TAYAMMUM

IMG_6598

 

Takrif

Tayammum menurut bahasa ialah bersengaja atau bertujuan. Sedangkan menurut makna syari’i adalah bertujuan dan sengaja menyapu tanah ke bahagian muka dan kedua-dua tangan dengan niat agar dapat mengerjakan solat dan lain-lain seumpamanya.

Tayammum adalah alat bersuci menggunakan debu, sebagai pengganti kepada air, sama ada wuduk ataupun mandi ketika ketiadaan air atau tidak mampu menggunakan air kerana sebab-sebab tertentu. Tayammum disyariatkan pada tahun ke 6 Hijrah, ketika Nabi SAW kembali dari peperangan Bani Mustaliq, sebagaimana yang diyakini oleh Ibnu Abdul Bar dan selainnya daripada ulama hadis, seperti Ibnu Sa’id dan Ibnu Hibban.

Dalil pensyariatan tayammum adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“…. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air ( untuk mandi atau berwuduk ), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah ( debu ), yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pemgampun.”

( Surah an-Nisa’: 43 )

Manakala dalil daripada Sunnah pula ialah berdasarkan kepada hadis Abu Umamah ( r.a ), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Allah menjadikan seluruh isi bumi untukku dan untuk umatku sebagai masjid dan alat bersuci. Oleh sebab itu, jika solat telah memanggil salah seorang daripada umatku, maka disisinya itu ( tanah ) terdapat alat untuk bersuci.” [1]

 

Tayammum Adalah Satu Keistimewaan

 

Tayammum merupakan salah satu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita, ia ( tayammum ) tidak pernah disyariatkan kepada umat-umat terdahulu.

Daripada Khuzaifah ( r.a ), bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Kita dilebihkan dari manusia yang lain dengan tiga perkara:-

1. Barisan kita dijadikan seperti barisan para malaikat

2. Dijadikan bagi kita seluruh bumi sebagai masjid

3. Dan dijadikan bagi kita tanah sebagai alat bersuci, apabila kita tidak menemukan air.” [2]

 

Dari Jabir ( r.a ), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Allah memberiku lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada satu umat pun sebelumku:

1. Aku diberi kemenangan melawan musuh dengan perasaan takut yang tertanam dalam jiwa mereka sejauh perjalanan satu bulan perjalanan

2. Bumi dijadikan sebagai masjid dan alat bersuci untukku dan oleh kerananya, sesiapa diantara umatku yang mendapati bahawa waktu solat telah tiba, hendaklah dia mengerjakannya

3. Harta ghanimah dihalalkan kepadaku, padahal ia tidak dihalalkan kepada satu umat pun sebelum ku ini

4. Aku diberi hak unruk memberi syafaat

5. Jika nabi-nabi lainnya diutus kepada kaumnya sahaja, sebaliknya aku diutus kepada seluruh umat manusia.” [3]

 

 

Sebab Pensyariatan Tayammum

 

A’isyah ( r.a ) meriwayatkan, katanya:

“ Kami pergi bersama Nabi SAW dalam suatu perjalanan. Ketika kami tiba di Baida’, rantaiku terputus. Nabi SAW pun berhenti untuk mencarinya. Begitu pula para sahabat berhenti untuk mencari kalung tersebut. Kebetulan tempat itu tidak berair dan mereka pula tidak mempunyai bekalan air. Para sahabat datang menjumpai Abu Bakar ( r.a ), kata mereka: ‘ Tidakkah kamu mengetahui apa yang telah diperbuat A’isyah?’ maka datanglah Abu Bakar, sementara Nabi SAW sedang tidur di atas pahaku. Lalu Abu Bakar pun mencelaku dan mengeluarkan kata-kata sesuka hatinya, bahkan menusuk pinggangku dengan tangannya. Aku menahan diri agar tidak sampai bergerak, kerana mengingat Nabi SAW sedang tidur sampai pagi tanpa air. Kemudian Allah Taala menurunkan ayat tayammum, iaitu ‘… maka bertayammumlah kamu…’ Usaid bin Hudhair berkata: ‘ Bukankah ini satu berkat yang luar biasa ke atas kamu, wahai keluarga Abu bakar?’ A’isyah berkata: ‘ Kemudian para sahabat menghalau unta yang aku kenderai. Tidak lama kemudian, kami menemukan rantai itu di bawahnya.” [4]

 

 

 

Sebab-sebab yang membolehkan tayammum

Orang yang berhadas kecil mahupun berhadas besar dibolehkan bertayammum, sama ada ketika bermukim mahupun bermusafir sebagai pengganti kepada air, jika terdapat salah satu sebab-sebab berikut:

1. Sakit

Sakit yang tidak mampu menggunakan air seperti mengalami luka atau bila menggunakan air penyakitnya semakin bertambah teruk ataupun kesembuhannya semakin lambat, sama ada yang demikian itu dikenalpasti berdasarkan pengalaman atau berdasarkan nasihat doktor yang dapat dipercaya. Maka dalam keadaan seumpama ini seseorang itu dibolehkan bertayammum. Dalilnya:

Daripada Jabir ( r.a ), katanya:

“ Suatu hari kami berangkat untuk mengadakan perjalanan. Kebetulan, salah seorang di antara kami tertimpa sesbuah batu hingga melukakan kepalanya. Kemudian orang itu bermimpi junub dan dia pun bertanya kepada rakan-rakannya: ‘ Adakah aku ini mendapat keringanan seperti bertayammum?’ Mereka menjawab: ‘ Tidak ada keringanan untukmu, kerana kamu masih lagi boleh menggunakan air.’ Orang itu pun mandi dan secara kebetulan, dia terus meninggal dunia. Setelah itu, mendatangi Rasulullah SAW dan kami menceritakan peristiwa itu yang dialami oleh seorang rakan kami itu. Nabi SAW yang mendengar cerita itu langsung terperanjat dan bersabda: ‘ Mereka telah membunuh lelaki itu! Semoga Allah membunuh mereka! Kenapa mereka tidak bertanya jika tidak tahu? Bertanya merupakan satu-satunya cara untuk mengatasi kejahilan! Padahal lelaki itu sudah cukup dengan cara bertayammum, mengeringkan darahnya, atau membalut lukanya dengan kain, kemudian menyapu bahagian atasnya dan setelah itu membasuh seluruh tubuhnya.” [5]

 

 

2. Ketiadaan Air

– Jika seseorang tidak menemukan air, maka dibenarkan untuk bertayammum. Dalilnya adalah berdasarkan hadis ‘Imran bin Husain ( r.a ), katanya:

“ Ketika itu, kami berada dalam perjalanan bersama Rasulullah SAW. Beliau pun mengerjakan solat bersama para sahabatnya. Tiba-tiba ada seorang lelaki yang mengasingkan dirinya tanpa ikut serta mengerjakan solat. Melihat itu, lantas Nabi pun bertanya:

‘ Kenapa kamu tidak mengerjakan solat (berjemaah bersama kami )?’ Lelaki itu menjawab: ‘ Aku dalam keadaan berjunub, sementara air tidak ada.’ Nabi pula bersabda: ‘ Gunakanlah tanah, sebab yang demikian boleh dilakukan sebagai pengganti air.” [6]

 

Dari Abu Zar ( r.a ), Nabi SAW bersabda:

“ Sesungguhnya tanah dapat mensucikan bagi orang yang tidak mendapati air selama sepuluh tahun.” [7]

Tetapi sebelum bertayammum, seseorang dikehendaki mencari air terlebih dahulu dari bekalannya, dari rakan-rakannya, atau dari tempat yang menurut kebiasaannya tidak di anggap terlalu jauh. Sekiranya jarak seseorang itu dengan air lebih daripada separuh farsakh iaitu menyamai 2 ½ km, maka dia boleh bertayammum dan dia tidak wajib berusaha untuk pergi mendapatkan air tersebut kerana yang demikian itu adalah membebankan.

 

 

3. Air sangat sejuk

– Jika air teramat sejuk dan diduga kuat apabila digunakan akan menimbulkan bahaya, tetapi dengan syarat seseorang itu tidak dapat memanaskan air tersebut meskipun dengan cara mengupah ( untuk memanaskan air ). Dalilnya bersandarkan kepada hadis Amar bin al-‘Ash ( r.a ) bahawa:

“ Tatkala diutus untuk menjadi panglima perang Zat as-Salasil, dia berkata: ‘ Pada waktu malam yang teramat sejuk, aku bermimpi junub. Aku khuatir mati jika aku memaksakan diri untuk mandi. Akhirnya, aku pun bertayammum lalu aku mengerjakan solat subuh bersama sahabat-sahabatku yang lain. Setibanya kami dihadapan Rasulullah SAW, sahabat-sahabatku tadi menceritakan peristiwa itu kepadanya. Nabi SAW bertanya: ‘ Wahai Amar! Betulkah kamu melakukan solat bersama sahabat-sahabatmu ketika kamu dalam keadaan berjunub?’ Jawabku: ‘ Aku teringat firman Allah Azza wa Jalla: “ Janganlah kamu membunuh dirimu! Sungguh Allah Maha Penyayang terhadap kamu sekalian.” ( Surah an-Nisa’: 29 ). Berikutan itu, aku pun bertayammum lalu mengerjakan solat. Mendengar itu, Rasulullah hanya tertawa dan tidak mengatakan apa-apa lagi.” [8]

Hadis ini menerangkan pengakuan Nabi SAW dan pengakuannya itu boleh dijadikan sebagai dalil, kerana Nabi SAW tidak pernah mengakui atau menyetujui perkara yang batil.

 

 

4. Khuatir bahaya menimpa diri, kehormatan dan hartanya

– Jika air berhampiran dengan seseorang, tetapi dia khuatir terhadap keselamatan diri, kehormatan dan hartanya, khuatir ditinggalkan rakan-rakan serombongannya ( musafir ), keberadaan air itu terhalang oleh musuh yang amat digeruni tanpa mengira musuh dari kalangan manusia atau dari jenis lain. Maka dalam situasi sebegini seseorang dibolehkan bertayammum. Begitu juga seseorang dibolehkan bertatammum jika khuatir bakal dituduh melakukan perkara yang bukan-bukan dan akan mengakibatkan bahaya dan bencana jika dia mandi.

 

5. Air tersebut hanya cukup untuk diminum

– Jika seseorang memerlukan air, sama ada untuk keperluan mendesak mahupun untuk keperluan yang akan datang, seperti untuk keperluan minumnya atau keperluan minum selain dirinya, meskipun hanya untuk keperluan minum haiwan. Maka dalam keadaan inii seseorang itu diboleh kan bertayammum dan menyimpan air yang ada padanya. Demikian pula jika air itu digunakan untuk memasak dan menghilangkan najis yang tidak dapat dimaafkan, maka dalam situasi ini juga seseorang itu hendaklah bertayammum dan menyimpan air yang ada padanya. Imam Ahmad berkata:

“ Sejumlah Sahabat bertayammum dan menyimpan air untuk minuman mereka.” [9]

 

Dari ‘Ali ( r.a ), beliau mengeluarkan fatwa mengenai seorang lelaki berjunub ketika dalam perjalanan, sedangkan dia hanya membawa sedikit air, di samping khuatir akan mengalami kehausan:

“ Hendaklah dia bertayammum dan tidak perlu mandi!” [10]

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata:

“ Sesiapa yang menahan kencing kerana takut batal, sebab dia tidak mempunyai air, maka lebih afdhal baginya adalah mengerjakan solat dengan tayammum dan membuang air kecil berbanding mempertahankan wuduk dan mengerjakan solat sambil menahan kencing.” [11]

 

 

__________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh Ahmad. Syaikh Albani mengklasifikasikannya sebagai shahih dalam Irwa’ al- Ghalil: Jilid 1,m/s: 180. Lihat Fiqh Sunnah: 1/161

[2] Diriwayatkan oleh Muslim. Lihat al-Fiqh al-Wadhih: 1/121

[3] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Fiqh Sunnah: 1/162

[4] Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah. Lihat Fiqh Sunnah: 1/163, al-Fiqh al-Wadhih: 1/120

[5] Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah, ad-Daruqutni dan dikategorikan sebagai shahih oleh ibnu as-Sakan. Lihat Fiqh Sunnah: 1/165, al-Fiqh al-Wadhih: 1/122, Fiqh Manhaji: 1/112

[6] Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, An-Nasa’i & Musnad Abu ‘Awanah. Lihat Fiqh Sunnah: 1/ 164

[7] Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah. Menurut at-Tirmizi, hadis ini hasan lagi Shahih. Lihat Fiqh Sunnah: 1/164

[8] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Hakim, ad-Daruqutni dan Ibnu Hibban, manakala al-Bukhari menyebutkannya secara mu’allaq. Lihat Fiqh Sunah: 1/166, al-Fiqh al-Wadhih: 1/123, Fiqh Manhaji: 1/112

[9] Lihat Fiqh Sunnah: 1/167

[10] Lihat Fiqh Sunnah: 1/167, al-Fiqh al-Wadhih: 1/123

[11] Lihat Fiqh Sunnah: 1/167

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat

%d bloggers like this: