SOLAT SUNAT WITIR

IMG_0015_6_7_8_tonemapped

Daripada ‘Ali (r.a), beliau berkata:

“ Solat witir itu tidak diwajibkan sebagaimana solat fardhu, melainkan ia hanya sunat yang biasa dilakukan oleh Rasulullah SAW.” [1]

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda:

“ Wahai Ahlul-Qur’an! Kerjakanlah solat witir, sebab Allah witir ( Maha Esa ) dan amat menyukai perkara-perkara yang ganjil.” [2]

Ashim bin Hamzah berkata:

“ Saya pernah bertanya kepada ‘Ali (r.a) tentang solat witir apakah ia wajib atau tidak, maka beliau menjawab: ‘ Ia tidak seperti wajibnya solat fardhu, tetapi ia amat digalakkan oleh Nabi SAW yang tidak layak bagi seseorang meninggalkannya’.” [3]

Imam Abu Hanifah pula menegaskan bahawa solat witir adalah wajib. Namun begitu, pendapat ini adalah lemah dan disanggah oleh jumhur ulama. Ibnu al-Munzir berkata:

“ Aku tidak pernah mengetahui seorang pun yang bersetuju dengan pendapat Abu Hanifah dalam masalah ini.” [4]

WAKTU MELAKSANAKANNYA

Para ulama bersepakat waktu solat sunat witir bermula sesudah solat Isyak dan berterusan hingga masuk waktu fajar. Dari Abu Mas’ud (r.a), katanya:

“ Rasulullah SAW kadang-kadang mengerjakan solat witir pada awal malam, pertengahan malam dan kadang-kadang pula pada penghujung malam.” [5]

Daripada Abu Tamim al-Jaisyani (r.a) bahawa Amr bin al-‘Ash pernah menyampaikan khutbah dihadapan kaum muslimin pada hari Jumaat dan berkata: “ Abu Bashrah memberitahukan kepadaku bahawa Nabi SAW bersabda:

‘ Sesungguhnya Allah menambahkan solat pada kamu iaitu solat witir. Oleh itu, kerjakanlah solat itu antara Isyak hingga solat fajar!’

Abu Tamim berkata: “ Kemudian Abu Dzar menarik tanganku dan mengajak ke dalam masjid menuju tempat Abu Basrah (r.a), lalu bertanya: “ Benarkah kamu pernah mendengar Rasulullah bersabda sebagaimana yang dikatakan oleh Amr itu?” Abu Bashrah menjawab: “ Ya! Aku sendiri pernah mendengar demikian itu dari Rasulullah SAW.” [6]

Daripada ‘Aisyah (r.a), beliau berkata:

“ Setiap malam Rasulullah SAW sentiasa mengerjakan solat witir dan solat witirnya itu berhenti sampai dengan waktu sahur.” [7]

Sekiranya seseorang itu mengerjakan solat witir sebelum mengerjakan solat fardu Isyak, maka ulama bersepakat bahawa solat witir yang dikerjakan itu adalah tidak sah.

BILAKAH DISUNATKAN MENYEGERAKAN ATAU MELAMBATKAN SOLAT WITIR?

Daripada Ibn ‘Umar (r.a), Nabi SAW bersabda:

“ Akhiri solat kamu pada waktu malam hari dengan solat witir.” [8]

Dari Jabir (r.a) bahawa, Nabi SAW bersabda:

“ Sesiapa yang berasa tidak sanggup jaga pada akhir malam, sebaiknya dia berwitir pada permulaan malam. Tetapi siapa yang berasa sanggup jaga pada akhir malam, sebaiknya dia berwitir pada akhir malam itu. Sebab mengerjakan solat pada akhir malam dihadiri dan disaksikan oleh malaikat, dan oleh kerananya, ia adalah lebih afdhal.” [9]

Dari Jabir (r.a), bahawa Rasulullah SAW bertanya kepada Abu Bakr:

“ Bilakah kamu berwitir? Abu Bakr menjawab: ‘ Pada permulaan malam sesudah solat isyak.’ Lalu beliau bertanya kepada ‘Umar: ‘ Bilakah kamu berwitir wahai ‘Umar?’ ‘Umar menjawab: ‘ Pada akhir malam.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda: ‘ Engkau ini wahai Abu Bakr lebih mengutamakan sikap berhati-hati, manakala engkau pula wahai ‘Umar lebih menonjolkan sikap keteguhanmu.” [10]

Bagi orang yang mengerjakan solat witir itu, ada dua keadaan:

1. Hazm

Barangsiapa yang tidak yakin akan dirinya bakal bangun di akhir malam, maka hendaklah dia mengerjakan solat witir di permulaan malam supaya waktunya tidak terlepas.

2. ‘Azm

Barangsiapa yang yakin dirinya mampu untuk bangun di akhir malam, hendaklah dia bertekad untuk meraih pahala yang lebih utama, iaitu mengakhirkan solat witir di penghujung malam. Melalui hadis Jabir (r.a) di atas, jelas menunjukkan kelebihan mengerjakan solat witir di akhir malam iaitu disaksikan oleh para malaikat yang bertugas pada waktu malam dan para malaikat yang bertugas pada waktu siang hari ( iaitu penggantian antara malaikat yang bertugas pada malam dan siang hari ) pada ketika ini ia merupakan waktu turunnya rahmat Allah dan pada waktu inilah Rasulullah SAW selalunya mengerjakan witir.

Walau bagaimanapun, Nabi SAW pernah mengerjakannya pada awal malam hari dan pada pertengahannya ( rujuk hadis Abu Mas’ud di atas ).

BILANGAN RAKAAT

Sekurang-kurangnya bilangan rakaat solat witir adalah satu rakaat dan bilangan yang paling banyak adalah tiga belas rakaat.

Dari Abu Ayub Al-Ansari bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Berwitirlah dengan lima ( rakaat ), jika tidak sanggup maka tiga ( rakaat ) dan jika tidak sanggup maka satu ( rakaat ).” [11]

Imam at-Tirmizi berkata:

“ Diriwayatkan dari Nabi SAW, bahawa beliau pernah mengerjakan solat sunat witir sebanyak tiga belas rakaat, sebelas, sembilan, tujuh, lima, tiga atau se-rakaat sahaja.” [12]

Ishaq bin Ibrahim berkata:

“ Adapun yang dimaksudkan dengan riwayat di atas bahawa Nabi SAW mengerjakan solat malam sebanyak tiga belas rakaat dan termasuklah solat witir di dalamnya. Jadi, semua solat malam yang dikerjakan Nabi SAW di sebut dengan solat witir.” [13]

Dibolehkan mengerjakan solat witir secara dua-dua rakaat ( maksud disini ialah mengerjakan solat witir lima rakaat ), kemudian diakhiri dengan satu rakaat. Setiap daripada dua rakaat itu ditutup dengan satu kali tasyahud dan satu kali salam.

Juga boleh dilakukan secara keseluruhan dengan dua kali tasyahud dan sekali salam, dengan erti kata lain seluruh rakaatnya dikerjakan secara bersambung tanpa tasyahud selain daripada rakaat sebelum terakhir iaitu pada rakaat ke-empat dan selanjutnya berdiri lagi untuk mengerjakan satu rakaat, kemudian bertasyahud dan seterusnya memberi salam.

Malah dibolehkan juga mengerjakannya secara keseluruhan iaitu satu kali tasyahud dan satu kali salam pada rakaat yang terakhir ( rakaat ke-lima ).

Ketiga-tiga cara ini adalah dibolehkan berdasarkan keterangan hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW. Ibnu Qayyim Rahimahullah berkata:

“ Hadis-hadis shahih berkaitan solat witir menegaskan bahawa ia boleh dikerjakan dengan lima atau tujuh rakaat bersambung, [14] seperti hadis Ummu Salamah yang menjelaskan:

“ Rasulullah SAW sering berwitir tujuh atau lima rakaat secara bersambung dan tidak dipisahkan dengan ucapan salam atau percakapan.” [15]

‘Aisyah (r.a), berkata:

“ Rasulullah SAW biasanya mengerjakan solat sebanyak tiga belas rakaat pada waktu malam, lima rakaat daripadanya adalah solat witir dan beliau tidak duduk melainkan pada rakaat terakhir.” [16]

Secara kesimpulannya, Nabi SAW melakukan solat witir dengan cara yang berlainan antara satu sama lain. Adakalanya baginda mengerjakan sebanyak tiga rakaat sekaligus dan mengucapkan salam pada rakaat terakhir, adakalanya baginda mengerjakannya dengan dua salam iaitu salam yang pertama pada akhir rakaat kedua dan kemudian salam yang kedua pada satu rakaat kemudiannya.

Walau bagaimanapun, apa yang kerap baginda lakukan adalah mengucapkan salam sesudah dua rakaat hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh baginda SAW:

“ Solat malam itu mesti dikerjakan dua rakaat-dua rakaat.” [17]

Kemudian barulah baginda SAW melakukan rakaat yang ketiga dan mengucapkan salam. Maknanya, solat witir boleh dilakukan secara sekaligus dan boleh pula secara terpisah dengan melakukan salam pada setiap dua rakaat. Tetapi riwayat yang mengatakan solat witir boleh dikerjakan secara terpisah lebih kuat daripada riwayat yang mengatakan boleh dikerjakan secara sekali gus. [18]

BACAAN SURAH DALAM SOLAT WITIR

Setelah membaca surah al-Fatihah, seseorang dibolehkan membaca mana-mana ayat al-Qur’an ketika mengerjakan witir. Tetapi disunatkan apabila mengerjakan solat witir sebanyak tiga rakaat supaya membaca surah al-A’la pada rakaat pertama, surah al-kafirun pada rakaat kedua dan surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas pada rakaat ketiga.

Daripada Ubay bin Ka’ab (r.a), beliau berkata:

“ Rasulullah SAW seringkali melakukan solat witir dengan membaca سبح اسم ربك الأعل ( surah al-A’la ), قل يا أيها الكفرون ( surah al-Kafirun ), dan قل هو الله أحد ( surah al-Ikhlas ).” [19]

di dalam riwayat ‘Aisyah (r.a), katanya:

“ Adalah Rasulullah SAW ketika berwitir membaca pada rakaat pertama surah al-A’la, pada rakaat kedua membaca surah al-kafirun, manakala pada rakaat ketiga membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas.” [20]

TIDAK ADA WITIR DALAM SATU MALAM

Daripada Thalq Ibnu Ali (r.a), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Tidak ada dua solat witir dalam satu malam.” [21]

Solat witir tidak boleh dilakukan secara berulang dalam satu malam, inilah pendapat kebanyakan ulama salaf dan khalaf. Mengulanginya bererti membatalkan pengertian witir itu sendiri yang bermaksud ganjil, kerana keadaannya berubah menjadi syafa’ ( genap ).

Sesiapa yang telah mengerjakan solat witir lalu dia hendak mengerjakan solat sunat semula, maka dia boleh mengerjakannya, tetapi jangan mengerjakan solat witir. Jika seseorang itu tetap ingin melakukannya, maka sebaiknya menggabungkan satu rakaat lain kepada witir yang pertama, lalu mengerjakan solat beberapa rakaat yang dia mahu dan dia boleh melakukan solat witir di penghujung solatnya. Ini boleh dilakukan selagi tidak dikhuatiri waktu subuh segera tiba dan waktunya cukup panjang untuk mengerjakannya. [22]

MENGQADHA SOLAT WITIR

Daripada Abu Hurairah (r.a) bahawa, Nabi SAW bersabda:

“ Jika salah seorang antara kamu bangun pagi dan belum berwitir, maka hendaklah dia mengqadha witir.” [23]

Menurut riwayat Ahmad dan at-Thabrani dengan sanad yang hasan, bahawa:

“ Rasulullah SAW pernah bangun pagi sesudah waktu subuh lalu beliau berwitir.”

Daripada Abu Sa’id al-Khudri (r.a) bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Barangsiapa yang meninggalkan solat witir kerana tertidur atau lupa, maka hendaklah dia mengerjakannya pada waktu subuh atau sebaik dia mengingatinya.” [24]

Kesimpulannya, jika seseorang itu sengaja meninggalkannya maka orang ini telah menyia-nyiakan sunat yang mulia dan pahala yang berlimpah yang tidak dapat diraih olehnya. Inilah yang diisyaratkan oleh hadis yang mengatakan:

“ Barangsiapa yang menjumpai waktu subuh, sedangkan dia belum mengerjakan solat witir, maka tidak ada witir baginya.”

Adakalanya seseorang tertidur atau terlupa hingga solat witir terlepas. Inilah hukum di mana seseorang itu digalakkan mengerjakannya sebaik bangun daripada tidur atau ingat bahawa dia belum mengerjakan solat witir. Dia tetap mendapat pahala yang sama dengan pahala orang yang mengerjakannya pada waktunya. Sudah memadai uzur baginya kerana tertidur atau terlupa, dia sama dengan orang yang meninggalkan solat fardu kerana tertidur atau terlupa. Inilah yang diisyaratkan oleh hadis:

“ Barangsiapa yang meninggalkan solat witir kerana tertidur atau lupa, maka hendaklah dia mengerjakannya pada waktu subuh atau sebaik dia ingat.” [25]

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

Fiqh Sunnah

Al-Fiqh Al-Wadhih

______________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh an-Nasa’i & at-Tirmizi dan beliau menilainya

Hasan. Manakala al-Hakim menilainya sebagai Shahih. Lihat Subulus

Salam: Jilid 1, m/s 523.

[2] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmizi, Ibnu Majah, al-Khamsah, al-Hakim, al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah. At-Tirmizi mengatakan hadis ini Hasan, manakala Ibnu Khuzaimah menilainya sebagai shahih. Begitu juga dengan al-Hakim. Lihat Fiqh

Sunnah: Jilid 1, m/s 410 & Subulus Salam: Jilid 1, m/s 535

[3] Diriwayatkan oleh Abu Hanifah. Lihat al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 343.

[4] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 411

[5] Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang Shahih. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 412.

[6] Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang Shahih. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 412

[7] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 532

[8] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 535

[9] Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, at-Tirmizi & Ibnu Majah. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 414

[10] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud & al-Hakim. Beliau berkata: ‘ Hadis ini Shahih mengikut syarat Muslim.’ Lihat Fiqh SunnahL Jilid 1, m/s 414

[11] Diriwayatkan oleh Ahmad. Lihat al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 344

[12] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 415 & al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 344

[13] & [14] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 416 & al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 345

[15] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 416

[16] Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud & at-Tirmizi. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 417

[17] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 418

[18] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i dan di dalam riwayatnya di tambahkan: “ Dan baginda tidak melakukan salam melainkan di akhir witirnya.” Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 537

[19] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, & at-Tirmizi malah beliau menganggapnya sebagai Hasan. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 419

[20] & [21] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i & at-Tirmizi menganggapnya sebagai Hasan, dan dinilai shahih oleh Ibnu Hibban. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 423 & Subulus Salam: Jilid 1, m/s 536

[22] Diriwayatkan oleh al-Baihaqi & al-Hakim. Beliau berkata: ‘Hadis ini Shahih mengikut syarat Bukhari dan Muslim meskipun kedua-duanya tidak meriwayatkannya.

[23] Diriwayatkan oleh al-Khamsah & al-‘Iraqi berkata: ‘ Sanad hadis ini baik.’ Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 424 & Subulus Salam: Jilid 1, m/s 539

[24] Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 539

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat

%d bloggers like this: