HUKUM MENGGERAK-GERAKKAN JARI TELUNJUK DALAM TASYAHUD

IMG_5585

 

 

Ulama berselisih pendapat tentang hukumnya. Sebahagian berpendapat bahawa hukumnya adalah makruh, sedangkan sebahagian yang lain berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat.

Ulama yang mengatakan perbuatan ini makruh adalah berdalilkan dengan sebuah hadis yang bersumber daripada Abdullah bin Zubair, bahawa:

“ Nabi صلى الله عليه وسلم menjulurkkan jari telunjuknya ke depan tetapi tidak menggerak-gerakkannya.”

( Diriwayatkan oleh Abu Daud )

 

Manakala ulama yang mengatakan hukumnya sunat adalah berdalil kepada hadis yang bersumber daripada Wail bin Hajar, dan beliau mencontohkan sebagaimana sifat solat Nabi صلى الله عليه وسلم :

“ Kemudian baginda صلى الله عليه وسلم menggenggam tiga jari-jarinya dan melingkarkannya, kemudian baginda mengangkat jari ( telunjuk )nya, maka saya lihat baginda menggerak-gerakkannya sambil membaca doa.”

( Diriwayatkan oleh Ahmad dan an-Nasa’i )

 

Sebahagian ulama fiqh mencuba untuk mencari titik temu kedua-dua hadis yang seakan-akan bertentangan itu dengan berkata:

“ Menggerak-gerakkan itu disunatkan, tetapi sebaiknya tidak terlalu banyak agar tidak dianggap bermain-main, lebih-lebih lagi kerana sebahagian ulama berpendapat bahawa gerakan-gerakan yang banyak meskipun ringan boleh membatalkan solat jika orang yang solat mengetahui bahawa perbuatan tersebut boleh membatalkan solat.”

 

والله أعلم

Al-Fiqh Al-Wadhih

1/262

Advertisements

BERDOA SETELAH TASYAHHUD AKHIR DAN SEBELUM SALAM

IMG_2879 (2)

Disunatkan berdoa setelah bertasyahhud ( iaitu sebelum salam ), sama ada berdoa untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain, urusan duniawi juga urusan ukhrawi.

 

1. Daripada Abu Hurairah ( r.a ), Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Jika seseorang di antara kamu bertasyahhud, maka hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada empat perkara, iaitu dengan membaca doa:

اللهم إني أعوذ بك من عذاب جهنم، ومن عذاب القبر، ومن فتنة المحيا والممات، ومن شر فتنة المسيح الدجال

Allahumma inni a’udzubika min ‘adzaabi jahannam, wa min ‘adzaa bilqabr, wa min fitnatil mahyaa wal mamat, wa min sharra fitnatil masihhiddajjal.

“ Ya Allah, sesungguhnya alu berlindung kepada-Mu dari azab neraka Jahannam, dari azab kubur, dari fitnah dalam hidup dan setelah mati, dan juga fitnah al-Masih al-Dajjal.” [1]

 

2. Dari ‘Aisyah ( r.a ), bahawa Nabi صلى الله عليه و سلم berdoa dalam solat dengan membaca:

اللهم إني أعوذ بك من عذاب جهنم، ومن عذاب القبر، ومن فتنة المحيا والممات، اللهم إني أعوذ بك من المأثم والمغرم

Allahumma inni a’udzubika min ‘adzaabi jahannam, wa min ‘adzaa bilqabr, wa min fitnatil mahyaa wal mamat, allahumma inni a’udzu bika minal ma’ thami wal maghram.

“ Ya Allah, sesungguhnya alu berlindung kepada-Mu dari azab neraka Jahannam, dari azab kubur, dari fitnah dalam hidup dan setelah mati. Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan dosa dan daripada hutang.” [2]

 

3. Dari Abdullah bin Mas’ud ( r.a ), bahawa:

“ Nabi صلى الله عليه وسلم mengajarkan kepada mereka tasyahud. Pada akhir hadis ini, beliau bersabda: ‘ Kemudian pilihlah berbagai macam doa yang kamu sukai untuk dibaca!” [3]

KETERANGAN

Rasulullah صلى الله عليه وسلم sentiasa berbelas kasihan dan amat memperhatikan umatnya supaya mereka tidak melakukan perbuatan maksiat dan setiap perkara yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam lembah dosa. Untuk itu, baginda memberikan mereka cara membahagiakan mereka di dunia dan akhirat melalui doa yang di ajarkan. Doa itu merupakan jami’ al-kalim yang di dalamnya mengandungi perlindungan daripada siksa neraka Jahannam dan daripada segala fitnah yang melanda manusia sepanjang masa hidup dan ketika menjelang mati. Hidup manusia sentiasa terdedah kepada bahaya dan kejahatan apabila tidak mendapat perlindungan daripada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Pada akhir doa tersebut disebutkan permohonan perlindungan kepada Allah daripada fitnah yang paling besar, paling merbahaya, dan paling luas mudharatnya. Umat ini pada akhir zaman kelak akan mendapat cubaan fitnah tersebut, iaitu kemunculan al-masih ad-dajjal yang menyeru manusia kepada kebatilan dan perbuatan dosa. Kebenaran pun menjadi pudar bagi mereka dan segala urusan umat manusia pun menjadi kacau bilau. Pada zaman itu mereka hampir tidak dapat membezakan lagi antara mana yang bermanfaat dan mana yang mudharat, mana yang baik dan mana yang buruk. Semoga Allah melindungi kita daripada fitnah ini dan menunjukkan kita ke arah jalan yang lurus.

Pada dasarnya, doa itu disunatkan sama ada yang diriwayatkan daripada Nabi صلى الله عليه وسلم mahupun tidak, tetapi doa yang diriwayatkan daripada Nabi صلى الله عليه وسلم adalah lebih diutamakan.

 

 

p/s: Hadis di atas adalah di antara beberapa doa yang telah diriwayatkan. Walaubagaimanapun, ada banyak lagi doa-doa yang lain namun tidak dapat saya nukilkan kesemuanya.

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

Fiqh Sunnah

Al-Fiqh Al-Wadhih

______________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Subulus Salam: 1/445

[2] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Fiqh Sunnah: 1/365

[3] Diriwayatkan oleh Muslim. Lihat Fiqh Sunnah: 1/364

DOA QUNUT

IMG_9316

1. Qunut dalam solat witir

Daripada Hasan bin ‘Ali (r.a), katanya: “ Rasulullah SAW mengajarkan bacaan doa kepadaku supaya dibaca ketika mengerjakan solat witir, iaitu:

اللهم اهدنى فيمن هديت، وعافنى فيمن عافيت، وتولنى فيمن توليت، وبارك لى فيما أعطيت،وقنى شرما قضيت، فإنك تقضى ولا يقضى عليك، وإنه لا يذل من واليت، ولا يعزمن عاديت، تباركت ربنا وتعاليت، وصلى الله على النبي محمد

“ Allahummahdini fiman hadait, wa’afini fiman ‘afait, wa tawallani fiman tawallait, wa barikli fima a’athoit, wa qini sharrama qadhait, fa innaka taqdhi wa laa yuqdha ‘alaik, wa innahu laa yadzillu man walait, wa laa ya’izzu man ‘adait, tabarakta rabbana wa ta’alait, wa solallahu ‘alannabiyya Muhammad.”

“ Ya Allah! Berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau berikan petunjuk. Sejahterakanlah aku sepertimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah diriku sepertimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berikanlah keberkatan dalam segala sesuatu yang telah Engkau anugerahkan. Hindarkanlah diriku daripada segala bahaya yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya Engkaulah yang menentukan dan bukannya Engkau yang ditentukan. Sesungguhnya tidak akan menjadi hina orang yang membela-Mu dan tidak akan menjadi mulia orang yang memusuhi-Mu. Engkau wahai Tuhan kami adalah Maha Pemberi Keberkatan dan Maha Mulia. Semoga Allah tetap mencucurkan rahmat ke atas Nabi Muhammad.” [1]

Di dalam riwayat ath-Tabrani dan al-Baihaqi ditambahkan:

ولا يعز من عاديت

“ Dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi.”

Pada bahagian akhir, an-Nasa’i menambahkan:

وصلى الله عل النبي

“ Dan semoga Allah SWT melimpahkan selawat-Nya kepada Nabi.” [2]

Membaca doa qunut adalah disyariatkan dibaca ketika mengerjakan solat witir dan boleh dilakukan sepanjang tahun mengikut pendapat ulama Hanafiyah. Manalaka mengikut pendapat ulama Syafi’iyah qunut dalam witir disunatkan hanya pada separuh akhir Ramadhan. Dalilnya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada ‘Umar (r.a) mengumpulkan orang ramai untuk mengerjakan soalt Jamaah dengan menjadikan Ubay bin Ka’ab sebagai imam solat. Selama dua puluh hari, Ubay menjadi imam solat kepada mereka namun tidak pernah berqunut melainkan ketika separuh akhir dari bulan Ramadhan. [3]

Tempat berqunut

Qunut itu boleh dilakukan sebelum rukuk setelah membaca surah dan boleh pula dilakukan setelah bangkit daripada rukuk. Humaid meriwayatkan, katanya:

“ Aku pernah bertanya kepada Anas tentang qunut; adakah ia dibaca sebelum rukuk ataupun sesudahnya? Beliau menjawab: ‘ Biasanya, kami membacanya sebelum dan sesudah rukuk.” [4]

Jika seseorang membaca qunut sebelum rukuk, hendaklah dia bertakbir dahulu sambil mengangkat kedua-dua tangannya selepas membaca surah. Kemudian hendaklah bertakbir sekali lagi setelah berqunut. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh sesetengah sahabat. Setengah ulama berpendapat bahawa, disunatkan mengangkat kedua-dua tangan ketika berqunut, tetapi setengah mereka lagi tidak menganggapnya sebagai suatu perbuatan sunat.

Adapun menyapu muka dengan kedua tangan, maka menurut keterangan Imam al-Baihaqi, bahawa yang demikian itu tidak perlu dilakukan dan cukup mengikuti apa yang telah dikerjakan oleh kaum Salaf, di mana cukup mengangkat kedua-dua tangan sahaja tanpa harus menyapu muka ketika mengerjakan solat, terlebih-lebih lagi ketika berqunut.

2. QUNUT DALAM SOLAT SUBUH

Membaca qunut dalam solat subuh tidak disyariatkan, melainkan terjadinya bencana dan malapetaka. Jika terjadinya bencana dan malapetaka, maka barulah membaca qunut. Bukan sahaja dalam solat subuh, bahkan dalam solat-solat fardu yang lain.

Dalil yang berpegang kepada amalan qunut dalam solat subuh

ini adalah hujah bagi mazhab Syafi’i yang menegaskan bahawa berqunut ketika mengerjakan solat subuh sesudah rukuk adalah perbuatan sunat.

1. Daripada Ibnu Sirin bahawa:

“ Anas bin Malik pernah ditanya: ‘ Apakah Nabi SAW pernah berqunut ketika mengerjakan solat subuh?’ Dia menjawab: ‘ Ya.’ Kemudian beliau ditanya lagi: ‘ Adakah qunut itu dibaca sebelum rukuk atau sesudahnya?’ Dia menjawab: ‘ Qunut tersebut dibaca sesudah rukuk.” [5]

Menggunakan hadis Ibnu Sirin sebagai dalil, perlulah dikaji semula terlebih dahulu, sebab apa yang ditanyakan di sini besar kemungkinan adalah soal qunut nazilah iaitu ketika terjadi bencana dan malapetaka.

2. Daripada Anas, katanya:

“ Rasulullah SAW senantiasa berqunut ketika mengerjakan solat Subuh hingga beliau wafat.” [6]

Manakala hadis kedua pula di mana Nabi SAW berqunut sepanjang hayatnya, maka di dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Ja’far ar-Razi. Dia tidak dikategorikan sebagai perawi yang kuat dan hadis seumpama ini tidak dapat dijadikan sebagai hujah. Sebab adalah tidak masuk akal, bahawa Rasulullah SAW sepanjang hidupnya membaca qunut ketika mengerjakan solat subuh, sementara para Khalifah dan sahabat sesudah kewafatan Nabi SAW hampir tidak pernah berqunut. Malahan Anas (r.a) sendiri tidak pernah berqunut pada setiap kali mengerjakan solat subuh.

 

Dalil yang menolak amalan qunut dalam solat subuh

1. Dari Abu Malik al-Asyja’i, katanya:

“ Ayahku pernah mengerjakan solat dibelakang Rasulullah SAW ketika masih berusia 16 tahun, bahkan pernah bermakmum kepada Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Uthman. Aku bertanya: ‘ Adakah Nabi SAW dan para sahabat itu pernah berqunut?’ Ayahku menjawab: ‘ Tidak, wahai anakku. Itu hanya suatu yang diada-adakan.” [7]

2. Daripada Sa’ad Ibn Thariq al-Asyja’i, beliau berkata:

“ Saya pernah bertanya kepada ayahku: ‘ Hai ayahku, sesungguhnya engkau pernah solat dibelakang Rasulullah SAW, Abu Bakr, ‘Umar, ‘Uthman dan ‘Ali. Apakah mereka membaca doa qunut ketika mengerjakan solat subuh?” Ayahku menjawab: ‘ Hai anakku, itu adalah perbuatan bid’ah.” [8]

3. Daripada Anas ( r.a ), katanya:

“ Nabi SAW tidak pernah berqunut ketika mengerjakan solat subuh kecuali ketika hendak mendoakan kebaikan atau kebinasaan ke atas sesuatu kaum.” [9]

Ibnu Abu Syaibah meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Umar, Ibnu ‘Abbas, Ibnu Zubair dan Khalifah yang tiga ( Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Uthman ) bahawa mereka tidak pernah berqunut ketika mengerjakan solat subuh. Demikianlah mazhab Hanafi, Hanbali, Ibnu al-Mubarak, ath-Thauri dan Ishaq.

Berkenaan dengan qunut nazilah, sila rujuk link berikut:

https://abdullahmutazahhid.wordpress.com/2013/03/17/qunut-nazilah/

والله أعلم

Sumber:

Fiqh Sunnah

Subulus Salam

___________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah, dan ad-Darimi. Lihat Fiqh Sunnah: 1/419

At-Tirmizi berkata: ‘ Ini adalah hadis Hasan.’ Tambahnya lagi: ‘ Malah ini merupakan bacaan doa qunut daripada Nabi SAW yang terbaik.’

An-Nawawi berkata: ‘ Sanad hadis ini Shahih.’

Namun Ibnu Hazm tidak memberikan komen berkaitan shahih atau tidaknya hadis tersebut. Bagaimanapun, beliau berkata: ‘ Hadis ini sekalipun tidak dapat dijadikan sebagai sandaran dalil, tetapikami tidak menemukan hadsi selain daripada hadis ini. Kami tentunya kebih mengutamakan hadis Dha’if berbanding pendapat manusia biasa. Oleh itu, dalam masalah ini, kami bersetuju dengan pendapa Ibnu Hanbal. Begitu pula mazhab Ibnu Mas’ud, Abu Musa, Ibnu ‘Abbas, al-Barra’, Anas, Hasan al-Bashri, Umar bin Abdul Aziz, ath-Thauri, Ibnu al-Mubarrak, ulama mazhab Hanafi dan salah satu riwayat dari Imam Ahmad.’

An-Nawawi berkata: ‘ Ramainya ulama yang menyokong pendapat ini adalah memperkuat lagi riwayat hadis tersebut sebagai suatu kekuatan dalil.’

[2] Lihat Subulus Salam: 1/ 431

[3] Lihat Fiqh Sunnah: 1/420

[4] Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Muhammad Nashr. Al-Hafiz di dalam Fath al-Bari berkata: ‘ Sanad hadis ini kuat.’ Lihat Fiqh Sunnah: 1/421

[5] Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, an-Nasa’i dan Ibnu Majah. Lihat Fiqh Sunnah: 1/428

[6] Diriwayakan oleh Ahmad, al-Bazzar, ad-Darimi, al-Baihaqi dan al-Hakim menganggapnya Shahih. Manakala di dalam Zaad al-Ma’ad ( 2758 ) hadis ini dikategorikan sebagai Dha’if. Lihat Fiqh Sunnah: 1/428

[7] Diriwayatkan oleh Ahmad, an-Nasa’i dan at-Tirmizi. Beliau menganggap hadis ini sebagai Hasan Shahih. Lihat Fiqh Sunnah: 1/427

[8] Diriwayatkan oleh al-Khamsah, kecuali Abu Daud.

Lihat Subulus Salam: 1/429

[9] Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, al-Khatib, Ibnu Khuzaimah, dan beliau menganggaonya sebagai Hasan. Lihat Fiqh Sunnah: 1/427

SOLAT SUNAT WITIR

IMG_0015_6_7_8_tonemapped

Daripada ‘Ali (r.a), beliau berkata:

“ Solat witir itu tidak diwajibkan sebagaimana solat fardhu, melainkan ia hanya sunat yang biasa dilakukan oleh Rasulullah SAW.” [1]

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda:

“ Wahai Ahlul-Qur’an! Kerjakanlah solat witir, sebab Allah witir ( Maha Esa ) dan amat menyukai perkara-perkara yang ganjil.” [2]

Ashim bin Hamzah berkata:

“ Saya pernah bertanya kepada ‘Ali (r.a) tentang solat witir apakah ia wajib atau tidak, maka beliau menjawab: ‘ Ia tidak seperti wajibnya solat fardhu, tetapi ia amat digalakkan oleh Nabi SAW yang tidak layak bagi seseorang meninggalkannya’.” [3]

Imam Abu Hanifah pula menegaskan bahawa solat witir adalah wajib. Namun begitu, pendapat ini adalah lemah dan disanggah oleh jumhur ulama. Ibnu al-Munzir berkata:

“ Aku tidak pernah mengetahui seorang pun yang bersetuju dengan pendapat Abu Hanifah dalam masalah ini.” [4]

WAKTU MELAKSANAKANNYA

Para ulama bersepakat waktu solat sunat witir bermula sesudah solat Isyak dan berterusan hingga masuk waktu fajar. Dari Abu Mas’ud (r.a), katanya:

“ Rasulullah SAW kadang-kadang mengerjakan solat witir pada awal malam, pertengahan malam dan kadang-kadang pula pada penghujung malam.” [5]

Daripada Abu Tamim al-Jaisyani (r.a) bahawa Amr bin al-‘Ash pernah menyampaikan khutbah dihadapan kaum muslimin pada hari Jumaat dan berkata: “ Abu Bashrah memberitahukan kepadaku bahawa Nabi SAW bersabda:

‘ Sesungguhnya Allah menambahkan solat pada kamu iaitu solat witir. Oleh itu, kerjakanlah solat itu antara Isyak hingga solat fajar!’

Abu Tamim berkata: “ Kemudian Abu Dzar menarik tanganku dan mengajak ke dalam masjid menuju tempat Abu Basrah (r.a), lalu bertanya: “ Benarkah kamu pernah mendengar Rasulullah bersabda sebagaimana yang dikatakan oleh Amr itu?” Abu Bashrah menjawab: “ Ya! Aku sendiri pernah mendengar demikian itu dari Rasulullah SAW.” [6]

Daripada ‘Aisyah (r.a), beliau berkata:

“ Setiap malam Rasulullah SAW sentiasa mengerjakan solat witir dan solat witirnya itu berhenti sampai dengan waktu sahur.” [7]

Sekiranya seseorang itu mengerjakan solat witir sebelum mengerjakan solat fardu Isyak, maka ulama bersepakat bahawa solat witir yang dikerjakan itu adalah tidak sah.

BILAKAH DISUNATKAN MENYEGERAKAN ATAU MELAMBATKAN SOLAT WITIR?

Daripada Ibn ‘Umar (r.a), Nabi SAW bersabda:

“ Akhiri solat kamu pada waktu malam hari dengan solat witir.” [8]

Dari Jabir (r.a) bahawa, Nabi SAW bersabda:

“ Sesiapa yang berasa tidak sanggup jaga pada akhir malam, sebaiknya dia berwitir pada permulaan malam. Tetapi siapa yang berasa sanggup jaga pada akhir malam, sebaiknya dia berwitir pada akhir malam itu. Sebab mengerjakan solat pada akhir malam dihadiri dan disaksikan oleh malaikat, dan oleh kerananya, ia adalah lebih afdhal.” [9]

Dari Jabir (r.a), bahawa Rasulullah SAW bertanya kepada Abu Bakr:

“ Bilakah kamu berwitir? Abu Bakr menjawab: ‘ Pada permulaan malam sesudah solat isyak.’ Lalu beliau bertanya kepada ‘Umar: ‘ Bilakah kamu berwitir wahai ‘Umar?’ ‘Umar menjawab: ‘ Pada akhir malam.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda: ‘ Engkau ini wahai Abu Bakr lebih mengutamakan sikap berhati-hati, manakala engkau pula wahai ‘Umar lebih menonjolkan sikap keteguhanmu.” [10]

Bagi orang yang mengerjakan solat witir itu, ada dua keadaan:

1. Hazm

Barangsiapa yang tidak yakin akan dirinya bakal bangun di akhir malam, maka hendaklah dia mengerjakan solat witir di permulaan malam supaya waktunya tidak terlepas.

2. ‘Azm

Barangsiapa yang yakin dirinya mampu untuk bangun di akhir malam, hendaklah dia bertekad untuk meraih pahala yang lebih utama, iaitu mengakhirkan solat witir di penghujung malam. Melalui hadis Jabir (r.a) di atas, jelas menunjukkan kelebihan mengerjakan solat witir di akhir malam iaitu disaksikan oleh para malaikat yang bertugas pada waktu malam dan para malaikat yang bertugas pada waktu siang hari ( iaitu penggantian antara malaikat yang bertugas pada malam dan siang hari ) pada ketika ini ia merupakan waktu turunnya rahmat Allah dan pada waktu inilah Rasulullah SAW selalunya mengerjakan witir.

Walau bagaimanapun, Nabi SAW pernah mengerjakannya pada awal malam hari dan pada pertengahannya ( rujuk hadis Abu Mas’ud di atas ).

BILANGAN RAKAAT

Sekurang-kurangnya bilangan rakaat solat witir adalah satu rakaat dan bilangan yang paling banyak adalah tiga belas rakaat.

Dari Abu Ayub Al-Ansari bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Berwitirlah dengan lima ( rakaat ), jika tidak sanggup maka tiga ( rakaat ) dan jika tidak sanggup maka satu ( rakaat ).” [11]

Imam at-Tirmizi berkata:

“ Diriwayatkan dari Nabi SAW, bahawa beliau pernah mengerjakan solat sunat witir sebanyak tiga belas rakaat, sebelas, sembilan, tujuh, lima, tiga atau se-rakaat sahaja.” [12]

Ishaq bin Ibrahim berkata:

“ Adapun yang dimaksudkan dengan riwayat di atas bahawa Nabi SAW mengerjakan solat malam sebanyak tiga belas rakaat dan termasuklah solat witir di dalamnya. Jadi, semua solat malam yang dikerjakan Nabi SAW di sebut dengan solat witir.” [13]

Dibolehkan mengerjakan solat witir secara dua-dua rakaat ( maksud disini ialah mengerjakan solat witir lima rakaat ), kemudian diakhiri dengan satu rakaat. Setiap daripada dua rakaat itu ditutup dengan satu kali tasyahud dan satu kali salam.

Juga boleh dilakukan secara keseluruhan dengan dua kali tasyahud dan sekali salam, dengan erti kata lain seluruh rakaatnya dikerjakan secara bersambung tanpa tasyahud selain daripada rakaat sebelum terakhir iaitu pada rakaat ke-empat dan selanjutnya berdiri lagi untuk mengerjakan satu rakaat, kemudian bertasyahud dan seterusnya memberi salam.

Malah dibolehkan juga mengerjakannya secara keseluruhan iaitu satu kali tasyahud dan satu kali salam pada rakaat yang terakhir ( rakaat ke-lima ).

Ketiga-tiga cara ini adalah dibolehkan berdasarkan keterangan hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW. Ibnu Qayyim Rahimahullah berkata:

“ Hadis-hadis shahih berkaitan solat witir menegaskan bahawa ia boleh dikerjakan dengan lima atau tujuh rakaat bersambung, [14] seperti hadis Ummu Salamah yang menjelaskan:

“ Rasulullah SAW sering berwitir tujuh atau lima rakaat secara bersambung dan tidak dipisahkan dengan ucapan salam atau percakapan.” [15]

‘Aisyah (r.a), berkata:

“ Rasulullah SAW biasanya mengerjakan solat sebanyak tiga belas rakaat pada waktu malam, lima rakaat daripadanya adalah solat witir dan beliau tidak duduk melainkan pada rakaat terakhir.” [16]

Secara kesimpulannya, Nabi SAW melakukan solat witir dengan cara yang berlainan antara satu sama lain. Adakalanya baginda mengerjakan sebanyak tiga rakaat sekaligus dan mengucapkan salam pada rakaat terakhir, adakalanya baginda mengerjakannya dengan dua salam iaitu salam yang pertama pada akhir rakaat kedua dan kemudian salam yang kedua pada satu rakaat kemudiannya.

Walau bagaimanapun, apa yang kerap baginda lakukan adalah mengucapkan salam sesudah dua rakaat hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh baginda SAW:

“ Solat malam itu mesti dikerjakan dua rakaat-dua rakaat.” [17]

Kemudian barulah baginda SAW melakukan rakaat yang ketiga dan mengucapkan salam. Maknanya, solat witir boleh dilakukan secara sekaligus dan boleh pula secara terpisah dengan melakukan salam pada setiap dua rakaat. Tetapi riwayat yang mengatakan solat witir boleh dikerjakan secara terpisah lebih kuat daripada riwayat yang mengatakan boleh dikerjakan secara sekali gus. [18]

BACAAN SURAH DALAM SOLAT WITIR

Setelah membaca surah al-Fatihah, seseorang dibolehkan membaca mana-mana ayat al-Qur’an ketika mengerjakan witir. Tetapi disunatkan apabila mengerjakan solat witir sebanyak tiga rakaat supaya membaca surah al-A’la pada rakaat pertama, surah al-kafirun pada rakaat kedua dan surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas pada rakaat ketiga.

Daripada Ubay bin Ka’ab (r.a), beliau berkata:

“ Rasulullah SAW seringkali melakukan solat witir dengan membaca سبح اسم ربك الأعل ( surah al-A’la ), قل يا أيها الكفرون ( surah al-Kafirun ), dan قل هو الله أحد ( surah al-Ikhlas ).” [19]

di dalam riwayat ‘Aisyah (r.a), katanya:

“ Adalah Rasulullah SAW ketika berwitir membaca pada rakaat pertama surah al-A’la, pada rakaat kedua membaca surah al-kafirun, manakala pada rakaat ketiga membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas.” [20]

TIDAK ADA WITIR DALAM SATU MALAM

Daripada Thalq Ibnu Ali (r.a), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Tidak ada dua solat witir dalam satu malam.” [21]

Solat witir tidak boleh dilakukan secara berulang dalam satu malam, inilah pendapat kebanyakan ulama salaf dan khalaf. Mengulanginya bererti membatalkan pengertian witir itu sendiri yang bermaksud ganjil, kerana keadaannya berubah menjadi syafa’ ( genap ).

Sesiapa yang telah mengerjakan solat witir lalu dia hendak mengerjakan solat sunat semula, maka dia boleh mengerjakannya, tetapi jangan mengerjakan solat witir. Jika seseorang itu tetap ingin melakukannya, maka sebaiknya menggabungkan satu rakaat lain kepada witir yang pertama, lalu mengerjakan solat beberapa rakaat yang dia mahu dan dia boleh melakukan solat witir di penghujung solatnya. Ini boleh dilakukan selagi tidak dikhuatiri waktu subuh segera tiba dan waktunya cukup panjang untuk mengerjakannya. [22]

MENGQADHA SOLAT WITIR

Daripada Abu Hurairah (r.a) bahawa, Nabi SAW bersabda:

“ Jika salah seorang antara kamu bangun pagi dan belum berwitir, maka hendaklah dia mengqadha witir.” [23]

Menurut riwayat Ahmad dan at-Thabrani dengan sanad yang hasan, bahawa:

“ Rasulullah SAW pernah bangun pagi sesudah waktu subuh lalu beliau berwitir.”

Daripada Abu Sa’id al-Khudri (r.a) bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Barangsiapa yang meninggalkan solat witir kerana tertidur atau lupa, maka hendaklah dia mengerjakannya pada waktu subuh atau sebaik dia mengingatinya.” [24]

Kesimpulannya, jika seseorang itu sengaja meninggalkannya maka orang ini telah menyia-nyiakan sunat yang mulia dan pahala yang berlimpah yang tidak dapat diraih olehnya. Inilah yang diisyaratkan oleh hadis yang mengatakan:

“ Barangsiapa yang menjumpai waktu subuh, sedangkan dia belum mengerjakan solat witir, maka tidak ada witir baginya.”

Adakalanya seseorang tertidur atau terlupa hingga solat witir terlepas. Inilah hukum di mana seseorang itu digalakkan mengerjakannya sebaik bangun daripada tidur atau ingat bahawa dia belum mengerjakan solat witir. Dia tetap mendapat pahala yang sama dengan pahala orang yang mengerjakannya pada waktunya. Sudah memadai uzur baginya kerana tertidur atau terlupa, dia sama dengan orang yang meninggalkan solat fardu kerana tertidur atau terlupa. Inilah yang diisyaratkan oleh hadis:

“ Barangsiapa yang meninggalkan solat witir kerana tertidur atau lupa, maka hendaklah dia mengerjakannya pada waktu subuh atau sebaik dia ingat.” [25]

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

Fiqh Sunnah

Al-Fiqh Al-Wadhih

______________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh an-Nasa’i & at-Tirmizi dan beliau menilainya

Hasan. Manakala al-Hakim menilainya sebagai Shahih. Lihat Subulus

Salam: Jilid 1, m/s 523.

[2] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmizi, Ibnu Majah, al-Khamsah, al-Hakim, al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah. At-Tirmizi mengatakan hadis ini Hasan, manakala Ibnu Khuzaimah menilainya sebagai shahih. Begitu juga dengan al-Hakim. Lihat Fiqh

Sunnah: Jilid 1, m/s 410 & Subulus Salam: Jilid 1, m/s 535

[3] Diriwayatkan oleh Abu Hanifah. Lihat al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 343.

[4] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 411

[5] Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang Shahih. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 412.

[6] Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang Shahih. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 412

[7] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 532

[8] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 535

[9] Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, at-Tirmizi & Ibnu Majah. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 414

[10] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud & al-Hakim. Beliau berkata: ‘ Hadis ini Shahih mengikut syarat Muslim.’ Lihat Fiqh SunnahL Jilid 1, m/s 414

[11] Diriwayatkan oleh Ahmad. Lihat al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 344

[12] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 415 & al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 344

[13] & [14] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 416 & al-Fiqh al-Wadhih: Jilid 1, m/s 345

[15] Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 416

[16] Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud & at-Tirmizi. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 417

[17] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 418

[18] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i dan di dalam riwayatnya di tambahkan: “ Dan baginda tidak melakukan salam melainkan di akhir witirnya.” Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 537

[19] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, & at-Tirmizi malah beliau menganggapnya sebagai Hasan. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 419

[20] & [21] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i & at-Tirmizi menganggapnya sebagai Hasan, dan dinilai shahih oleh Ibnu Hibban. Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 423 & Subulus Salam: Jilid 1, m/s 536

[22] Diriwayatkan oleh al-Baihaqi & al-Hakim. Beliau berkata: ‘Hadis ini Shahih mengikut syarat Bukhari dan Muslim meskipun kedua-duanya tidak meriwayatkannya.

[23] Diriwayatkan oleh al-Khamsah & al-‘Iraqi berkata: ‘ Sanad hadis ini baik.’ Lihat Fiqh Sunnah: Jilid 1, m/s 424 & Subulus Salam: Jilid 1, m/s 539

[24] Lihat Subulus Salam: Jilid 1, m/s 539

BACAAN BASMALAH

_MG_1104

 

Daripada Anas (r.a) bahawa:

“ Nabi SAW dan Abu Bakr serta ‘Umar membuka solatnya dengan membaca الحمد الله رب العلمين .

( Muttafaq ‘Alaih )

Di dalam riwayat Muslim ditambahkan:

“ Mereka tidak menyebut بسم الله الرحمن الرحيم

Pada permulaan surah al-Fatihah dan tidak pula akhirnya.”

Di dalam riwayat yang disebut oleh Imam Ahmad, an-Nasa’i dan Ibn Khuzaimah disebutkan:

Mereka tidak menguatkan suara ketika membaca

بسم الله الرحمن الرحيم

di dalam riwayat lain oleh Ibn Khuzaimah disebutkan:

“ Mereka membacanya dengan suara tidak kuat.”

Dari sini, tidak membaca basmalah pada permulaan Surah al-Fatihah ada pada riwayat Muslim, namun berbeza dengan pendapat orang yang menilai hadisnya mempunyai kecacatan.

KETERANGAN

Basmalah adalah sebahagian daripada ayat Al-Qur’an di dalam surah al-Naml, menurut ijma’ ulama. Tetapi mereka berselisih pendapat mengenai basmalah yang terdapat pada setiap permulaan surah.

Perselisihan pendapat ini terbahagi kepada tiga mazhab:

Pertama:

Ia termasuk ayat dari al-fatihah dan dari setiap permulaan ayat. Oleh yang demikian, membaca basmalah dalam surah al-Fatihah adalah wajib. Sama ada ketika dibaca secara perlahan mahupun dibaca dengan suara kuat. Alasan paling kuat yang menjadi pegangan mazhab ini ialah melalui hadis Nu’aim al-Mujamir, katanya:

“ Aku pernah mengerjakan solat dibelakang Abu Hurairah (r.a) lalu dia membaca بسم الله الرحمن الرحيم

Setelah itu, dia membaca Umm al-Qur’an. Demikianlah seterusnya, di mana pada akhir hadis ini Abu Hurairah (r.a) berkata:

” Demi Tuhan yang menguasai diriku! Solatku ini adalah yang paling sesuai dengan cara solat yang biasa dikerjakan oleh Rasulullah SAW!”

( Diriwayatkan oleh an-Nasa’i, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban )

Al-Hafidz dalam Fath al-Bari berkata:

“ Hadis ini merupakan hadis yang paling shahih yang menyatakan bacaan basmalah mesti dibaca dengan suara kuat.”

Kedua:

Ia merupakan suatu ayat yang berdiri sendiri diturunkan untuk mengambil berkat dan sebagai pemisah antara satu surah dengan surah yang lain. Jadi, membaca basmalah pada setiap kali membaca al-Fatihah adalah dibolehkan malah disunatkan. Namun orang membacanya tidak disunatkan membacanya dengan suara yang kuat. Dalilnya berpandukan hadis Anas (r.a), katanya:

“ Aku pernah mengerjakan solat dengan bermakmum kepada Rasulullah SAW, Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Uthman. Mereka tidak membaca بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan suara yang kuat.”

( Diriwayatkan oleh an-Nasa’i, Ibn Hibban dan ath-Thahawi dengan sanad yang mengikut kepada syarat al-Bukhari dan Muslim )

Ketiga:

Ia tidak termasuk bahagian daripada surah al-Fatihah dan surah-surah selainnya. Seseorang yang membaca basmalah adalah dimakruhkan, sama ada membacanya dengan suara perlahan mahupun dengan suara kuat. Namun ia makruh dibaca ketika mengerjakan solat fardhu, bukannya ketika dalam solat sunat. Bagaimanapun, mazhab ini tidak kuat.

Al-Imam Ibnu Qayyim Rahimahullah cuba menggabungkan antara mazhab pertama dengan mazhab kedua dengan berkata:

“ Kadang-kadang Nabi SAW membaca بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan suara kuat, tetapi beliau lebih sering membacanya dengan suara perlahan. Tidak diragukan lagi, bahawa beliau tidaklah selalunya membaca basmalah dengan suara kuat ketika mengerjakan solat fardhu lima waktu sehari semalam, sama ada ketika bermukim mahupun ketika bermusafir. Inilah yang tidak disedari oleh para Khalifah ar-Rasyidin, sebilangan besar sahabatnya, tabi’in dan tabi’it-tabi’in.”

KESIMPULAN

Basmalah dalam solat tidak dibaca dengan kuat. Inilah pendapat Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah. Tetapi Imam Asy-Syafi’i mengkhususkan hanya dalam solat-solat fardhu yang dikerjakan pada waktu siang hari, kerana solat fardhu siang hari adalah solat sirriyyah.

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam: Jilid 1, Kitab Solat, m/s 394-400

Fiqh As-Sunnah: Jilid 1, m/s 283-284

QUNUT NAZILAH

images

1. Dari Abu Hurairah ( r.a ), bahawa:

“ Apabila Nabi SAW hendak berdoa untuk keselamatan atau untuk kebinasaan sesuatu golongan, beliau berqunut sesudah selesai rukuk. Sesudah Nabi SAW membaca:سمع الله لمن حمده ربنا ولك الحمد, terkadang beliau membaca doa: Ya Allah! Selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Salmah bin Hisyam, Iyasy bin Abu Rabi’ah serta seluruh kaum mukminin yang tertindas. Ya Allah! Dahsyatkanlah seksa-Mu ke atas golongan kaum Mudhar. Jadikanlah tahun-tahun mereka itu sebagaimana tahun kemerosotan ( kemarau ) seperti yang pernah dialami oleh kaum Nabi Yusuf. Nabi SAW membaca doa qunut dengan suara yang kuat. Adakalanya beliau pada sesetengah keadaan ketika mengerjakan solat Subuh membaca doa seperti berikut: ‘ Ya Allah! Kutuklah sifulan itu dan sifulan iaitu nama kabilah Arab sehingga Allah menurunkan ayat berikut: ‘ Masalah yang demikian itu bukan menjadi urusanmu ( Wahai Muhammad ), adalah Allah akan menerima taubat mereka atau hendak menyeksa mereka, tetapi sebenarnya mereka itu memang orang-orang yang yang zalim.”

( Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bukhari )

2. Daripada Anas ( r.a ) bahawa:

“ Nabi SAW tidaklah sekali-kali membaca doa qunut melainkan kerana untuk mendoakan kebaikan bagi suatu kaum atau untuk mendoakan keburukan ke atas satu kaum.”

( Hadis ini dinilai shahih oleh Ibn Khuzaimah )

3. Daripada Anas ( r.a ) bahawa:

“ Nabi SAW melakukan doa qunut selama satu bulan sesudah rukuk yang dalam doanya itu baginda memohon laknat ke atas beberapa kabilah Arab. Setelah itu, baginda tidak membacanya lagi.”

( Muttafaq ‘Alaih )

4. Dari Ibnu ‘Abbas ( r.a ), katanya:

“ Rasulullah SAW pernah membaca qunut sebulan berturut-turut ketika mengerjakan solat-solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Beliau membacanya pada rakaat terakhir ketika i’tidal dan sesudah membaca سمع الله لمن حمده . Di situ beliau mendoakan kebinasaan ke atas Bani Sulaim, Ri’al, Dzakwan dan Ushayyah, sedangkan makmum yang berada di belakang Nabi SAW mengaminkan doa itu.”

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad menambahkan:

“ Rasulullah SAW mengutus beberapa orang mubaligh untuk mengajak mereka supaya memeluk agama islam, tetapi para mubaligh itu akhirnya dibunuh masyarakat kabilah-kabilah tersebut.”

( Hadis ini Hasan. Irwa’ al-Ghalil: Jilid 2, m/s 163 )

‘Ikrimah berkata:

“ Peristiwa itu merupakan pemula bagi bacaan qunut.”

Permulaan Qunut

(Keterangan hadis nombor 3 dan 4 ).

Rasulullah SAW adalah pusat perhatian seluruh umat manusia. Mereka meminta bantuan baginda apabila ada musuh yang hendak menyerang mereka atau ketika mereka ingin memperlajari agama mereka. Nabi SAW mengirimkan kepada mereka pasukan, bantuan ahli qurra’ untuk mengajarkan mereka tentang agama. Oleh itu Nabi SAW memperkenankan permintaan kabilah Ri’l ( Ri’l ibn Khalid ibn ‘Auf ), Dzakwan ( Dzakwan ibn Tsa’labah ) dan Ushayyah ( Ushayyah ibn Khaffaf ) dari kalangan Bani Salim. Nabi SAW mengirimkan kepada mereka tujuh puluh orang ahli qurra’, mereka terdiri daripada sahabat yang kerjanya mencari kayu pada waktu siang hari, sedangkan pada waktu malam harinya pula mereka mengerjakan solat. Ketika ahli qurra’ yang dikirim oleh Nabi SAW tiba di sumurMa’unah, tiba-tiba ketiga-tiga kabilah tersebut berbuat khianat dengan membunuh mereka di sumur Ma’unah.

Rasulullah SAW amat bersedih sebaik menerima berita tentang peristiwa kejam tersebut. Baginda mula berdoa di dalam solatnya selama satu bulan dengan tujuan melaknat perbuatan mereka. Setiap kali baginda ingat kepada orang yang membunuh ahli qurra’, baginda mendoakan kebinasaan untuk mereka. Pada masa yang bersamaan, baginda sentiasa mendoakan kebaikan untuk kaum dhu’afa’ di Mekah.

Kesimpulan

1. Apa yang dilakukan oleh Nabi SAW memiliki tujuan yang berlainan antara satu sama lain. Ada ketikanya baginda berdoa untuk melaknat suatu kaum setiap kali mengerjakan solat lima waktu dan ini dilakukan ketika kaum muslimin sedang ditimpa musibah besar. Qunut seperti ini disebut qunut khusus yang lazim di sebut Qunut Nazilah . ada ketikanya pula baginda membaca doa qunut secara mutlak tanpa mengira adanya sebab-sebab tertentu.

2. Disyariatkan membaca doa qunut setiap kali mengerjakan solat fardhu apabila kaum muslimin sedang dilanda musibah atau malapetaka. Lafaz doa tersebut hendaklah disesuaikan dengan musibah atau malapetaka yang sedang menimpa mereka.

والله أعلم

Sumber:

Subul as-Salam: Jilid 1, Kitab Solat, m/s 427-429

Fiqh As-Sunnah: Jilid 1, m/s 425 & 426

SOLAT SUNAT SESUDAH JUMAAT

_MG_9928

Dari Abu Hurairah (r.a), Nabi SAW bersabda:

” Sesiapa antara kamu hendak mengerjakan solat sunat selepas solat Jumaat, maka kerjakanlah solat sebanyak empat rakaat.”

( Diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, dan at-Tirmizi )

Dari Ibnu ‘Umar, katanya:

” Rasulullah SAW selalunya mengerjakan solat sunat dua rakaat setelah Jumaat di rumahnya.”

( Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah)

Ibnu Qayyim Rahimahullah berkata:

” Apabila selesai mengerjakan solat Jumaat, Rasulullah SAW masuk ke rumahnya dan mengerjakan solat dua rakaat, di samping memerintahkan kepada seseiapa pun yang ingin mengerjakannya supaya mengerjakan solat sesudah Jumaat sebanyak empat rakaat. Guru kami, Ibnu Taimiyyah berkata: ‘ Jika solat sunat dikerjakan di masjid hendaklah empat rakaat, dan jika di rumah dua rakaat.’ Pada saya demikianlah perintah yang terkandung di dalam hadis-hadis itu.”

Dari Ibnu ‘Umar, bahawa:

” Dia ( Nabi SAW ) mengerjakan solat di masjid sebanyak empat rakaat, dan apabila di rumah dua rakaat.”

( Diriwayatkan oleh Abu Daud )

Sumber: Fiqh Sunnah; Jilid 2, m/s 221-222

Previous Older Entries

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat