MENJAMAK DUA SOLAT

Daripada Ibnu ‘Abbas (r.a), bahawa dia berkata:

“ Rasulullah SAW menghimpunkan antara sembahyang Zohor dan Asar dan juga Maghrib dengan Isyak ketika musafir.” [1]

Daripada Ibnu ‘Abbas (r.a):

“ Nabi SAW telah menghimpunkan antara sembahyang ketika kami bermusafir dalam peperangan Tabuk. Baginda telah menghimpunkan antara Zohor dan Asar, serta antara Maghrib dan Isyak.”

Sa’id bin Jubair (r.a) berkata:

“ Aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas apakah yang menyebabkan baginda SAW berbuat demikian. Ibnu ‘Abbas menjawab: “ Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.” [2]

SOLAT JAMAK TERBAHAGI KEPADA DUA BAHAGIAN

1. Jamak Taqdim

Ø Menunaikan solat yang kedua dalam waktu yang pertama.

Contoh: Menunaikan solat Asar dalam waktu Zohor.

2. Jamak Ta’khir

Ø Melewatkan solat yang pertama dan ditunaikan pada waktu yang kedua

Contoh: Menunaikan solat Maghrib dalam waktu Isyak.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Muaz (r.a), bahawa:

“ Nabi SAW berada dalam peperangan Tabuk. Apabila baginda berjalan sebelum matahari naik tinggi, baginda melewatkan solat Zohor hingga ke waktu Asar dan baginda menunaikan kedua-dua sekaligus. Apabila baginda berjalan selepas gelincir matahari, baginda solat Zohor dan Asar sekaligus kemudian bertolak meneruskan perjalanan. Apabila baginda keluar berjalan sebelum Maghrib, baginda melewatkannya hingga mendirikannya bersama dengan Isyak. Apabila baginda berjalan selepas Maghrib, baginda menyegerakan solat Isyak dengan menunaikannya bersama dengan Maghrib.” [3]

Melalui hadis diatas, jelaslah bahawa solat-solat yang boleh dijamakkan ialah solat Zohor bersama dengan Asar dan Solat Maghrib bersama dengan Isyak. Oleh itu, tidak sah dijamakkan solat Subuh dengan solat sebelum atau selepasnya, sebagaimana juga tidak sah dijamakkan antara solat Asar dengan solat maghrib.

Solat Jamak Taqdim dan Ta’khir mempunyai syarat-syarat yang tersedia yang mesti ditunaikan. [4]

SYARAT-SYARAT JAMAK TAQDIM[5]

1. Ditunaikan secara tertib antara keduanya. Iaitu dengan menunaikan solat yang pertama ( solat yang ditunaikan dalam waktu ) terlebih dahulu kemudian diikuti dengan solat yang keduanya ( seperti mentaqdimkan solat Asar ke dalam waktu Zohor ), maka hendaklah ditunaikan solat Zohor terlebih dahulu ).

2. Hendaklah berniat Jamak untuk menunaikan solat yang kedua pada waktu yang pertama. Disunatkan berniat demikian ketika Takbiratul ihram.

3. Ditunaikan secara muwalaat ( berturut-turut ), iaitu solat yang kedua hendaklah ditunaikan segera sebaik sahaja selesai daripada salam yang pertama dan tidak dipisahkan oleh sesuatu sama ada zikir, solat sunat atau lain-lain. Sekiranya dipisahkan dengan perkara lain dalam jarak masa yang panjang atau sengaja melewatkan solat yang kedua tanpa ada sebab mengapa ia dilewatkan maka batal jamaknya dan dia wajib menunaikan solat yang kedua itu pada waktunya. Ini kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dalilnya terdapat pada hadis Ibnu ‘Umar (r.a), dia berkata:

“ Aku melihat Nabi SAW, apabila baginda hendak bermusafir dengan segera, baginda melewatkan solat Maghrib lalu baginda menunaikannya dengan tiga rakaat hingga baginda memberi salam, kemudian baginda duduk sebentar lalu bangun mendirikan solat Isyak dua rakaat, kemudian baginda memberi salam.” [6]

Walaubagaimanapun, meletakkan muwalaat ( berturut-turut ) sebagai syarat dalam Jamak Taqdim adalah satu penghalang kepada mencapai keringanan didalam agama.

Syeikhul al-Islam Ibnu Taimiyah berkata:

“ Mengikut pendapat yang kuat, ia sama sekali tidak menjadi syarat, sama ada solat tersebut dikerjakan pada waktu solat yang pertama mahupun yang kedua. Sebab tidak ada ketentuan mengenai masalah ini dalamsyarak. Lagipun, memperhatikan sekaligus melaksanakan agar solat yang dijamak dikerjakan secara berturut-turut tentunya menjadi penghalang bagi tercapainya keringan yang di inginkan oleh agama.” [7]

Dalam masalah ini juga, Imam asy-Syafi’i menegaskan bahawa:

“ Jika seseorang mengerjakan solat maghrib dirumahnya dengan niat menjamak, kemudian dia pergi kemasjid untuk mengerjakan solat Isyak, maka perbuatan seumpama ini juga dibolehkan.” Difahamkan bahawa Imam Ahmad bersetuju dengan pendapat ini. [8]

4. Perjalanan berterusan sehingga dia berada dalam keadaan solat yang kedua. Ini bermakna solat yang kedua tidak batal sekiranya dia sampai di baladnya ( pekan ) dalam keadaan solat didirikan.

SYARAT JAMAK TA’KHIR[9]

1. Berniat hendak melewatkan solat yang pertama ketika dalam waktunya. Sekiranya waktu Zohor telah masuk dan dia tidak berniat untuk menjamak dengan Asar, maka dia wajib mendirikannya secara qada’ dan dia berdosa disebabkan kelewatan tersebut.

Berkenaan dalam hal menetapkan niat, Syeikhul al-Islam Ibnu Taimiyah menegaskan bahawa niat tidak menjadi syarat dalam menjamak atau mengqasar solat dan ini merupakan pendapat jumhur ulama. Katanya lagi: “ Nabi SAW tatkala mengerjakan solat jamak dan qasar, tidak menyuruh sahabat-sahabatnya supaya berniat jamak atau qasar. Pastinya, beliau berangkat dari Madinah menuju Mekah dengan mengqasar solat yang berjumlah empat rakaat menjadi dua rakaat tanpa dijamak. Kemudian beliau mengerjakan solat Zohor mengerjakan solat Zohor di Arafah tanpa memberitahukan yang beliau akan mengerjakan solat Asar setelah Zohor itu. Ketika itu, beliau terus mengerjakan Zohor dengan Asar bersama para sahabat. Dengan demikian, mereka tidakberniat untuk menjamak, padahal mereka melakukan jamak takdim. Demikian pula ketika berangkat dari madinah, beliau mengerjakan solat Asar dengan para sahabat di Zul huzaifah sebanyak dua rakaat dan tidak menyuruh mereka supaya berniat qasar.” [10]

2. Seseorang yang bermusafir hendaklah terus berada dalam keadaan musafir sehingga kedua-dua solat selesai didirikan.

KEADAAN YANG MEMBOLEHKAN UNTUK MENJAMAK SOLAT

1. Menjamak di Arafah dan Muzdalifah

Bagi Jemaah haji yang sedang berada di Arafah, mereka boleh menjamak solat Zohor dan Asar dengan Jamak Takdim. Setelah sampai di Muzdalifah, mereka menjamak antara Maghrib dan Isyak dengan Jamak Ta’khir. Hal ini berdasarkan kepada apa yang kerjakan oleh Rasulullah SAW. [11]

2. Menjamak ketika bermusafir

Menjamak dua solat ketika musafir, pada salah satu daripada kedua waktu solat tersebut. Menurut sebilangan ulama adalah dibolehkan, sama ada dilakukan ketika sedang singgah atau masih dalam perjalanan.

Dari Muaz (r.a), bahawa:

“ Ketika Nabi SAW dalam suasana perang Tabuk, beliau menjamak solat Zohor dengan Asar jika keberangkatannya sesudah tergelincir matahari. Tetapi apabila berangkat sebelum matahari tergelincir, maka solat Zohor di undurkan dan kemudian dijamak dengan solat Asar, begitu pula dengan solat Maghrib. Jika beliau berangkat sesudah matahari tenggelam, beliau menjamak solat Maghrib dengan solat Isyak.” [12]

Berkata Imam Asy-Syafi’i:

“ Jika berangkat sebelum matahari tergelincir, beliau mengakhirkan solat Zohor, sehingga kemudiannya dijamak di waktu Asar antara solat Zohor dan Asar.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang baik dan berkata:

“ Menjamak dua solat disebabkan musafir merupakan antara amalan yang biasa diamalkan dikalangan sahabat dan tabi’in.” [13]

3. Menjamak ketika hujan

Didalam sunan-nya, al-athram meriwayatkan dari Abu Salamah bin Abdurrahman, katanya:

“ Termasuk sunnah Nabi SAW menjamak solat Maghrib dengan Isyak apabila turun hujan lebat.”

Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa:

“ Nabi SAW pernah menjamak solat Maghrib dan isyak pada suatu malam yang dibasahi hujan lebat.” [14]

KESIMPULAN PENDAPAT MAZHAB-MAZHAB DALAM MASALAH INI

1. Mazhab Syafi’i

Membolehkan seseorang yang bermukim menjamak solat Zohor dengan Asar dan maghrib dengan Isyak dengan Jamak Taqdim sahaja, dengan syarat: Turun hujan ketika membaca takbirratul ihram pada solat yang pertama hingga selesai (solat yang pertama) dan hujan masih turun berterusan ketika hendak memulakan solat yang kedua.

2. Mazhab Malik

Membolehkan Jamak Taqdim dalam masjid antara maghrib dengan Isyak disebabkan adanya hujan yang telah atau akan turun dan disebabkan terdapat banyak lumpur ditengah jalan yang disertai dengan gelapnya malam, hingga menyukarkan kaum muslimin memakai selipar. Menjamak solat Zohor dengan Asar kerana hujan adalah dimakruhkan.

3. Mazhab Ahmad

Membolehkan menjamak Maghrib dengan Isyak sahaja, sama ada Taqdim ataupun Ta’khir, disebabkan turun salji, lumpur, sejuk yang luar biasa dan hujan ( lebat ) yang membasahi pakaian.

Keringanan ini hanya diberikan secara khusus kepada seseorang yang mengerjakan solat berjemaah dimasjid dan letak rumahnya berjauhan, hingga dengan turunnya hujan dan sebagainya menjadi penghalang bagi dirinya untuk datang kemasjid. Seseorang yang mengerjakan solat berjemaah dirumah, boleh datang kemasjid dengan menggunakan paying bagi melindungi dirinya daripada hujan atau rumahnya berhampiran dengan masjid, dan dia tidak dibenarkan menjamak solat.

MENJAMAK DISEBABKAN SAKIT ATAU UZUR

Imam Ahmad, al-Qadhi Husien, al-Khattabi dan al-Mutawalli dari golongan Asy-Syafi’i membolehkan menjamak, baik Taqdim atau Ta’khir disebabkan sakit, dengan alasan kerana kesukaran yang dialami pesakit lebih besar daripada kesukaran yang dialami oleh seseorang yang kehujanan.

Al-Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

“ dari segi dalil, pendapat ini kuat.” [15]

Dalam al-Mughni disebutkan bahawa sakit yang membolehkan jamak adalah seandainya setiap solat yang dikerjakan pada waktu masing-masing tentunya akan menyebabkan kesulitan dan kelemahan pada fizikal.

Mazhab Hanbali memperluaskan keringanan ini hingga mereka membolehkan menjamak Taqdim atau Ta’khir bagi pelbagai macam halangan dan seseorang yang sedang dalam ketakutan.

Mereka membolehkan jamak bagi:

1. Seorang ibu yang menyusukan anaknya, dan apabila dia mendapati dirinya berasa sukar untuk mencuci pakaian setiap kali hendak mengerjakan solat.

2. Orang yang menderita penyakit Silsilil Baul ( sukar menahan kencing ).

3. Perempuan yang mengalami pendarahan pada rahimnya ( Istihadah ).

4. Orang yang tidak dapat bersuci.

5. Orang yang khuatir terhadap bahaya yang bakal menimpa diri, harta & kehormatannya.

6. Orang yang takut akan kehilangan sumber pencarian ( pekerjaan ) sekiranya tidak menjamak.

Syeikhul al-Islam Ibnu Taimiyah berkata:

“ Mazhab yang paling banyak memberi keringanan menjamak solat adalah Mazhab Ahmad. Malah beliau membolehkan menjamak bagi seseorang yang sibuk bekerja, sebagaimana yang diriwayatkan oleh an-Nasa’i dalam sebuah hadis marfu’ yang bersumber daripada Rasulullah SAW, hingga beliau berpendapat dibolehkan menjamak bagi tukang masak, pembuat roti dan orang-orang yang takutkan hartanya menjadi rosak.” [16]

MENJAMAK DISEBABKAN ADANYA KEPERLUAN

Dalam Syarah Muslim, Imam an-Nawawi berkata:

“ Sebilangan ulama membolehkan jamak kepada orang yang bermukim, apabila ada satu kepentingan dengan syarat perbuatan seumpama ini tidak dijadikan sebagai kebiasaan.”

Ini merupakan pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari mazhab Maliki.

Menurut al-Khattabi, ini adalah pendapat al-Qaffal, asy-Syasyi al-Kabir dari mazhab asy-Syafi’i, Ishaq al-Mawarzi, sekumpulan ulama hadis dan inilah yang menjadi pilihan Ibnu al-Munzir.” [17]

Kenyataan ini disokong dengan zahir ucapan Ibnu ‘Abbas (r.a) bahawa menjamak yang dimaksudkan agar tidak menyukarkan umat, tanpa dijelaskan apakah kerana sakit atau sebab-sebab yang lain. Hadis Ibnu ‘Abbas yang dimaksudkan disini adalah diriwayatkan oleh Muslim dari Ibnu ‘Abbas, katanya:

“ Rasulullah SAW pernah menjamak solat Zohor dengan Asar dan solat Maghrib dan Isyak di Madinah, padahal tidak dalam ketakutan atau hujan. Ada seorang yang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas : ‘Kenapa Nabi SAW berbuat demikian?’ Dia menjawab : ‘ Tujuannya agar beliau tidak menyukarkan umatnya.” [18]

Dalam al-Mughni disebutkan:

“ Seseorang yang sudah selesai menjamak Taqdim dua solat pada waktu pertama, kemudian ternyata uzur atau halangan tersebut tidak ada lagi setelah bersolat, sedangkan waktu solat yang kedua belum lagi tiba, maka solat jamak yang dikerjakan tadi sudah memadai dan tidak perlu lagi mengerjakan solat yang kedua jika waktunya sudah tiba.”

________________________________________________

NOTA KAKI

[1] lihat Fiqh Manhaji: jilid 1, m/s 225

[2] lihat Fiqh Manhaji: jilid 1, m/s 225

[3] lihat Fiqh Manhaji: Jilid 1, m/s 226

[4] lihat Fiqh Manhaji: Jilid 1

[5] lihat Fiqh Manhaji: Jilid 1

[6] lihat Fiqh Manhaji: Jilid 1, m/s 226 & 227

[7 & 8] lihat Fiqh Sunnah: Jilid 2,m/s 160

[9] lihat Fiqh Manhaji: Jilid 1,m/s 227

[10] Lihat Fiqh Sunnah: jilid 1, m/s 160

[11] lihat al-Fiqh al-Wadhih: jilid 1, m/s 302 & Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 157

[12] lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 58

[13] lihat Fiqh Sunnah: Jilid 2, m/s 159

[14] lihat Fiqh Sunnah: Jilid 2, m/s 160

[15] lihat Fiqh Sunnah: Jilid 2, m/s 161

[16] lihat Fiqh Sunnah: Jilid 2, m/s 162

[17] lihat Fiqh Sunah: Jilid 2, m/s 162

[18] Diriwayatkan oleh Muslim: Shalah al-Musafirin, Jilid 1, m/s 489

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat

%d bloggers like this: