satu pendapat dari keduanya, meskipun yang lebih berhati-hati adalah menutup bahagian anggota tubuh antara pusat dan lututnya ketika mengerjakan solat. Al – Bukhari berkata: ‘ Hadis Anas lebih kuat dari segi sanadnya, manakala hadis Jarhad pula menunjukkan kepada sikap lebih berhati-hati.” Dengan erti kata lain, hadis Anas di atas adalah lebih sahih, jika dilihat dari segi sanadnya.

Batasan Aurat Perempuan

 

Seluruh tubuh perempuan itu adalah aurat dan wajib ditutup, kecuali muka dan tapak kedua-dua tapak tangan.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nur ayat 31, maksudnya:

“ ….. dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya….”

 

Dengan erti kata lain, mereka tidak dibenar memperlihatkan tempat-tempat perhiasan, melainkan bahagian muka dan kedua-dua telapak tangan. Hal ini sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah hadis dari Ibnu Abbas, Ibnu Umar & ‘Aisyah, bahawa:

“ Nabi SAW bersabda: ‘ Allah tidak menerima solat seorang perempuan yang sudah mencapai usia baligh, kecuali dengan memakai telekung.” [17]

 

Dari Ummu Salamah, bahawa:

“ Dia pernah bertanya kepada Nabi SAW: ‘ Bolehkah seorang perempuan itu mengerjakan solat dengan memakai baju kurung dan telekung, tanpa kain sarung?’ Nabi SAW menjawab: ‘ Boleh, dengan syarat baju itu lebar dan panjang hingga menutupi bahagian atas kedua tumitnya.” [18]

 

Dari ‘Aisyah r.anha, bahawa dia pernah ditanya: “ Berapakah jenis pakaian yang boleh dipakai oleh seorang perempuan ketika hendak mengerjakan solat?” ‘Aisyah berkata: “ Tanyakanlah kepada Ali bin Abu Thalib mengenai jawapannya, kemudian datanglah kepadaku dan beritahukan jawapannya kepadaku!” Orang itu pun mendatangi Ali dan menanyakan hal itu kepadanya. Ali berkata: ‘ Memakai telekung dan baju labuh yang menutup seluruh tubuh.’ Setelah itu, orang itu dating semula menjumpai ‘Aisyah dan memberitahukan jawapan Ali kepadanya. Lantas ‘Aisyah berkata: “ Sungguh benar apa yang dikatakannya itu!” [19]

 

  • NOTA KAKI

[1]            Diriwayatkan oleh sekumpulan ulama hadis, kecuali al-Bukhari: Fiqh Sunnah, jilid 1, bab syarat-syarat solat, m/s 257

                   Diriwayatkan oleh Muslim: Fiqh Wadhih, jilid 1, bab syarat-syarat sah sembahyang, m/s 230

[2]           Diriwayatkan oleh al – Bukhari dalam kitab: al – Haydh, bab istihadhah, jilid 1, m/s 84

[3]           Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam kitab: ath – thaharah, jilid 1, m/s 257

                An – Nasa’I: ath- thaharah, jilid 1, m/s 155

                Ibnu Majah: ath-thaharah, jilid 1, m/s 179

                Dalam Ma’alim as-Sunan dinyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan ramai lagi, manakala sanadnya pula Hasan, jilid 1, m/s 247.

 

[4]          Diriwayatkan oleh at – Tirmizi dalam kitab: Abwab ash-Shalah, jilid 2, m/s 171,172 &173

                Ibnu Majah: Iqamah ash-Shalah, jilid 1, m/s 323

                Dalam al-Muwattha’ bahawa Umar bin al-Khattab berkata: ‘ Antara barat dan timur adalah kiblat.’ Dalam kitab al-Qiblah, jilid 1, m/s 196

 

[5]          Diriwayatkan oleh al – bukhari dalam kitab: ash-Shalah, jilid 1, m/s 111

                Muslim dalam kitab: al-Masajid, jilid 1, m/s 375

 

[6]          Diriwayatkan oleh al – bukhari dalam kitab: al-Witr, jilid 2, m/s 32

                Muslim dalam kitab: Shalah al-Musafirin, jilid 1, m/s 486

 

[7]          Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab: Shalah al-musafirin, jilid 1, m/s 123

               

[8]          Kitab Fiqh Sunnah, jilid 1, m/s 272

[9]          Diriwayatkan oleh al – Bukhari dalam kitab: al- I’tisham, jilid 9, m/s 117

[10]        Diriwayatkan oleh al – Bukhari: Rujuk kitab Fiqh Sunnah, jilid 1, m/s 272

[11]        Diriwayatkan oleh al – bukhari secara mu’allaq: Rujuk Fiqh Sunnah, jilid 1, m/s 262

                Diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz yangn berlainan dalam kitab: Fadha’il al- Shabahah, jilid 4, m/s 1867

                Musnad Ahmad, jilid 6, m/s 62

[12]        Diriwayatkan oleh al – Bukhari dalam kitab: ash-Shalah, jilid 1, m/s 103-104; al-Fath ar-Rabbani, jilid 3, m.s 85

[13]        Diriwayatkan oleh al – Bukhari: rujuk Fiqh Sunnah, jilid 1, m/s 263

[14]        Rujuk Fiqh Sunnah, jilid 1, m/s 264

[15]        Diriwayatkan oleh al – Hakim, Ahmad dan al – Bukhari dalam kitab Tarikh-nya, sedangkan didalam Shahihnya dinyatakan sebagai mu’allaq: Rujuk Fiqh Sunnah, jilid 1, m/s 264

[16]        Diriwayatkan oleh al – bukhari secara mu’allaq dalam shahihnya: Jilid 1, m/s 103

                Abu Daud: al-Adab, jilid 4, m/s 303

                At – Tirmizi: al-Adab, jilid 5, m/s 111 dan beliau berkata: ‘ Hadis ini Hasan.

                Musnad Ahmad: Jilid 3, m/s 478

[17]        Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam kitab: ash-Shalah, jilid 1, m/s 421

                At – Tirmizi: Abwab ash-Shalah, jilid 2, m/s 215

                Musnad Ahmad: Rujuk Fiqh Sunnah, jilid 1, m/s 266

                Mustadrak al-Hakim: jilid 1, m/s 251, az – Zahabi berkata: “ Hadis ini mengikut syarat Muslim dan dianggap cacat oleh Ibnu Abu ‘Urubah”

                Al-Baihaqi: as-Sunan al-Kubra, jilid2, m/s 233

                 

 

       KITAB RUJUKAN : Fiqh Sunnah ( as-Sayyid Sabiq ) jilid 1

                                         : Al-Fiqh Al-Wadhih ( Dr. Muhammad Bakar Ismail ) Jilid 1

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat

%d bloggers like this: