KEUTAMAAN BERSIFAT MALU DAN ANJURAN UNTUK MENGAMALKANNYA

IMG_8726

1. Daripada Ibnu ‘Umar ( r.a ), bahawa Rasulullah SAW pernah melewati seorang kaum Ansar yang sedang memberi nasihat kepada saudaranya tentang sifat malu. Mendengar itu, Rasulullah SAW bersabda: “ Biarkan dia ( memberi nasihat kepada saudaranya ), kerana sifat malu itu adalah sebahagian daripada iman.” [1]

2. Daripada Imran ibn Husain ( r.a ), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Sifat malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan.” [2]

Dalam satu riwayat Imam Muslim disebutkan:

“ Sifat malu itu baik semuanya.” Atau baginda berkata: “ Sifat malu itu semuanya adalah baik.” [3]

3. Daripada Abu Sa’id al-Khudri ( r.a ), beliau berkata:

“ Sesungguhnya Rasulullah SAW itu lebih pemalu berbanding seorang gadis yang ada dalam pingitan keluarganya. Apabila melihat sesuatu yang tidak disukainya maka kami pasti akan mengetahuinya hanya dengan melihat wajahnya.” [4]

4. Daripada Ibnu Mas’ud ( r.a ), Rasulullah SAW bersabda:

“ Sebahagian daripada sabda nabi-nabi terdahulu yang masih sempat diingat oleh manusia adalah: ‘ Jika kamu tidak punya malu, maka berbuatlah sekehendak hatimu’.” [5]

KETERANGAN

Al-Haya’ ( malu ) menurut bahasa, ialah perubahan dan perasaan yang muncul di dalam hati manusia berupa ketakutan melakukan sesuatu yang dipandang aib oleh orang lain. Sedangkan menurut syarak, ia bermaksud sifat yang membimbing seseorang yang menjauhi kejahatan dan membimbingnya supaya tidak lalai menjalankan hak-hak agama.

Sifat malu adalah salah satu cabang iman, juga salah satu daripada perkara iman. Dengan memiliki sifat malu, seseorang terhindar daripada maksiat. Jadi malu ini menjadi bahagian daripada iman kerana dapat menghalangi seseorang melakukan maksiat, demikianlah pendapat Ibn Qutaibah.

Al-Imam Al-Shan’ani mengulas tentang sifat malu dengan berkata:

“ Malu itu ada dua jenis. Ada yang bersifat naluri, dan ada pula yang bersifat perilaku. Jenis yang kedua ini mesti di usahakan ( melatih diri untuk malu ). Kita wajib mengarahkan sifat malu kita menjadi perilaku yang sesuai dengan syariat, agar kita termasuk dalam sabda Nabi SAW:

“ Malu itu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan.”

Di dalam kitab al-Mufham, al-Qurthubi menyebutkan bahawa Nabi SAW memiliki kedua-dua jenis sifat malu ini. Selain itu baginda juga adalah insan yang paling malu melakukan sesuatu perkara yang melanggar syariat.”

Para ulama mengatakan:

“ Hakikatnya, sifat malu itu merupakan akhlak yang dapat memotivasikan diri untuk meninggalkan perkara-perkara yang buruk dan membentengi diri daripada tersilap dalam memberikan hak kepada pemiliknya.”

Imam an-Nawawi meriwayatkan daripada Abu al-Qasim al-Junaid, dia berkata:

“ Malu itu adalah suatu keadaan ketika melihat berbagai kenikmatan dan ketika melihat adanya kekurangan untuk bersyukur. Dari situ, lahirlah suatu keadaan yang disebut haya’ ( malu ).”

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

Jilid 4, Kitab Himpunan Akhlak.

Riyadh Al-Salihin

Kitab Adab, Bab 84.

___________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh Bukhari: 1/24 & Muslim: 1/63

[2] Diriwayatkan oleh Bukhari: 1/6117 & Muslim: 1/64

[3] Diriwayatkan oleh Muslim: 1/64 & Ahmad: 4/426,440,442,445 dan 446.

[4] Diriwayatkan oleh Bukhari: 10/6199 & Muslim: 4/1809-1810

[5] Diriwayatkan oleh Bukhari: 1554

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat