Saya nak berdakwah, tapi …..


Alasan #1:
“Saya nak berdakwah, tetapi ilmu saya belum mencukupi untuk mengajak orang kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran.”

Jawapan:
Tidak perlu menanti sehingga ilmu cukup di dada kerana sehingga meninggal dunia sekali pun, ilmu Allah tidak akan mampu untuk kita kuasai keseluruhannya. Oleh itu, sampaikanlah setakat apa yang diketahui, asal saja ia benar-benar sahih daripada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah Nabi. Sabda Nabi: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” [Sahih Muslim]

Alasan #2:
“Saya bukanlah seorang pendakwah yang masyhur, mustahil orang akan terima dakwah yang saya sampaikan.”

Jawapan:
Kemasyhuran bukanlah ‘lesen’ untuk melayakkan seseorang menjalankan kerja-kerja dakwah. Setiap yang beragama islam, wajib bagi mereka memikul tugas melaksanakan amar makruf nahi munkar, sekalipun mereka tidak memakai title agamawan atau menjadi seorang pendakwah selebriti terkenal. Firman Allah: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran serta kamu pula beriman kepada Allah.” [Ali Imran, ayat 110]
Sama ada diterima atau ditolaknya dakwah yang kita sampaikan, itu bukanlah persoalannya tetapi apa yang penting ialah melaksanakan amanah tersebut. Ingat, peranan kita hanyalah sekadar ‘menyampaikan’ dakwah, bukan menentukan keberhasilan dakwah itu sama ada ia berjaya atau tidak. Ini kerana yang memberi hidayah ialah Allah, maka serahkan sahaja kepada Allah untuk menentukan berjaya atau tidaknya dakwah yang kita sampaikan.

Alasan #3:
“Saya bimbang kalau-kalau apa yang saya sampaikan itu akan mengundang kebencian dan hinaan daripada orang ramai.”

Jawapan:
Begitulah asam garam dalam dunia dakwah, menerima cercaan daripada orang ramai itu adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dielakkan. Jika Nabi Muhammad selaku insan termulia di sisi Allah tidak terlepas daripada cercaan dan tentangan orang ramai di zamannya, bagaimana pula kita umatnya untuk melepaskan diri daripada menghadapi keadaan yang sama? Inilah yang diisyaratkan oleh baginda menerusi hadisnya seperti berikut:
Ada satu golongan dari umatku yang akan selalu berada di atas kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang yang menghinakan mereka sehingga datang keputusan Allah sedangkan mereka tetap dalam keadaan seperti itu. [Shahih Muslim, no. 1920.]
Waraqah bin Naufal pernah berkata kepada Nabi: Tidak ada seorang pun yang datang dengan membawa ajaranmu kecuali (pasti) akan dimusuhi. [Shahih al-Bukhari, no. 7 dan Shahih Muslim, no. 160.]

Sebarkan….

Advertisements

LARANGAN MELABUHKAN PAKAIAN BAGI LELAKI

IMG_9349

1. Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Sesungguhnya pada hari kiamat kelak Allah SWT tidak akan melihat kepada orang yang melabuhkan kain sarungnya hingga menyentuh tanah kerana sombong.” [1]

2. Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Kain ( sarung, pakaian ) apa sahaja yang berada di bawah kedua mata kaki maka orang yang memakainya berada di dalam neraka.” [2]

Al-Khatabi berkata: “ Maksud baginda adalah tempat kaki yang terkena kain di bawah mata kaki adalah neraka.” Baginda menggunakan kata ‘ kain ‘, namun ditujukan kepada pemakainya yang dalam erti kata lain, kaki orang yang memakai kain di bawah mata kaki akan diseksa di dalam neraka.”

3. Daripada Abu Dzar ( r.a ), Nabi SAW bersabda:

“ Ada tiga golongan manusia yang tidak akan diajak Allah SWT bicara pada hari kiamat, juga tidak akan dipandang, dan tidak mensucikan mereka, bahkan bagi mereka disiksa yang teramat pedih.” Abu Dzar berkata: ‘ Rasulullah SAW mengulang-ulanginya sebanyak tiga kali.’ Lalu Abu Dzar bertanya: ‘ Celaka dan merugilah mereka, siapakah mereka itu wahai Rasulullah?’

Rasulullah SAW bersabda: ‘ Orang yang memanjangkan seluarnya sehingga menutupi kedua mata kakinya, orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, dan orang yang menjual dagangannya dengan sumpah palsu.” [3]

Dalam riwayat yang lain disebutkan:

“ Melabuhkan pakaiannya, iaitu orang yang memanjangkan seluar/kainnya sehingga menutupi kedua mata kakinya kerana sombong.”

4. Daripada Ibnu ‘Umar ( r.a ), Nabi SAW bersabda:

“ Isbal ( perbuatan melabuhkan pakaian kerana sombong ) itu ada pada sarung, gamis ( kemeja panjang ) dan serban. Barangsiapa yang melabuhkan sesuatu pakaian hingga menyentuh ke tanah kerana sombong ( seperti merasa bangga ) maka Allah SWT tidak akan melihat kepadanya pada hari kiamat kelak.” [4]

5. Daripada Ibnu ‘Umar ( r.a ), bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Barangsiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong maka Allah SWT tidak akan memandangnya pada hari kiamat kelak.” Aku mendengar Abu Bakr ( r.a ) berkata: ‘ Wahai Rasulullah sesungguhnya ( sebahagian hujung ) sarung saya melabuh ( menghulur hingga ke bawah mata kaki ) kecuali kalau saya perhatikan.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘ Sesungguhnya kamu tidak termasuk orang yang melakukannya kerana sombong.” [5]

KETERANGAN

Dilarang melabuhkan sarung kerana sombong. Namun masalah ini berbeza dengan perempuan. At-Tirmizi dan an-Nasa’i meriwayatkan hadis daripada Ummu Salamah ( r.a ), beliau bertanya:

“ Bagaimana pula dengan perempuan yang melabuhkan pakaiannya?” Rasulullah SAW bersabda: ‘ Tambahkan lagi panjangnya hingga sejengkal.’ Ummu Salamah bertanya lagi: “ Kalau begitu, bererti kaki masih kelihatan. Baginda bersabda:

‘ Labuhkanlah lagi satu hasta dan jangan melebihi itu.’ Satu hasta sama dengan dua jengkal.

Kadangkala ada pakaian yang labuh tetapi bukan kerana sombong, sebaliknya lantaran istiadat seperti itu. Inilah yang difahami oleh Ibnu Abdul Barr, an-Nawawi, dan Asy-Syafi’i yang bernpendapat larangan itu makruh. Ada sebahagian ulama yang mengatakan jika pakaian itu labuh secara sengaja, maka itu tidak dimakruhkan. Jika labuh itu kerana jenis pakaiannya, maka itu makruh. Sunnah Nabi SAW menjelaskan sebaik-baik pakaian ialah yang bahagian bawahnya sampai kepada pertengahan betis.

Imam al-Shan’ani berkata:

“ Ketika disebut kata pakaian, maka maksud hadis ini adalah semua jenis pakaian. Ahli Sunnah selain at-Tirmizi mengeluarkan hadis daripada Ibnu ‘Umar daripada ayahnya daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda:

“ Melabuhkan pakaian itu boleh berlaku pada sarung, qamis, dan juga serban.”

Walaubagaimana pun, sanad hadis ini masih dipertikai. Al-Qadhi ‘Iyadh menukil daripada ulama bahawa mereka memakruhkan pakaian yang terlabuh yang menyalahi adat kebiasaan.

KESIMPULAN

Hadis-hadis di atas adalah bukti yang menunjukkan bahawa larangan untuk melabuhkan pakaian, bermegah diri dan memperlihatkan sifat sombong. Semua itu dilarang kerana merampas sifat Allah SWT dengan cara mengangkat diri sendiri dihadapan orang lain. Di dalam sebuah hadis qudsi disebutkan bahawa Allah SWT berfirman:

“ Kesombongan itu adalah selendang-Ku, dan kebesaran itu adalah pakaian-Ku. Sesiapa yang cuba menandingi-Ku pada salah satu daripada keduanya, maka dia akan Aku mengazabnya.”

Oleh itu, patutlah orang yang berbuat demikian pada hari kiamat kelak tidak dipandang oleh Allah SWT dengan pandangan rahmat.

Manakala Ibnu Hajar Rahimahullah pula menjelaskan bahawa sengaja melabuhkan kain hingga menyentuh tanah adalah satu kesombongan.

والله أعلم

Sumber:

Riyadh Al-Salihin

Bab 129: 1/672

Subulus Salam

Kitab Himpunan Akhlak

4/443 & 552

______________________

NOTA KAKI

[1] ( Diriwayatkan oleh Bukhari: 10/5788, Muslim: 3/48 )

[2] ( Diriwayatkan oleh Bukhari: 10/5787, Ahmad: 2/461, an-Nasa’i: 8/5346, Ibnu Majah: 2/3573 )

[3] ( Diriwayatkan oleh Muslim: 1/171, Ahmad: 5/148 & 187, an-Nasa’i: 8/ 5348 )

[4] ( Diriwayatkan oleh Abu Daud: 4/4094, an-Nasa’i: 8/5349, Ibnu Majah: 2/3576 )

[5] ( Diriwayatkan oleh al-Bukhari: 10/5784, sedangkan Muslim meriwayatkan sebahagiannya sahaja: 3/1652 )

DOA QUNUT

IMG_9316

1. Qunut dalam solat witir

Daripada Hasan bin ‘Ali (r.a), katanya: “ Rasulullah SAW mengajarkan bacaan doa kepadaku supaya dibaca ketika mengerjakan solat witir, iaitu:

اللهم اهدنى فيمن هديت، وعافنى فيمن عافيت، وتولنى فيمن توليت، وبارك لى فيما أعطيت،وقنى شرما قضيت، فإنك تقضى ولا يقضى عليك، وإنه لا يذل من واليت، ولا يعزمن عاديت، تباركت ربنا وتعاليت، وصلى الله على النبي محمد

“ Allahummahdini fiman hadait, wa’afini fiman ‘afait, wa tawallani fiman tawallait, wa barikli fima a’athoit, wa qini sharrama qadhait, fa innaka taqdhi wa laa yuqdha ‘alaik, wa innahu laa yadzillu man walait, wa laa ya’izzu man ‘adait, tabarakta rabbana wa ta’alait, wa solallahu ‘alannabiyya Muhammad.”

“ Ya Allah! Berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau berikan petunjuk. Sejahterakanlah aku sepertimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah diriku sepertimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berikanlah keberkatan dalam segala sesuatu yang telah Engkau anugerahkan. Hindarkanlah diriku daripada segala bahaya yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya Engkaulah yang menentukan dan bukannya Engkau yang ditentukan. Sesungguhnya tidak akan menjadi hina orang yang membela-Mu dan tidak akan menjadi mulia orang yang memusuhi-Mu. Engkau wahai Tuhan kami adalah Maha Pemberi Keberkatan dan Maha Mulia. Semoga Allah tetap mencucurkan rahmat ke atas Nabi Muhammad.” [1]

Di dalam riwayat ath-Tabrani dan al-Baihaqi ditambahkan:

ولا يعز من عاديت

“ Dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi.”

Pada bahagian akhir, an-Nasa’i menambahkan:

وصلى الله عل النبي

“ Dan semoga Allah SWT melimpahkan selawat-Nya kepada Nabi.” [2]

Membaca doa qunut adalah disyariatkan dibaca ketika mengerjakan solat witir dan boleh dilakukan sepanjang tahun mengikut pendapat ulama Hanafiyah. Manalaka mengikut pendapat ulama Syafi’iyah qunut dalam witir disunatkan hanya pada separuh akhir Ramadhan. Dalilnya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada ‘Umar (r.a) mengumpulkan orang ramai untuk mengerjakan soalt Jamaah dengan menjadikan Ubay bin Ka’ab sebagai imam solat. Selama dua puluh hari, Ubay menjadi imam solat kepada mereka namun tidak pernah berqunut melainkan ketika separuh akhir dari bulan Ramadhan. [3]

Tempat berqunut

Qunut itu boleh dilakukan sebelum rukuk setelah membaca surah dan boleh pula dilakukan setelah bangkit daripada rukuk. Humaid meriwayatkan, katanya:

“ Aku pernah bertanya kepada Anas tentang qunut; adakah ia dibaca sebelum rukuk ataupun sesudahnya? Beliau menjawab: ‘ Biasanya, kami membacanya sebelum dan sesudah rukuk.” [4]

Jika seseorang membaca qunut sebelum rukuk, hendaklah dia bertakbir dahulu sambil mengangkat kedua-dua tangannya selepas membaca surah. Kemudian hendaklah bertakbir sekali lagi setelah berqunut. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh sesetengah sahabat. Setengah ulama berpendapat bahawa, disunatkan mengangkat kedua-dua tangan ketika berqunut, tetapi setengah mereka lagi tidak menganggapnya sebagai suatu perbuatan sunat.

Adapun menyapu muka dengan kedua tangan, maka menurut keterangan Imam al-Baihaqi, bahawa yang demikian itu tidak perlu dilakukan dan cukup mengikuti apa yang telah dikerjakan oleh kaum Salaf, di mana cukup mengangkat kedua-dua tangan sahaja tanpa harus menyapu muka ketika mengerjakan solat, terlebih-lebih lagi ketika berqunut.

2. QUNUT DALAM SOLAT SUBUH

Membaca qunut dalam solat subuh tidak disyariatkan, melainkan terjadinya bencana dan malapetaka. Jika terjadinya bencana dan malapetaka, maka barulah membaca qunut. Bukan sahaja dalam solat subuh, bahkan dalam solat-solat fardu yang lain.

Dalil yang berpegang kepada amalan qunut dalam solat subuh

ini adalah hujah bagi mazhab Syafi’i yang menegaskan bahawa berqunut ketika mengerjakan solat subuh sesudah rukuk adalah perbuatan sunat.

1. Daripada Ibnu Sirin bahawa:

“ Anas bin Malik pernah ditanya: ‘ Apakah Nabi SAW pernah berqunut ketika mengerjakan solat subuh?’ Dia menjawab: ‘ Ya.’ Kemudian beliau ditanya lagi: ‘ Adakah qunut itu dibaca sebelum rukuk atau sesudahnya?’ Dia menjawab: ‘ Qunut tersebut dibaca sesudah rukuk.” [5]

Menggunakan hadis Ibnu Sirin sebagai dalil, perlulah dikaji semula terlebih dahulu, sebab apa yang ditanyakan di sini besar kemungkinan adalah soal qunut nazilah iaitu ketika terjadi bencana dan malapetaka.

2. Daripada Anas, katanya:

“ Rasulullah SAW senantiasa berqunut ketika mengerjakan solat Subuh hingga beliau wafat.” [6]

Manakala hadis kedua pula di mana Nabi SAW berqunut sepanjang hayatnya, maka di dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Ja’far ar-Razi. Dia tidak dikategorikan sebagai perawi yang kuat dan hadis seumpama ini tidak dapat dijadikan sebagai hujah. Sebab adalah tidak masuk akal, bahawa Rasulullah SAW sepanjang hidupnya membaca qunut ketika mengerjakan solat subuh, sementara para Khalifah dan sahabat sesudah kewafatan Nabi SAW hampir tidak pernah berqunut. Malahan Anas (r.a) sendiri tidak pernah berqunut pada setiap kali mengerjakan solat subuh.

 

Dalil yang menolak amalan qunut dalam solat subuh

1. Dari Abu Malik al-Asyja’i, katanya:

“ Ayahku pernah mengerjakan solat dibelakang Rasulullah SAW ketika masih berusia 16 tahun, bahkan pernah bermakmum kepada Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Uthman. Aku bertanya: ‘ Adakah Nabi SAW dan para sahabat itu pernah berqunut?’ Ayahku menjawab: ‘ Tidak, wahai anakku. Itu hanya suatu yang diada-adakan.” [7]

2. Daripada Sa’ad Ibn Thariq al-Asyja’i, beliau berkata:

“ Saya pernah bertanya kepada ayahku: ‘ Hai ayahku, sesungguhnya engkau pernah solat dibelakang Rasulullah SAW, Abu Bakr, ‘Umar, ‘Uthman dan ‘Ali. Apakah mereka membaca doa qunut ketika mengerjakan solat subuh?” Ayahku menjawab: ‘ Hai anakku, itu adalah perbuatan bid’ah.” [8]

3. Daripada Anas ( r.a ), katanya:

“ Nabi SAW tidak pernah berqunut ketika mengerjakan solat subuh kecuali ketika hendak mendoakan kebaikan atau kebinasaan ke atas sesuatu kaum.” [9]

Ibnu Abu Syaibah meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Umar, Ibnu ‘Abbas, Ibnu Zubair dan Khalifah yang tiga ( Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Uthman ) bahawa mereka tidak pernah berqunut ketika mengerjakan solat subuh. Demikianlah mazhab Hanafi, Hanbali, Ibnu al-Mubarak, ath-Thauri dan Ishaq.

Berkenaan dengan qunut nazilah, sila rujuk link berikut:

https://abdullahmutazahhid.wordpress.com/2013/03/17/qunut-nazilah/

والله أعلم

Sumber:

Fiqh Sunnah

Subulus Salam

___________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah, dan ad-Darimi. Lihat Fiqh Sunnah: 1/419

At-Tirmizi berkata: ‘ Ini adalah hadis Hasan.’ Tambahnya lagi: ‘ Malah ini merupakan bacaan doa qunut daripada Nabi SAW yang terbaik.’

An-Nawawi berkata: ‘ Sanad hadis ini Shahih.’

Namun Ibnu Hazm tidak memberikan komen berkaitan shahih atau tidaknya hadis tersebut. Bagaimanapun, beliau berkata: ‘ Hadis ini sekalipun tidak dapat dijadikan sebagai sandaran dalil, tetapikami tidak menemukan hadsi selain daripada hadis ini. Kami tentunya kebih mengutamakan hadis Dha’if berbanding pendapat manusia biasa. Oleh itu, dalam masalah ini, kami bersetuju dengan pendapa Ibnu Hanbal. Begitu pula mazhab Ibnu Mas’ud, Abu Musa, Ibnu ‘Abbas, al-Barra’, Anas, Hasan al-Bashri, Umar bin Abdul Aziz, ath-Thauri, Ibnu al-Mubarrak, ulama mazhab Hanafi dan salah satu riwayat dari Imam Ahmad.’

An-Nawawi berkata: ‘ Ramainya ulama yang menyokong pendapat ini adalah memperkuat lagi riwayat hadis tersebut sebagai suatu kekuatan dalil.’

[2] Lihat Subulus Salam: 1/ 431

[3] Lihat Fiqh Sunnah: 1/420

[4] Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Muhammad Nashr. Al-Hafiz di dalam Fath al-Bari berkata: ‘ Sanad hadis ini kuat.’ Lihat Fiqh Sunnah: 1/421

[5] Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, an-Nasa’i dan Ibnu Majah. Lihat Fiqh Sunnah: 1/428

[6] Diriwayakan oleh Ahmad, al-Bazzar, ad-Darimi, al-Baihaqi dan al-Hakim menganggapnya Shahih. Manakala di dalam Zaad al-Ma’ad ( 2758 ) hadis ini dikategorikan sebagai Dha’if. Lihat Fiqh Sunnah: 1/428

[7] Diriwayatkan oleh Ahmad, an-Nasa’i dan at-Tirmizi. Beliau menganggap hadis ini sebagai Hasan Shahih. Lihat Fiqh Sunnah: 1/427

[8] Diriwayatkan oleh al-Khamsah, kecuali Abu Daud.

Lihat Subulus Salam: 1/429

[9] Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, al-Khatib, Ibnu Khuzaimah, dan beliau menganggaonya sebagai Hasan. Lihat Fiqh Sunnah: 1/427

SOLAT SUNAT WITIR

IMG_0015_6_7_8_tonemapped

Daripada ‘Ali (r.a), beliau berkata:

“ Solat witir itu tidak diwajibkan sebagaimana solat fardhu, melainkan ia hanya sunat yang biasa dilakukan oleh Rasulullah SAW.” [1]

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda:

“ Wahai Ahlul-Qur’an! Kerjakanlah solat witir, sebab Allah witir ( Maha Esa ) dan amat menyukai perkara-perkara yang ganjil.” [2]

Ashim bin Hamzah berkata:

“ Saya pernah bertanya kepada ‘Ali (r.a) tentang solat witir apakah ia wajib atau tidak, maka beliau menjawab: ‘ Ia tidak seperti wajibnya solat fardhu, tetapi ia amat digalakkan oleh Nabi SAW yang tidak layak bagi seseorang meninggalkannya’.” [3]

Imam Abu Hanifah pula menegaskan bahawa solat witir adalah wajib. Namun begitu, pendapat ini adalah lemah dan disanggah oleh jumhur ulama. Ibnu al-Munzir berkata:

“ Aku tidak pernah mengetahui seorang pun yang bersetuju dengan pendapat Abu Hanifah dalam masalah ini.” [4]

WAKTU MELAKSANAKANNYA

Para ulama bersepakat waktu solat sunat witir bermula sesudah solat Isyak dan berterusan hingga masuk waktu fajar. Dari Abu Mas’ud (r.a), katanya:

“ Rasulullah SAW kadang-kadang mengerjakan solat witir pada awal malam, pertengahan malam dan kadang-kadang pula pada penghujung malam.” [5]

Daripada Abu Tamim al-Jaisyani (r.a) bahawa Amr bin al-‘Ash pernah menyampaikan khutbah dihadapan kaum muslimin pada hari Jumaat dan berkata: “ Abu Bashrah memberitahukan kepadaku bahawa Nabi SAW bersabda:

‘ Sesungguhnya Allah menambahkan solat pada kamu iaitu solat witir. Oleh itu, kerjakanlah solat itu antara Isyak hingga solat fajar!’

Abu Tamim berkata: “ Kemudian Abu Dzar menarik tanganku dan mengajak ke dalam masjid menuju tempat Abu Basrah (r.a), lalu bertanya: “ Benarkah kamu pernah mendengar Rasulullah bersabda sebagaimana yang dikatakan oleh Amr itu?” Abu Bashrah menjawab: “ Ya! Aku sendiri pernah mendengar demikian itu dari Rasulullah SAW.” [6]

Daripada ‘Aisyah (r.a), beliau berkata:

“ Setiap malam Rasulullah SAW sentiasa mengerjakan solat witir dan solat witirnya itu berhenti sampai dengan waktu sahur.” [7]

Sekiranya seseorang itu mengerjakan solat witir sebelum mengerjakan solat fardu Isyak, maka ulama bersepakat bahawa solat witir yang dikerjakan itu adalah tidak sah.

BILAKAH DISUNATKAN MENYEGERAKAN ATAU MELAMBATKAN SOLAT WITIR?

Daripada Ibn ‘Umar (r.a), Nabi SAW bersabda:

“ Akhiri solat kamu pada waktu malam hari dengan solat witir.” [8]

Dari Jabir (r.a) bahawa, Nabi SAW bersabda:

“ Sesiapa yang berasa tidak sanggup jaga pada akhir malam, sebaiknya dia berwitir pada permulaan malam. Tetapi siapa yang berasa sanggup jaga pada akhir malam, sebaiknya dia berwitir pada akhir malam itu. Sebab mengerjakan solat pada akhir malam dihadiri dan disaksikan oleh malaikat, dan oleh kerananya, ia adalah lebih afdhal.” [9]

Dari Jabir (r.a), bahawa Rasulullah SAW bertanya kepada Abu Bakr:

“ Bilakah kamu berwitir? Abu Bakr menjawab: ‘ Pada permulaan malam sesudah solat isyak.’ Lalu beliau bertanya kepada ‘Umar: ‘ Bilakah kamu berwitir wahai ‘Umar?’ ‘Umar menjawab: ‘ Pada akhir malam.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda: ‘ Engkau ini wahai Abu Bakr lebih mengutamakan sikap berhati-hati, manakala engkau pula wahai ‘Umar lebih menonjolkan sikap keteguhanmu.” [10]

Bagi orang yang mengerjakan solat witir itu, ada dua keadaan:

1. Hazm

Barangsiapa yang tidak yakin akan dirinya bakal bangun di akhir malam, maka hendaklah dia mengerjakan solat witir di permulaan malam supaya waktunya tidak terlepas.

2. ‘Azm

Barangsiapa yang yakin dirinya mampu untuk bangun di akhir malam, hendaklah dia bertekad untuk meraih pahala yang lebih utama, iaitu mengakhirkan solat witir di penghujung malam. Melalui hadis Jabir (r.a) di atas, jelas menunjukkan kelebihan mengerjakan solat witir di akhir malam iaitu disaksikan oleh para malaikat yang bertugas pada waktu malam dan para malaikat yang bertugas pada waktu siang hari ( iaitu penggantian antara malaikat yang bertugas pada malam dan siang hari ) pada ketika ini ia merupakan waktu turunnya rahmat Allah dan pada waktu inilah Rasulullah SAW selalunya mengerjakan witir.

Walau bagaimanapun, Nabi SAW pernah mengerjakannya pada awal malam hari dan pada pertengahannya ( rujuk hadis Abu Mas’ud di atas ).

BILANGAN RAKAAT

Sekurang-kurangnya bilangan rakaat solat witir adalah satu rakaat dan bilangan yang paling banyak adalah tiga belas rakaat.

Dari Abu Ayub Al-Ansari bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Berwitirlah dengan lima ( rakaat ), jika tidak sanggup maka tiga ( rakaat ) dan jika tidak sanggup maka satu ( rakaat ).” [11]

Imam at-Tirmizi berkata:

“ Diriwayatkan dari Nabi SAW, bahawa beliau pernah mengerjakan solat sunat witir sebanyak tiga belas rakaat, sebelas, sembilan, tujuh, lima, tiga atau se-rakaat sahaja.” [12]

Ishaq bin Ibrahim berkata:

“ Adapun yang dimaksudkan dengan riwayat di atas bahawa Nabi SAW mengerjakan solat malam sebanyak tiga belas rakaat dan termasuklah solat witir di dalamnya. Jadi, semua solat malam yang dikerjakan Nabi SAW di sebut dengan solat witir.” [13]

Dibolehkan mengerjakan solat witir secara dua-dua rakaat ( maksud disini ialah mengerjakan solat witir lima rakaat ), kemudian diakhiri dengan satu rakaat. Setiap daripada dua rakaat itu ditutup dengan satu kali tasyahud dan satu kali salam.

Juga boleh dilakukan secara keseluruhan dengan dua kali tasyahud dan sekali salam, dengan erti kata lain seluruh rakaatnya dikerjakan secara bersambung tanpa tasyahud selain daripada rakaat sebelum terakhir iaitu pada rakaat ke-empat dan selanjutnya berdiri lagi untuk mengerjakan satu rakaat, kemudian bertasyahud dan seterusnya memberi salam.

Malah dibolehkan juga mengerjakannya secara keseluruhan iaitu satu kali tasyahud dan satu kali salam pada rakaat yang terakhir ( rakaat ke-lima ).

Ketiga-tiga cara ini adalah dibolehkan berdasarkan keterangan hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW. Ibnu Qayyim Rahimahullah berkata:

“ Hadis-hadis shahih berkaitan solat witir menegaskan bahawa ia boleh dikerjakan dengan lima atau tujuh rakaat bersambung, [14] seperti hadis Ummu Salamah yang menjelaskan:

“ Rasulullah SAW sering berwitir tujuh atau lima rakaat secara bersambung dan tidak dipisahkan dengan ucapan salam atau percakapan.” [15]

‘Aisyah (r.a), berkata:

“ Rasulullah SAW biasanya mengerjakan solat sebanyak tiga belas rakaat pada waktu malam, lima rakaat daripadanya adalah solat witir dan beliau tidak duduk melainkan pada rakaat terakhir.” [16]

Secara kesimpulannya, Nabi SAW melakukan solat witir dengan cara yang berlainan antara satu sama lain. Adakalanya baginda mengerjakan sebanyak tiga rakaat sekaligus dan mengucapkan salam pada rakaat terakhir, adakalanya baginda mengerjakannya dengan dua salam iaitu salam yang pertama pada akhir rakaat kedua dan kemudian salam yang kedua pada satu rakaat kemudiannya.

Walau bagaimanapun, apa yang kerap baginda lakukan adalah mengucapkan salam sesudah dua rakaat hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh baginda SAW:

“ Solat malam itu mesti dikerjakan dua rakaat-dua rakaat.” [17]

Kemudian barulah baginda SAW melakukan rakaat yang ketiga dan mengucapkan salam. Maknanya, solat witir boleh dilakukan secara sekaligus dan boleh pula secara terpisah dengan melakukan salam pada setiap dua rakaat. Tetapi riwayat yang mengatakan solat witir boleh dikerjakan secara terpisah lebih kuat daripada riwayat yang mengatakan boleh dikerjakan secara sekali gus. [18]

BACAAN SURAH DALAM SOLAT WITIR

Setelah membaca surah al-Fatihah, seseorang dibolehkan membaca mana-mana ayat al-Qur’an ketika mengerjakan witir. Tetapi disunatkan apabila mengerjakan solat witir sebanyak tiga rakaat supaya membaca surah al-A’la pada rakaat pertama, surah al-kafirun pada rakaat kedua dan surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas pada rakaat ketiga.

Daripada Ubay bin Ka’ab (r.a), beliau berkata:

“ Rasulullah SAW seringkali melakukan solat witir dengan membaca سبح اسم ربك الأعل ( surah al-A’la ), قل يا أيها الكفرون ( surah al-Kafirun ), dan قل هو الله أحد ( surah al-Ikhlas ).” [19]

di dalam riwayat ‘Aisyah (r.a), katanya:

“ Adalah Rasulullah SAW ketika berwitir membaca pada rakaat pertama surah al-A’la, pada rakaat kedua membaca surah al-kafirun, manakala pada rakaat ketiga membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas.” [20]

TIDAK ADA WITIR DALAM SATU MALAM

Daripada Thalq Ibnu Ali (r.a), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Tidak ada dua solat witir dalam satu malam.” [21]

Solat witir tidak boleh dilakukan secara berulang dalam satu malam, inilah pendapat kebanyakan ulama salaf dan khalaf. Mengulanginya bererti membatalkan pengertian witir itu sendiri yang bermaksud ganjil, kerana keadaannya berubah menjadi syafa’ ( genap ).

Sesiapa yang telah mengerjakan solat witir lalu dia hendak mengerjakan solat sunat semula, maka dia boleh mengerjakannya, tetapi jangan mengerjakan solat witir. Jika seseorang itu tetap ingin melakukannya, maka sebaiknya menggabungkan satu rakaat lain kepada witir yang pertama, lalu mengerjakan solat beberapa rakaat yang dia mahu dan dia boleh melakukan solat witir di penghujung solatnya. Ini boleh dilakukan selagi tidak dikhuatiri waktu subuh segera tiba dan waktunya cukup panjang untuk mengerjakannya. [22]

MENGQADHA SOLAT WITIR

Daripada Abu Hurairah (r.a) bahawa, Nabi SAW bersabda:

“ Jika salah seorang antara kamu bangun pagi dan belum berwitir, maka hendaklah dia mengqadha witir.” [23]

Menurut riwayat Ahmad dan at-Thabrani dengan sanad yang hasan, bahawa:

“ Rasulullah SAW pernah bangun pagi sesudah waktu subuh lalu beliau berwitir.”

Daripada Abu Sa’id al-Khudri (r.a) bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Barangsiapa yang meninggalkan solat witir kerana tertidur atau lupa, maka hendaklah dia mengerjakannya pada waktu subuh atau sebaik dia mengingatinya.” [24]

Kesimpulannya, jika seseorang itu sengaja meninggalkannya maka orang ini telah menyia-nyiakan sunat yang mulia dan pahala yang berlimpah yang tidak dapat diraih olehnya. Inilah yang diisyaratkan oleh hadis yang mengatakan:

“ Barangsiapa yang menjumpai waktu subuh, sedangkan dia belum mengerjakan solat witir, maka tidak ada witir baginya.”

Adakalanya seseorang tertidur atau terlupa hingga solat witir terlepas. Inilah hukum di mana seseorang itu digalakkan mengerjakannya sebaik bangun daripada tidur atau ingat bahawa dia belum mengerjakan solat witir. Dia tetap mendapat pahala yang sama dengan pahala orang yang mengerjakannya pada waktunya. Sudah memadai uzur baginya kerana tertidur atau terlupa, dia sama dengan orang yang meninggalkan solat fardu kerana tertidur atau terlupa. Inilah yang diisyaratkan oleh hadis:

“ Barangsiapa yang meninggalkan solat witir kerana tertidur atau lupa, maka hendaklah dia mengerjakannya pada waktu subuh atau sebaik dia ingat.” [25]

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

Fiqh Sunnah

Al-Fiqh Al-Wadhih

______________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh an-Nasa’i & at-Tirmizi dan beliau menilainya

Hasan. Manakala al-Hakim menilainya sebagai Shahih. Lihat Subulus

Salam: Jilid 1, m/s 523.

[2] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmizi, Ibnu Majah, al-Khamsah, al-Hakim, al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah. At-Tirmizi mengatakan hadis ini Hasan, manakala Ibnu Khuzaimah menilainya sebagai shahih. Begitu juga dengan al-Hakim. Lihat Fiqh

Sunnah: Jilid 1, m/s 410 & Subulus Salam: Jilid 1, m/s 535

[3] Diriwayatkan oleh Abu Hanifah. Lihat al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 343.

[4] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 411

[5] Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang Shahih. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 412.

[6] Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang Shahih. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 412

[7] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 532

[8] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 535

[9] Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, at-Tirmizi & Ibnu Majah. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 414

[10] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud & al-Hakim. Beliau berkata: ‘ Hadis ini Shahih mengikut syarat Muslim.’ Lihat Fiqh SunnahL Jilid 1, m/s 414

[11] Diriwayatkan oleh Ahmad. Lihat al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 344

[12] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 415 & al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 344

[13] & [14] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 416 & al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 345

[15] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 416

[16] Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud & at-Tirmizi. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 417

[17] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 418

[18] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i dan di dalam riwayatnya di tambahkan: “ Dan baginda tidak melakukan salam melainkan di akhir witirnya.” Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 537

[19] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, & at-Tirmizi malah beliau menganggapnya sebagai Hasan. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 419

[20] & [21] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i & at-Tirmizi menganggapnya sebagai Hasan, dan dinilai shahih oleh Ibnu Hibban. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 423 & Subulus Salam: Jilid 1, m/s 536

[22] Diriwayatkan oleh al-Baihaqi & al-Hakim. Beliau berkata: ‘Hadis ini Shahih mengikut syarat Bukhari dan Muslim meskipun kedua-duanya tidak meriwayatkannya.

[23] Diriwayatkan oleh al-Khamsah & al-‘Iraqi berkata: ‘ Sanad hadis ini baik.’ Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 424 & Subulus Salam: Jilid 1, m/s 539

[24] Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 539

JANGAN MARAH DAN SYURGA UNTUKMU

_MG_0492

Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Nabi SAW:

“ Berwasiatlah kepadaku.” Sabda Rasulullah SAW: ‘ Janganlah kamu marah.’ Malah lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW: ‘ Janganlah kamu marah.’

( Diriwayatkan oleh al-Bukhari )

“ Lelaki “ di dalam hadis di atas merujuk kepada Abu Ad-Darda’ (r.a). Buktinya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani daripada Abu Darda’, beliau berkata:

“ Ya Rasulullah, tunjukkanlah aku kepada suatu amalan yang memasukkanku ke dalam syurga. Rasulullah SAW bersabda: ‘ Janganlah kamu marah dan syurga adalah untukmu.’

Dikatakan bahawa “ Lelaki “ berkenaan adalah Jariyah bin Qudamah (r.a), hal ini berikutan daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada beliau bahawa:

“ Aku telah bertanya kepada Nabi SAW dan aku berkata kepadanya: ‘ Ya Rasulullah, ucapkanlah aku satu perkataan dan pendekkanlah perkataan tu untukku, moga-moga aku dapat memahaminya. Sabda Rasulullah: “ Jangan kamu marah.” Maka aku mengulang-ulangi soalanku itu kepadanya berulang kali dan setiap kali aku ulangi kata-kataku itu baginda SAW menjawab: “ Janganlah kamu marah.”

JALAN KE SYURGA

Ini adalah wasiat daripada Rasulullah SAW yang ditujukan sahabat yang bertanya itu, beliau ( sahabat ) meminta satu wasiat yang pendek dan ringkas agar mampu menghafal, mengingati dan memahami akan maksud terhadap tuntutan wasiat tersebut. Dengan itu ia akan menyampaikannya kepada tujuannya ( syurga ) dengan wasiat yang kekal untuk selamanya iaitu ‘ Jangan kamu marah ’.

Hendaklah seorang Muslim itu berakhlak tinggi, akhlak kenabian, akhlak Al-Qur’an dan akhlak iman. Apabila seseorang itu berakhlak dengan akhlak yang sedemikian dan menjadi adat kebiasaan baginya, maka lahirlah di dalam dirinya satu tabiat dan ketenangan yang akan menolak sifat marah dan jauhilah sebab-sebab yang dapat menimbulkan kemarahan dan janganlah mendedahkan diri kepada apa sahaja yang menyebabkan kemarahan itu timbul. Kemarahan itu adalah satu ledakan di dalam jiwa seseorang di mana sifat marah ini akan menjurus ke arah penggunaan kekerasan dan keganasan ke atas orang lain. Justeru itu, seseorang itu mungkin akan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT seperti menyakiti dan membunuh.

Ingatlah akan firman Allah SWT di dalam surah ali ‘Imran ayat 133-134, maksudnya:

“ Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; ( iaitu ) orang-orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan ( kesalahan ) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”

Apabila seseorang itu mempunyai ciri-ciri tersebut, maka terpeliharalah dia daripada kemurkaan Allah Ta’ala lalu termasuklah dia dikalangan golongan para muttaqin yang menjadi penghuni-penghuni syurga dan kekal di dalamnya selama-lamanya.

Daripada Ibnu ‘Umar (r.a), bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW:

“ Apakah yang menjauhkan aku dari kemurkaan Allah SWT?” Sabda Rasulullah SAW: “ Janganlah kamu marah.”

( Diriwayatkan oleh Ahmad )

KEMARAHAN MENGHALANG KEBAIKAN

Renungkan hadis bahawa seorang sahabat yang bertanya ketika Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “ Janganlah kamu marah.” Sahabat itu faham akan nasihat yang diberikan, akan tetapi beliau merasa tidak cukup dengan wasiat tersebut sehingga mengulang kata-katanya berulang kali namun Rasulullah SAW tetap dengan jawapannya dan tidak menambahkan wasiat tersebut bahkan baginda SAW juga mengulang-ulangi sabdanya itu.

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menekankan bahawa agar menjauhkan diri dari sikap marah kerana ia adalah kunci kejahatan, seperti yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad mengenai seseorang yang bertanya:

“ Maka aku terfikir ketika Nabi SAW bersabda dengan sabdanya, marah itu akan mengumpulkan kesemua keburukan.”

Maknanya, jika tidak marah, maka seseorang itu akan meninggalkan kesemua kejahatan.

KESAN BURUK AKIBAT MARAH

Sifat suka marah adalah suatu akhlak yang dikeji dan suatu tabiat buruk. Jika seseorang itu menyerahkan dirinya kepada sifat marahnya, maka terhasillah kesan-kesan buruknya yang memudharatkan diri seseorang itu dan juga kepada masyarakat.

Adapun kemudharatan terhadap diri, ianya adalah pada tubuh badan, akhlak dan roh keagamaan, maka kesemuanya ini akan dapat dirasai ketika marah. Kemungkinan perkataan-perkataannya mengandungi perkara-perkara yang haram yang kadangkala terkeluar dari agama Islam seperti berkata-kata dengan perkataan-perkataan yang bertentangan dengan agama. Seseorang yang cepat marah itu akan melakukan tindakan-tindakan yang di luar jangkaan yang berkemungkinan akan melibatkan kerugian harta dan kesakitan pada tubuh badan.

Justeru kemudharatan marah terhadap masyarakat adalah, ia akan mewujudkan kedengkian di dalam hati dan memendam perasaan jahat terhadap manusia lain. Semuanya ini berkemungknan akan mendorong kepada perbuatan-perbuatan yang akan menyakitkan kaum Muslimin dan meninggalkan mereka tanpa bertegur sapa. Apabila ditimpa musibah pula, kutukan dan kejian terhadap mereka semakin bertambah. Begitulah ia akan mewujudkan permusuhan dan kebencian di kalangan sahabat handai dan rakan taulan, lebih teruk lagi apabila kesan daripada marah ini dapat merosakkan kehidupan dan memecah belahkan masyarakat.

Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Tiadalah orang kuat itu orang yang hebat ketika bertarung, tetapi orang kuat adalah yang boleh menahan dirinya ketika marah.”

( Muttafaq ‘Alaih: 1510 )

Imam As-Shan’ani ketika mengulas hadis ini dengan berkata:

“ Dalam banyak hadis dijelaskan bahawa Nabi SAW mengajarkan supaya seseorang yang muncul amarahnya ketika dia dalam keadaan berdiri supaya segera duduk. Jika dia sedang duduk, maka hendaklah dia berbaring. Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban.

Ada juga hadis yang menyebut bahawa Nabi SAW memerintahkan orang yang marah supaya berwuduk ataupun mandi, sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir. Akan tetapi hadis itu mauquf.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad disebut bahawa Nabi SAW juga memerintahkan orang yang sedang marah supaya menahan kata-katanya ( diam ) manakala dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Dunya disebutkan bahawa Nabi SAW menyuruh membaca A’udzu billahi.

MERAWAT SIFAT MARAH

1. Melatih diri dan mentarbiyahnya agar berhias dengan akhlak-akhlak yang mulia, seperti lemah lembut, sabar, teguh dalam urusan dan tenang dalam perlakuan, suri teladan kita dalam perkara ini ialah Rasulullah SAW.

2. Meneguhkan diri ketika ada sesuatu yang menyebabkannya marah dan memperingatkan dirinya akibat sifat marah dan kelebihan mengawal dan menahan amarah serta memaafkan orang lain, sebgaimana firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 134, maksudnya:

“….dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan ) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”

Nabi SAW telah bersabda:

“ Barangsiapa menahan sifat marah sedangkan dia berkemampuan untuk melepaskannya, Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di khalayak sekalian makhluk sehingga beliau akan diberi pilihan untuk memiliki mana-mana bidadari yang dikehendakinya.”

( Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, dan Ibnu Majah )

3. Berlindung kepada Allah dari syaitan yang di rejam. Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

( Surah al-A’raf: 200 )

4. Mengubah keadaannya ketika sedang marah. Hendaklah seseorang itu duduk jika dia marah dalam keadaan berdiri, dan hendaklah berbaring jika dia marah dalam keadaan duduk.

5. Menahan diri daripada berkata-kata. Atau ia akan menyesalinya selepas kemarahannya berakhir, seperti memaki hamun dan yang seumpama dengannya.

6. Berwudhu’. Ini adalah disebabkan kemarahan itu meningkatkan kepanasan dalam tubuh, lalu air pula menyejukkannya.

Rasulullah SAW telah bersabda:

“ Sesungguhnya kemarahan itu adalah dari syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan dari api, maka apabila seseorang dari kaum kamu marah hendaklah dia berwudhu’.

( Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud )

Harus di ingat bahawa, setiap orang yang marah akan bertanggungjawab ke atas segala tindak tanduknya. Apabila seseorang itu marah dan merosakkan sesuatu yang berharga, maka hendaklah dia menanggung untuk membayar ganti rugi barang tersebut. Apabila membunuh seseorang dengan sengaja, maka hendaklah dijatuhkan hukuman qishash ke atasnya. Jika dia mengucapkan kalimah kufur hendaklah dihukum dengan kemurtadannya dari Islam sehingga dia bertaubat. Jika dia bersumpah atas sesuatu, maka diterima sumpahnya dan jika dia menjatuhkan thalaq maka terjatuhlah thalaqnya itu.

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

Jilid 4, Kitab Himpunan Akhlak, m/s 493

Al-Wafi Fi Syarh Al-Arba’in An-Nabawiyyah

Hadis 16, m/s 181

BERLEBIH-LEBIHAN DALAM BERKATA-KATA

IMG_9599

:وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال

:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

” من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه “

رواه الترمذي، و قال: حسن 

Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Sebahagian daripada keindahan Islam yang dianuti seseorang adalah dia meninggalkan perkara-perkara yang tidak penting baginya.”

( Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan menurutnya hadis ini Hasan: 1504)

Bercakap dengan berlebih-lebihan tanpa ada keperluan yang penting sebenarnya merupakan sebab kemusnahan. Adapun memelihara memelihara lidah ialah suatu jalan menuju kejayaan.

Maka berkata-kata tentang sesuatu yang tidak bermanfaat pula adalah sebab kepada penghapusan amalan dan pengharaman untuk memasuki syurga. Justeru itu, hendaklah seseorang muslim berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata.

Jika seseorang itu melihat bahawa percakapannya itu dapat mendatangkan kebaikan dan pahala, maka hendaklah dia bercakap mengenainya ( sesuatu perkara ). Jika sebaliknya, perkataan-perkataan itu nanti akan menimbulkan keburukan atau menyebarkan kebatilan atau ia ragu-ragu dengannya, maka jalan yang paling selamat hendaklah seseorang itu menahan dirinya dari berkata-kata. Ini adalah disebabkan bahawa seseorang itu akan dihisab atas setiap kalimah yang diucapkannya sama ada ia akan dikurniakan ganjaran atau hukuman.

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada berdekatannya malaikat pengawas yang selalu hadir.”

( Surah Qaf: 18 )

Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Sesungguhnya seorang hamba itu akan berkata-kata dengan perkataan-perkataan yang menyebabkan keredhaan Allah dan tidak memikirkannya, maka Allah menaikkan darjatnya lantaran kalimah-kalimah yang diucapkannya itu. Dan sesungguhnya seorang hamba akan bercakap-cakap dengan kalimah-kalimah yang menyebabkan kemurkaan Allah dan beliau tidak memikirkannya, maka dengan itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam.”

( Diriwayatkan oleh al-Bukhari )

Daripada Mu’adz (r.a) bahawa:

“ Tidaklah manusia itu diseret dengan muka mereka ke dalam api neraka kecuali kerana apa-apa yang diucapkan oleh lidah-lidah mereka.”

Kesimpulannya, setengah daripada ke-elokan Islam seseorang itu apabila dia meninggalkan perkara-perkara yang bukan urusannya.

والله أعلم

Sumber:

1. Subulus Salam

Jilid 4, m/s 485

2. Al-Wafi Fi Syarh Al-Arba’in An-Nabawiyyah

Hadis 15, m/s 171

Betulkah Imam Syafie Mengharamkan kenduri arwah?

image


Jawapan:

Dalam kitabnya al-Umm 3/318, Imam asy-Syafi’e berkata:

وَأَكْرَهُ الْمَأَتِمَ وَهِيَ الْجَمَاعَةَ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ بُكَاءٌ فَإِنَّ ذَلِكَ يُحَدِّدُ الْحُذْنَ وَ يُكَلِّفُ الْمُؤْنَةَ مَعَ مَا مَضَى مِنَ الَأَثَرَ.

“Dan saya membenci berkumpul-kumpul (dalam kematian) sekalipun tanpa diiringi tangisan kerana hal itu akan memperbaharui kesedihan dan memberatkan (menyusahkan) tanggungan (keluarga si mati) serta berdasarkan atsar yang telah lalu.”

Dalam kitab al-Majmu’ 5/290 Imam al-Nawawi asy-Syafi’e rahimahullah (676H) menukilkan perkataan pengarang kitab asy-Syamil sebagai berikut:

وَأَمَّا إِصْلَاحُ أَهْلِ الْمَيِّتِ طَعَامًا وَجَمْعُ النَّاسِ عَلَيْهِ فَلَمْ يُنْقَلْ فِيْهِ شَيْئٌ وَهُوَ بِدْعَةٌ غَيْرُ مُسْتَحَبَّةٍ.

“Adapun apabila keluarga si mati membuatkan makanan dan mengundang manusia untuk makan-makan, maka hal itu tidaklah dinukil sedikit pun bahkan termasuk bid’ah, bukan sunnah.”
Kenduri arwah menyerupai tradisi masyarakat Jahiliyyah. Tidak syak lagi bahawa amalan berkumpul-kumpul di rumah si mati (untuk tujuan kenduri arwah dan bertakziah) adalah termasuk salah satu perbuatan jahiliyyah yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

أَرْبَعٌ فِيْ أُمَّتِيْ مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ لَا يَتْرُكُوْنَهُنَّ الْفَخْرُ فِيْ الأَحْسَابِ وَالطَّعْنُ فِيْ الأَنْسَابِ وَالاسْتِسْقَاءُ بِاالنُّجُوْمِ وَالنَّيَاحَةُ.

“Empat perkara yang dilakukan oleh umatku yang berasal daripada tradisi jahiliyyah yang belum mereka tinggalkan: Berbangga-bangga dengan keturunan, mencela keturunan, mempercayai hujan turun berdasarkan ramalan bintang dan meratapi kematian. [Shahih Muslim, no. 934.]
Termasuk perbuatan “meratapi kematian” dalam hadis di atas adalah berkumpulnya umat Islam di rumah orang yang ditimpa kematian walaupun bukan tujuan meratap. Berkata salah seorang sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, Jabir bin Abdillah radhiallahu ‘anh:

كُنَّا نَرَى لاِ جْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيَّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ مِنْ النَّيَاحَةِ.

“Kami (para sahabat) memandang berkumpul di rumah keluarga yang ditimpa kematian dengan membuat makanan termasuk dalam perbuatan meratap.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no. 1612.]
Telah berkata Imam Ibnu Qadamah rahimahullah dalam kitabnya al-Mughni 3/496-497 (cetakan baru ditahqiq oleh Syeikh Abdullah bin Abdul Muhsin al-Turki):

فأما صنع أهل الميت طعاما للناس فمكروه لأن فيه زيادة على مصيبتهم وشغلا لهم إلى شغلهم وتشبها بصنيع أهل الجاهلية. وروي أن جريرا وفد على عمر فقال: هل يناح على ميتكم؟ قال: لا. قال: فهل يجتمعون عند أهل الميت ويجعلون الطعام؟ قال: نعم. قال: ذاك النوح.

“Adapun ahli keluarga si mati membuatkan makanan untuk orang ramai maka itu satu hal yang dibenci (haram). Kerana akan menambah (kesusahan) di atas musibah mereka dan menyibukkan mereka di atas kesibukan mereka dan menyerupai perbuatan jahiliyyah. Dan telah diriwayatkan bahawasanya Jarir pernah bertemu kepada ‘Umar. Lalu ‘Umar bertanya: “Apakah mayat kamu diratapi?” Jawab Jarir: “Tidak!” ‘Umar bertanya lagi: “Apakah mereka berkumpul di rumah si mati dan mereka membuat makanan?”Jawab Jarir: “Ya!” Berkata ‘Umar: “Itulah ratapan!.”

Previous Older Entries

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat