HUKUM MENGGERAK-GERAKKAN JARI TELUNJUK DALAM TASYAHUD

IMG_5585

 

 

Ulama berselisih pendapat tentang hukumnya. Sebahagian berpendapat bahawa hukumnya adalah makruh, sedangkan sebahagian yang lain berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat.

Ulama yang mengatakan perbuatan ini makruh adalah berdalilkan dengan sebuah hadis yang bersumber daripada Abdullah bin Zubair, bahawa:

“ Nabi صلى الله عليه وسلم menjulurkkan jari telunjuknya ke depan tetapi tidak menggerak-gerakkannya.”

( Diriwayatkan oleh Abu Daud )

 

Manakala ulama yang mengatakan hukumnya sunat adalah berdalil kepada hadis yang bersumber daripada Wail bin Hajar, dan beliau mencontohkan sebagaimana sifat solat Nabi صلى الله عليه وسلم :

“ Kemudian baginda صلى الله عليه وسلم menggenggam tiga jari-jarinya dan melingkarkannya, kemudian baginda mengangkat jari ( telunjuk )nya, maka saya lihat baginda menggerak-gerakkannya sambil membaca doa.”

( Diriwayatkan oleh Ahmad dan an-Nasa’i )

 

Sebahagian ulama fiqh mencuba untuk mencari titik temu kedua-dua hadis yang seakan-akan bertentangan itu dengan berkata:

“ Menggerak-gerakkan itu disunatkan, tetapi sebaiknya tidak terlalu banyak agar tidak dianggap bermain-main, lebih-lebih lagi kerana sebahagian ulama berpendapat bahawa gerakan-gerakan yang banyak meskipun ringan boleh membatalkan solat jika orang yang solat mengetahui bahawa perbuatan tersebut boleh membatalkan solat.”

 

والله أعلم

Al-Fiqh Al-Wadhih

1/262

ANJURAN UNTUK MENZIARAHI KUBUR

IMG_6632

Daripada Buraidah Ibn al-Hashib al-Aslami ( r.a ), bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Dahulu aku melarang kamu daripada menziarahi kubur, namun sekarang hendaklah kamu menziarahinya!”

( Diriwayatkan oleh Muslim )

Manakala di dalam riwayat at-Tirmizi di tambahkan:

“ Ini kerana ziarah kubur itu boleh mengingatkan hari akhirat.”

Di dalam riwayat Ibnu Majah yang bersumber daripada Ibnu Mas’ud ( r.a ) ditambahkan seperti berikut:

“ Dan menyebabkan zuhud terhadap urusan duniawi.”

 

 

KETERANGAN

Pada masa permulaan Islam Nabi صلى الله عليه صسلم melarang ziarah kubur kerana mereka masih baru meninggalkan penyembahan kubur. Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم membenarkan mereka menziarahi kubur setelah beberapa waktu kemudian dan baginda menjelaskan hikmah yang terdapat di dalam menziarahi kubur yang antara lain adalah mengingatkan seseorang kepada hari akhirat dan menyebabkan zuhud terhadap urusan duniawi. Oleh itu, menziarahi kubur hendaklah dilakukan oleh orang yang mempunyai ketabahan yang kuat dan sempurna agamanya.

Disyariatkan menziarahi kubur dan dianjurkan melakukannya, kerana menziarahi kubur merupakan pengajaran dan nasihat bagi orang yang rajin melakukannya. Ulama telah bersepakat bahawa menziarahi kubur itu sunat bagi kaum lelaki, tetapi mereka berselisih pendapat bagi kaum wanita. Ada di antara mereka yang mengharamkan kaum wanita menziarahi kubur kerana mereka memiliki kesabaran yang rapuh dan cepat beremosi. Mereka yang mengharamkannya berlandaskan kepada hadis berikut:

Daripada Abu Hurairah ( r.a ), bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم melaknat wanita-wanita yang melakukan ziarah kubur.

( Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan dinilai shahih oleh Ibnu Hibban )

Ada pula di antara mereka yang membolehkan kaum wanita melakukan menziarahi kubur dengan alasan bahawa rukhsah yang diberikan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم dalam masalah menziarahi kubur ini bersifat umum yang mencakupi kaum lelaki dan kaum wanita. Ziarah kubur ini dikukuhkan lagi kepada kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia, kerana ada hadis yang menganjurkan berbuat demikian.

 

 

والله أعلم

Sumber

Subulus Salam

2/239

Riyadhus Solihin

1/531

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat