PERKARA YANG DIHARUSKAN KETIKA SOLAT

Image

  1. a.       Di bolehkan menoleh kearah manapun jika di perlukan

 

Dari Ibnu ‘Abbas r.anhu, katanya:

“ Adalah Nabi SAW ketika mengerjakan solat, beliau menoleh kekanan atau kekiri, tetapi tidak sampai memutar atau memalingkan lehernya kearah belakang. [1]           

 

Abu Daud meriwayatkan, bahawa:

“ Ketika Nabi SAW mengerjakan solat, beliau menoleh kearah jalan yang terletak di kaki bukit.”

Abu Daud berkata: “ Beliau mengirim seorang sepasukan berkuda ke arah bukit pada waktu malam untuk melakukan rondaan.” [2]

 

Dari Anas bin Sirin, katanya: “ Aku pernah melihat Anas bin Malik mengarahkan penglihatannya kea rah satu benda dan melihatnya, pada hal dia sedang mengerjakan solat.” [3]

 

Tetapi jika seseorang menoleh tanpa sesuatu keperluan, maka hukumnya adalah makruh tanzih, iaitu makruh yang tidak mendekati hukum haram. Sebab ia mengganggu kekhusyukkan dan tumpuan ketika menghadap Allah.

Dari Aisyah r.anha, katanya:

“ Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai hukum menoleh ketika sedang mengerjakan solat. Beliau menjawab: ‘ Itu merupakan tindakan syaitan yang cuba mencuri perhatian seseorang yang sedang mengerjakan solat.” [4]

 

Dari Anas, katanya:

“ Rasulullah SAW berkata kepadaku: ‘ Janganlah sekali-kali kamu menoleh ketika mengerjakan solat, kerana menoleh dalam solat boleh membawa kerosakan! Seandainya kamu tidak dapat menghindarinya ketika dalam solat sunat, namun jangan dilakukan dalam solat fardhu!” [5]

 

Dari Abu Zar, bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Allah sentiasa menghadapkan wajah-Nya kepada seorang hamba yang sedang solat selama tidak menolehkan wajahnya. Jika menoleh, maka Allah pun akan berpaling daripadanya.” [6]

 

Kesemua hadis ini menerangkan tentang masalah menolehkan wajah ketika sedang mengerjakan solat. Sekiranya menggerakkan seluruh badan sehingga berpaling dari arah kiblat, maka menurut kesepakatan ulama, solatnya adalah batal kerana telah meninggalkan kewajipan menghadap kiblat.

b.      Membunuh ular, Kala jengking, Kumbang & Binatang lain yang berbahaya.

 

Dibolehkan membunuh binatang yang berbahaya meskipun membunuhnya memerlukan gerakan yang banyak.

Dari Abu Hurairah r.anhu, bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Bunuhlah dua jenis binatang ketika di dalam solat; ular dan kala jengking.” [6]

 

Perkataan ular dan kala jengking itu dikiaskan kepada binatang yang berbisa, maka wajib membunuh binatang yang berbisa selain ular dan kala jengking asalkan ia berbisa dan boleh membahayakan nyawa manusia.

Adapun pun pendapat yang mengatakan sunat adalah bagi keadaan yang tidak membahayakan ketika solat, yakni binatang berbisa itu diyakini tidak mengganggu atau membahayakan nyawa seseorang yang sedang solat.

Adapun untuk membunuh binatang berbisa itu, seseorang itu dibolehkan bergerak kekiri, kekanan, kedepan dan kebelakang serta mengambil apa-apa sahaja objek yang keras (kayu, besi dan sebagainya) yang boleh digunakan untuk membunuh binatang berbisa itu.

Dan setelah membunuh binatang yang berbisa tersebut, seseorang itu boleh meneruskan solat tanpa mengulang semula solatnya. Dan solatnya sah.

 

 

c.       Berjalan Sedikit Kerana Ada Keperluan

 

“ Pada suatu ketika Rasulullah SAW sedang mengerjakan solat di rumah dan pintu dalam keadaan terkunci, aku datang dan meminta supaya pintu di bukakan. Beliau pun berjalan membukakan pintu, lalu kembali ke tempat solatnya. Selanjutnya Aisyah menceritakan, bahawa pintu berada searah dengan kiblat.” [7]

 

Adapun yang dimaksudkan dengan pintu berada searah dengan kiblat adalah ketika Nabi SAW pergi kea rah pintu dan kembali ke tempat asal, beliau tidak berpaling dari kiblat. keterangan ini di perkuatkan lagi dengan hadis daripada Aisyah r.anha:

“ ketika Nabi SAW mengerjakan solat tiba-tiba ada seseorang meminta agar pintu dibukakan. Beliau membuka pintu selama pintu itu terletak searah dengan kiblat, atau berada di sebelah kanan atau di sebelah kirinya, tetapi beliau tidak membelakangi kiblat.” [8]

 

Dari al-Azraq bin Qais, katanya:

“ Abu Barzah al-Aslami ketika berada di al-Ahwaz ( sebuah kota di Iraq ) di tepi sebuah sungai. Di situ dia mengerjakan solat sambil memegang tali kendali kudanya. Tapi kuda itu hendak kembali ke tempat asalnya, hingga Abu Barzah melangkah mundur mengikutinya. Kebetulan seorang khawarij yang melihatnya berkata: ‘ Ya Allah! Celakakanlah orang itu kerana tidak betul mengerjakan solat!’ Setelah selesai mengerjakan solat, Abu Barzah berkata: ‘ Aku mendengar ucapanmu tadi. Tapi ketahuilah bahawa aku pernah menyertai Rasulullah SAW dalam enam, tujuh atau lapan kali peperangan. Di situ aku mengetahui selok belok masalah serta keringanan-keringanan yang di ajarkan beliau. Oleh itu, langkah mundur yang aku lakukan kerana mengikuti binatang itu adalah lebih mudah bagiku daripada membiarkannya kembali ke tempat asalnya. Sebab keadaan tersebut sangat menyusahkan diriku!’ Ketika itu, Abu Barzah mengerjakan solat Asar sebanyak dua rakaat sebab pada saat itu dia dalam keadaan musafir.” [9]

 

d.      Menggendong dan mendukung anak kecil dalam solat

 

Dari Abu Qatadah, bahawa:

“ Nabi SAW pernah mengerjakan solat sedangkan Umamah anak perempuan Zainab iaitu puteri Nabi SAW ada di bahunya. Jika Nabi SAW rukuk, beliau meletakkan anak itu dan jika bangkit dari sujud, maka beliau mengangkatnya dan meletakkannya kembali di atas bahunya.” Amir mengatakan: ‘ Aku tidak menanyakan solat apakah sebenarnya yang beliau lakukan ketika itu.’ Namun, Ibnu Juraij berkata: ‘ Aku diberitahukan oleh Zaid bin Abu ‘itab dari Umar bin Sulaim, bahawa solat yang dikerjakan Nabi SAW ketika itu adalah solat subuh.” [10]

 

Al-Fakihani berkata: “ Mungkin hikmah disebalik Rasulullah SAW menggendong Umamah semasa mengerjakan solat adalah sebagai peringatan kepada bangsa Arab yang biasanya kurang menyukai anak perempuan. Oleh itu, Nabi SAW memberi pengajaran beliau memberikan contoh bagaimana cara mencintai seorang anak perempuan, sehinggakan ketika mengerjakan solat. Memang keterangan melalui perbuatan seumpama ini kadang-kadang lebih berkesan daripada sekadar melalui perkataan.”

Dari Abdullah bin Syaddad dari ayahnya, bahawa:

“ Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar untuk mengerjakan solat zohor dan asar. Beliau membawa Hasan atau Husien, lalu anak itu di letakkan di hadapannya, kemudian beliau bertakbir. Selanjutnya, beliau sujud dengan waktu yang teramat lama. Akhirnya, aku mengangkat kepalaku. Ternyata aku melihat anak itu berada di atas belakang Rasulullah SAW. Aku pun kembali sujud. Setelah selesai solat, para sahabat bertanya: ‘ wahai Rasulullah! Kamu tadi sujud dengan begitu lama, sehingga kami menyangka telah terjadi sesuatu atau wahyu diturunkan kepadamu?’ Nabi SAW bersabda: ‘ Bukan begitu! Cuma cucuku ini naik ke atas belakangku dan aku tak ingin menurunkannya dengan segera hinggalah dia berasa puas ( bermain di atas belakangku ). [11]

 

Imam An – Nawawi berkata: “ Hadis ini merupakan dalil mazhab Syafi’I dan mazhab yang sependapat dengannya, bahawa dibolehkan membawa dan menggendong kanak-kanak, sama ada lelaki mahupun perempuan dan selainnya, seperti haiwan yang suci, ketika mengerjakan solat fardhu atau solat sunat, tanpa membezakan orang yang mengerjakan solat itu imam atau makmum. Tetapi mazhab Maliki mengatakan bahawa perkara itu hanya dibolehkan ketika mengerjakan solat sunat sahaja, bukannya solat fardhu. Pendapat seperti ini tidak dapat diterima, sebab sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis tersebut, bahawa Rasulullah SAW mengerjakan solat bersama orang ramai sebagai imam. Tentunya peristiwa itu terjadi ketika mengerjakan solat fardhu, apalagi telah dinyatakan dengan tegas bahawa solat tersebut adalah solat subuh.”

Sebahagian ulama mazhab Maliki menganggap hadis ini mansukh, iaitu hukumnya tidak berlaku lagi. Sebahagiannya lagi berpendapat ia adalah khusus untuk Nabi SAW sahaja, manakala sebahagiannya lagi mengatakan ia di lakukan kerana terpaksa atau dalam keadaan darurat.

e.      Memberi Salam Kepada Seseorang Yang Sedang Mengerjakan Solat

 

Dari Abdullah bin Umar dari Suhaib, katanya:

“ Aku berjalan melewati Rasulullah SAW ketika beliau sedang mengerjakan solat. Aku memberi salam kepadanya, dan beliau memberi menjawabnya padaku dengan isyarat.” [12]

 

Dari Ibnu Umar, katanya:

“ Aku bertanya kepada Bilal: ‘ Bagaimanakah cara Nabi SAW menjawab salam para sahabat yang memberinya salam ketika beliau sedang mengerjakan solat?’ Bilal menjawab: “ Caranya adalah memberi Isyarat dengan tangannya.” [13]

 

Dari Anas, bahawa:

“ Nabi SAW pernah memberi isyarat ketika sedang mengerjakan solat.” [14]

 

Dibolehkan menjawab salam atau percakapan orang lain dengan isyarat jari, tangan atau dengan menganggukkan kepala: kesemua cara ini di bolehkan berdasarkan kepada keterangan hadis yang bersumber daripada Nabi SAW.

f.        Membaca Tasbih dan Bertepuk Tangan

 

Dibolehkan bertasbih bagi kaum lelaki dan bertepuk tangan bagi kaum perempuan, sekiranya terjadi suatu masalah misalnya, mengingatkan imam jika melakukan  kesalahan dalam solat.

Dari Sahl bin Sa’ad ass-Saidi dari Nabi SAW, sabdanya:

“ Sesiapa yang terganggu oleh sesuatu dalam solatnya, bacalah Subhanallah. Bertepuk tangan adalah untuk kaum perempuan, manakala bertasbih untuk kaum lelaki.” [15]

 

g.       Mengingatkan Bacaan Imam

 

Hendaklah makmum mengingatkan  apabila imam terlupa sesuatu ayat yang hendak di bacanya sekaligus memperbetulkannya, sama ada ketika membaca surah al-Fatihah yang diwajibkan ataupun surah lain.

Dari Ibnu Umar, bahawa:

“ Nabi SAW pada suatu ketika mengerjakan solat, lalu membaca salah satu ayat al-Qur’an. Tiba-tiba beliau terlupa dan ragu dalam bacaannya itu ( dan tiada seorangpun di kalangan kami yang menegurnya ). Setelah selesai, beliau menegur bapaku, iaitu Umar al-Khattab dengan berkata: ‘ Apakah kamu ikut sama mengerjakan solat bersamaku tadi?’ Umar menjawab: ‘ Ya, aku ikut mengerjakan solat bersamamu.’ Beliau bertanya: ‘ Lalu kenapa kamu tidak mengingatkan bacaanku tadi?” [16]

 

 

————————————–

NOTA KAKI

[1]           Diriwayatkan oleh Ahmad & an-Nasa’i

[2]           Diriwayatkan oleh Ahmad

[3]           Diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari, an-Nasa’i & Abu Daud

[4]           Majdudin bin Taimiyah menukilkan hadis ini dalam al-muntaqa, katanya: “ Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmizi sekaligus mengkategorikannya sebagai sahih. Bagaimanapun, kami tidak menjumpai klasifikasi sahih yang dibuat oleh at-Tirmizi pada mana-mana manuskrip Sunan at-Tirmizi. Sanadnya sahih. Sebab, Ali bin Zaid bin Jad’an adalah perawi thiqah disisi kami.

Al-Albani mengkalsifikasikan sebagai dha’if dalam Tamam Minnah.

[5]           Diriwayatkan oleh Ahmad & Abu Daud menyatakan bahawa sanad hadis ini sahih

Hadis ini diklasifikasikan dha’if oleh Al-Albani, rujuk Tamam al-Minnah.

[6]           Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ashab as-Sunan. Abu Isa berkata: “ Hadis Abu Hurairah ini hasan lagi sahih.”

[7]           Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i dan at-Tirmizi mengkategorikannya sebagai hadis Hasan

[8]           Diriwayatkan oleh Daruqutni, hadis ini diklasifikasikan teramat dha’if oleh al-Albani, rujuk Tamam al-Minnah

[9]           Diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari & al-Baihaqi

[10]         Diriwayatkan oleh Ahmad dan lain-lain. Abu Abdur Rahman atau Abdullah bin Ahmad berkata: “ Sanad hadis ini yang menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku ketika Rasulullah SAW mengerjakan solat subuh, dan hadis ini di anggap baik oleh Juraij.

[11]         Diriwayatkan oleh Ahmad, an-Nasa’i dan al-Hakim dari Abdullah bin Syaddad. Al-Hakim berkata: “ Hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim, meskipun kedua-duanya tidak meriwayatkannya.” Jilid 3, m/s 166

[12]         Diriwayatkan oleh Ahmad, dan at-Tirmizi yang menyatakan kesahihan hadis ini. Para perawi berkata: “ Beliau ketika itu memberi jawapan isyarat dengan jari tangannya.”

[13]         Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ashab as-Sunan dan di sahihkan oleh at-Tirmizi

[14]         Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah. Sanad hadis ini Sahih.

[15]         Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan an-Nasa’i

[16]         Diriwayatkan oleh Abu Daud dan lain-lain, sedangkan para perawinya dapat dipercaya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat

%d bloggers like this: