BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

IMG_5145

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa…”

( Surah an-Nisa’: 36 )

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Dan Kami perintahkan kepada manusia ( berbuat baik ) kepada dua orang ibu bapa; Ibu yang telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu…”

( Surah Luqman: 14 )

Daripada Abu Hurairah ( r.a ), beliau berkata:

“ Ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu berkata: ‘ Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak saya temani dengan baik?’ Baginda menjawab: ‘ Ibumu.’ Dia berkata: ‘ Kemudian siapa lagi?’ Baginda jawab: ‘ Ibumu.’ Dia berkata: ‘ Kemudian siapa lagi?’ Baginda jawab: ‘ Ibumu.’ Dia berkata ( lagi ): ‘ Kemudian siapa lagi?’ Baginda menjawab: ‘ Ayahmu.’”

( Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih )

Manakala di dalam riwayat yang lain:

“ Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku layan baik?” Baginda berkata: “ Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu kemudian ( berbuat baiklah ) kepada ayahmu kemudian kepada orang yang terdekat denganmu dan orang yang terdekat denganmu.”

( Diriwayatkan oleh Muslim )

Daripada ‘Abdullah ibn ‘Amr ibn al-‘Ash ( r.a ), beliau berkata:

“ Seseorang menghadap Nabi صلى الله عليه وسلم lalu berkata:

‘ Saya berbaiat kepada tuan untuk berhijrah dan berjihad demi mencari pahala dari Allah Ta’ala.” Nabi صلى الله عليه وسلم bertanya: “ Apakah salah seorang dari kedua ibu bapamu masih hidup?” Dia menjawab: “ Ya, bahkan kedua-duanya sekali.” Mendengar itu, baginda bersabda: “ Benarkah kamu mencari pahala dari Allah?” Dia menjawab: “ Ya.” Baginda bersabda: “ ( Kalau begitu ), pulanglah kepada kedua ibu bapamu dan bergaullah dengan baik terhadap keduanya.”

( Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih & Abu Daud )

Di dalam riwayat Muttafaq ‘Alaih:

“ Telah datang seseorang lelaki memohon izin kepada Nabi صلى الله عليه وسلم untuk turut serta berjihad, lalu baginda bertanya: “ Apakah masih hidup kedua ibu bapamu?” Dia menjawab: “ Ya.” Baginda bersabda: “ ( Kalau begitu ), hendaklah kamu berjihad dalam ( berbuat bakti ) kepada mereka berdua.”

Daripada ‘Abdullah ibn ‘Amr ibn al-‘Ash ( r.a ) daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Redha Allah ada pada redha kedua ibu bapa dan murka Allah ada pada murka kedua ibu bapa.”

( Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan dinilai shahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim )

KETERANGAN

Setiap amal ibadah pasti dapat mendekatkan diri seseorang kepada rahmat Allah dan setiap perbuatan maksiat dapat mendekatkan diri seseorang kepada murka-Nya. Jadi, dekat atau jauh seorang hamba daripada cinta dan murka Allah bergantung kepada seberapa banyak amal ibadah atau perbuatan maksiat yang dilakukannya.

Firman Allah Ta’ala dan Sabda Rasul-Nya صلى الله عليه وسلم di atas membahas salah satu amal ibadah kepada Allah iaitu berbakti kepada kedua ibu bapa. Oleh kerana berapa besar kewajipan kita untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dan oleh kerana betapa besar dosa berbuat derhaka kepada keduanya, maka membuat marah keduanya dianggap sebagai perbuatan maksiat.

Al-Qadhi ‘Iyyadh berkata:

“ Jumhur ulama berpendapat ibu adalah lebih afdhal daripada bapa ketika harus menentukan mana yang lebih didahulukan untuk berbakti kepada salah seorang mereka.”

Al-Harith al-Muhasibi menegaskan ulama telah bersepakat tentang masalah ini.

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

4/456

Riyadhus Salihin

1/318

ANJURAN UNTUK MENJILAT JARI APABILA SELESAI MAKAN DAN MENGAMBIL MAKANAN YANG JATUH

IMG_3391

 

Daripada Ibnu ‘Abbas ( r.a ), Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Jika salah seorang di antara kamu selesai makan, maka janganlah di sapu tangannya sebelum menjilat tangan itu atau mengambil makanan yang jatuh lalu memakannya.”

( Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih: 1472 )

KETERANGAN

Di dalam Shahih Muslim ada hadis yang menegaskan bahawa sesungguhnya kamu tidak tahu mana makanan yang mengandungi keberkatan. Jadi, makruh membuang makanan kerana dikhuatiri makan itulah yang mengandungi keberkatan. Jika makanan itu jatuh dari mulut, maka hendaklah dia tetap mengambilnya lalu dibersihkan dan kemudian makanlah. Inilah akhlak Rasulullah صلى الله عليه وسلم terhadap makanan.

Inilah alasan pertama mengapa kita tidak boleh membuang atau menyia-nyiakan makanan sedangkan alasan kedua adalah Allah SWT menyuruh kita mensyukuri nikmat-Nya dan tindakan menyia-nyiakan sesuatu yang dikatakan nikmat Allah tidak disebut sebagai mensyukuri nikmat-Nya.

Sebagai kesimpulannya, kita disyariatkan untuk menjilat jari atau sudu yang padanya masih ada sisa makanan, malahan Ibnu Hazm berpendapat perintah ini adalah wajib.

 

 

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam: 4/435

KEUTAMAAN BERSIFAT MALU DAN ANJURAN UNTUK MENGAMALKANNYA

IMG_8726

1. Daripada Ibnu ‘Umar ( r.a ), bahawa Rasulullah SAW pernah melewati seorang kaum Ansar yang sedang memberi nasihat kepada saudaranya tentang sifat malu. Mendengar itu, Rasulullah SAW bersabda: “ Biarkan dia ( memberi nasihat kepada saudaranya ), kerana sifat malu itu adalah sebahagian daripada iman.” [1]

2. Daripada Imran ibn Husain ( r.a ), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Sifat malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan.” [2]

Dalam satu riwayat Imam Muslim disebutkan:

“ Sifat malu itu baik semuanya.” Atau baginda berkata: “ Sifat malu itu semuanya adalah baik.” [3]

3. Daripada Abu Sa’id al-Khudri ( r.a ), beliau berkata:

“ Sesungguhnya Rasulullah SAW itu lebih pemalu berbanding seorang gadis yang ada dalam pingitan keluarganya. Apabila melihat sesuatu yang tidak disukainya maka kami pasti akan mengetahuinya hanya dengan melihat wajahnya.” [4]

4. Daripada Ibnu Mas’ud ( r.a ), Rasulullah SAW bersabda:

“ Sebahagian daripada sabda nabi-nabi terdahulu yang masih sempat diingat oleh manusia adalah: ‘ Jika kamu tidak punya malu, maka berbuatlah sekehendak hatimu’.” [5]

KETERANGAN

Al-Haya’ ( malu ) menurut bahasa, ialah perubahan dan perasaan yang muncul di dalam hati manusia berupa ketakutan melakukan sesuatu yang dipandang aib oleh orang lain. Sedangkan menurut syarak, ia bermaksud sifat yang membimbing seseorang yang menjauhi kejahatan dan membimbingnya supaya tidak lalai menjalankan hak-hak agama.

Sifat malu adalah salah satu cabang iman, juga salah satu daripada perkara iman. Dengan memiliki sifat malu, seseorang terhindar daripada maksiat. Jadi malu ini menjadi bahagian daripada iman kerana dapat menghalangi seseorang melakukan maksiat, demikianlah pendapat Ibn Qutaibah.

Al-Imam Al-Shan’ani mengulas tentang sifat malu dengan berkata:

“ Malu itu ada dua jenis. Ada yang bersifat naluri, dan ada pula yang bersifat perilaku. Jenis yang kedua ini mesti di usahakan ( melatih diri untuk malu ). Kita wajib mengarahkan sifat malu kita menjadi perilaku yang sesuai dengan syariat, agar kita termasuk dalam sabda Nabi SAW:

“ Malu itu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan.”

Di dalam kitab al-Mufham, al-Qurthubi menyebutkan bahawa Nabi SAW memiliki kedua-dua jenis sifat malu ini. Selain itu baginda juga adalah insan yang paling malu melakukan sesuatu perkara yang melanggar syariat.”

Para ulama mengatakan:

“ Hakikatnya, sifat malu itu merupakan akhlak yang dapat memotivasikan diri untuk meninggalkan perkara-perkara yang buruk dan membentengi diri daripada tersilap dalam memberikan hak kepada pemiliknya.”

Imam an-Nawawi meriwayatkan daripada Abu al-Qasim al-Junaid, dia berkata:

“ Malu itu adalah suatu keadaan ketika melihat berbagai kenikmatan dan ketika melihat adanya kekurangan untuk bersyukur. Dari situ, lahirlah suatu keadaan yang disebut haya’ ( malu ).”

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

Jilid 4, Kitab Himpunan Akhlak.

Riyadh Al-Salihin

Kitab Adab, Bab 84.

___________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh Bukhari: 1/24 & Muslim: 1/63

[2] Diriwayatkan oleh Bukhari: 1/6117 & Muslim: 1/64

[3] Diriwayatkan oleh Muslim: 1/64 & Ahmad: 4/426,440,442,445 dan 446.

[4] Diriwayatkan oleh Bukhari: 10/6199 & Muslim: 4/1809-1810

[5] Diriwayatkan oleh Bukhari: 1554

JANGAN MARAH DAN SYURGA UNTUKMU

_MG_0492

Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Nabi SAW:

“ Berwasiatlah kepadaku.” Sabda Rasulullah SAW: ‘ Janganlah kamu marah.’ Malah lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW: ‘ Janganlah kamu marah.’

( Diriwayatkan oleh al-Bukhari )

“ Lelaki “ di dalam hadis di atas merujuk kepada Abu Ad-Darda’ (r.a). Buktinya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani daripada Abu Darda’, beliau berkata:

“ Ya Rasulullah, tunjukkanlah aku kepada suatu amalan yang memasukkanku ke dalam syurga. Rasulullah SAW bersabda: ‘ Janganlah kamu marah dan syurga adalah untukmu.’

Dikatakan bahawa “ Lelaki “ berkenaan adalah Jariyah bin Qudamah (r.a), hal ini berikutan daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada beliau bahawa:

“ Aku telah bertanya kepada Nabi SAW dan aku berkata kepadanya: ‘ Ya Rasulullah, ucapkanlah aku satu perkataan dan pendekkanlah perkataan tu untukku, moga-moga aku dapat memahaminya. Sabda Rasulullah: “ Jangan kamu marah.” Maka aku mengulang-ulangi soalanku itu kepadanya berulang kali dan setiap kali aku ulangi kata-kataku itu baginda SAW menjawab: “ Janganlah kamu marah.”

JALAN KE SYURGA

Ini adalah wasiat daripada Rasulullah SAW yang ditujukan sahabat yang bertanya itu, beliau ( sahabat ) meminta satu wasiat yang pendek dan ringkas agar mampu menghafal, mengingati dan memahami akan maksud terhadap tuntutan wasiat tersebut. Dengan itu ia akan menyampaikannya kepada tujuannya ( syurga ) dengan wasiat yang kekal untuk selamanya iaitu ‘ Jangan kamu marah ’.

Hendaklah seorang Muslim itu berakhlak tinggi, akhlak kenabian, akhlak Al-Qur’an dan akhlak iman. Apabila seseorang itu berakhlak dengan akhlak yang sedemikian dan menjadi adat kebiasaan baginya, maka lahirlah di dalam dirinya satu tabiat dan ketenangan yang akan menolak sifat marah dan jauhilah sebab-sebab yang dapat menimbulkan kemarahan dan janganlah mendedahkan diri kepada apa sahaja yang menyebabkan kemarahan itu timbul. Kemarahan itu adalah satu ledakan di dalam jiwa seseorang di mana sifat marah ini akan menjurus ke arah penggunaan kekerasan dan keganasan ke atas orang lain. Justeru itu, seseorang itu mungkin akan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT seperti menyakiti dan membunuh.

Ingatlah akan firman Allah SWT di dalam surah ali ‘Imran ayat 133-134, maksudnya:

“ Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; ( iaitu ) orang-orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan ( kesalahan ) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”

Apabila seseorang itu mempunyai ciri-ciri tersebut, maka terpeliharalah dia daripada kemurkaan Allah Ta’ala lalu termasuklah dia dikalangan golongan para muttaqin yang menjadi penghuni-penghuni syurga dan kekal di dalamnya selama-lamanya.

Daripada Ibnu ‘Umar (r.a), bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW:

“ Apakah yang menjauhkan aku dari kemurkaan Allah SWT?” Sabda Rasulullah SAW: “ Janganlah kamu marah.”

( Diriwayatkan oleh Ahmad )

KEMARAHAN MENGHALANG KEBAIKAN

Renungkan hadis bahawa seorang sahabat yang bertanya ketika Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “ Janganlah kamu marah.” Sahabat itu faham akan nasihat yang diberikan, akan tetapi beliau merasa tidak cukup dengan wasiat tersebut sehingga mengulang kata-katanya berulang kali namun Rasulullah SAW tetap dengan jawapannya dan tidak menambahkan wasiat tersebut bahkan baginda SAW juga mengulang-ulangi sabdanya itu.

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menekankan bahawa agar menjauhkan diri dari sikap marah kerana ia adalah kunci kejahatan, seperti yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad mengenai seseorang yang bertanya:

“ Maka aku terfikir ketika Nabi SAW bersabda dengan sabdanya, marah itu akan mengumpulkan kesemua keburukan.”

Maknanya, jika tidak marah, maka seseorang itu akan meninggalkan kesemua kejahatan.

KESAN BURUK AKIBAT MARAH

Sifat suka marah adalah suatu akhlak yang dikeji dan suatu tabiat buruk. Jika seseorang itu menyerahkan dirinya kepada sifat marahnya, maka terhasillah kesan-kesan buruknya yang memudharatkan diri seseorang itu dan juga kepada masyarakat.

Adapun kemudharatan terhadap diri, ianya adalah pada tubuh badan, akhlak dan roh keagamaan, maka kesemuanya ini akan dapat dirasai ketika marah. Kemungkinan perkataan-perkataannya mengandungi perkara-perkara yang haram yang kadangkala terkeluar dari agama Islam seperti berkata-kata dengan perkataan-perkataan yang bertentangan dengan agama. Seseorang yang cepat marah itu akan melakukan tindakan-tindakan yang di luar jangkaan yang berkemungkinan akan melibatkan kerugian harta dan kesakitan pada tubuh badan.

Justeru kemudharatan marah terhadap masyarakat adalah, ia akan mewujudkan kedengkian di dalam hati dan memendam perasaan jahat terhadap manusia lain. Semuanya ini berkemungknan akan mendorong kepada perbuatan-perbuatan yang akan menyakitkan kaum Muslimin dan meninggalkan mereka tanpa bertegur sapa. Apabila ditimpa musibah pula, kutukan dan kejian terhadap mereka semakin bertambah. Begitulah ia akan mewujudkan permusuhan dan kebencian di kalangan sahabat handai dan rakan taulan, lebih teruk lagi apabila kesan daripada marah ini dapat merosakkan kehidupan dan memecah belahkan masyarakat.

Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Tiadalah orang kuat itu orang yang hebat ketika bertarung, tetapi orang kuat adalah yang boleh menahan dirinya ketika marah.”

( Muttafaq ‘Alaih: 1510 )

Imam As-Shan’ani ketika mengulas hadis ini dengan berkata:

“ Dalam banyak hadis dijelaskan bahawa Nabi SAW mengajarkan supaya seseorang yang muncul amarahnya ketika dia dalam keadaan berdiri supaya segera duduk. Jika dia sedang duduk, maka hendaklah dia berbaring. Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban.

Ada juga hadis yang menyebut bahawa Nabi SAW memerintahkan orang yang marah supaya berwuduk ataupun mandi, sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir. Akan tetapi hadis itu mauquf.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad disebut bahawa Nabi SAW juga memerintahkan orang yang sedang marah supaya menahan kata-katanya ( diam ) manakala dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Dunya disebutkan bahawa Nabi SAW menyuruh membaca A’udzu billahi.

MERAWAT SIFAT MARAH

1. Melatih diri dan mentarbiyahnya agar berhias dengan akhlak-akhlak yang mulia, seperti lemah lembut, sabar, teguh dalam urusan dan tenang dalam perlakuan, suri teladan kita dalam perkara ini ialah Rasulullah SAW.

2. Meneguhkan diri ketika ada sesuatu yang menyebabkannya marah dan memperingatkan dirinya akibat sifat marah dan kelebihan mengawal dan menahan amarah serta memaafkan orang lain, sebgaimana firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 134, maksudnya:

“….dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan ) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”

Nabi SAW telah bersabda:

“ Barangsiapa menahan sifat marah sedangkan dia berkemampuan untuk melepaskannya, Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di khalayak sekalian makhluk sehingga beliau akan diberi pilihan untuk memiliki mana-mana bidadari yang dikehendakinya.”

( Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, dan Ibnu Majah )

3. Berlindung kepada Allah dari syaitan yang di rejam. Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

( Surah al-A’raf: 200 )

4. Mengubah keadaannya ketika sedang marah. Hendaklah seseorang itu duduk jika dia marah dalam keadaan berdiri, dan hendaklah berbaring jika dia marah dalam keadaan duduk.

5. Menahan diri daripada berkata-kata. Atau ia akan menyesalinya selepas kemarahannya berakhir, seperti memaki hamun dan yang seumpama dengannya.

6. Berwudhu’. Ini adalah disebabkan kemarahan itu meningkatkan kepanasan dalam tubuh, lalu air pula menyejukkannya.

Rasulullah SAW telah bersabda:

“ Sesungguhnya kemarahan itu adalah dari syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan dari api, maka apabila seseorang dari kaum kamu marah hendaklah dia berwudhu’.

( Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud )

Harus di ingat bahawa, setiap orang yang marah akan bertanggungjawab ke atas segala tindak tanduknya. Apabila seseorang itu marah dan merosakkan sesuatu yang berharga, maka hendaklah dia menanggung untuk membayar ganti rugi barang tersebut. Apabila membunuh seseorang dengan sengaja, maka hendaklah dijatuhkan hukuman qishash ke atasnya. Jika dia mengucapkan kalimah kufur hendaklah dihukum dengan kemurtadannya dari Islam sehingga dia bertaubat. Jika dia bersumpah atas sesuatu, maka diterima sumpahnya dan jika dia menjatuhkan thalaq maka terjatuhlah thalaqnya itu.

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

Jilid 4, Kitab Himpunan Akhlak, m/s 493

Al-Wafi Fi Syarh Al-Arba’in An-Nabawiyyah

Hadis 16, m/s 181

BERLEBIH-LEBIHAN DALAM BERKATA-KATA

IMG_9599

:وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال

:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

” من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه “

رواه الترمذي، و قال: حسن 

Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Sebahagian daripada keindahan Islam yang dianuti seseorang adalah dia meninggalkan perkara-perkara yang tidak penting baginya.”

( Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan menurutnya hadis ini Hasan: 1504)

Bercakap dengan berlebih-lebihan tanpa ada keperluan yang penting sebenarnya merupakan sebab kemusnahan. Adapun memelihara memelihara lidah ialah suatu jalan menuju kejayaan.

Maka berkata-kata tentang sesuatu yang tidak bermanfaat pula adalah sebab kepada penghapusan amalan dan pengharaman untuk memasuki syurga. Justeru itu, hendaklah seseorang muslim berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata.

Jika seseorang itu melihat bahawa percakapannya itu dapat mendatangkan kebaikan dan pahala, maka hendaklah dia bercakap mengenainya ( sesuatu perkara ). Jika sebaliknya, perkataan-perkataan itu nanti akan menimbulkan keburukan atau menyebarkan kebatilan atau ia ragu-ragu dengannya, maka jalan yang paling selamat hendaklah seseorang itu menahan dirinya dari berkata-kata. Ini adalah disebabkan bahawa seseorang itu akan dihisab atas setiap kalimah yang diucapkannya sama ada ia akan dikurniakan ganjaran atau hukuman.

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada berdekatannya malaikat pengawas yang selalu hadir.”

( Surah Qaf: 18 )

Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Sesungguhnya seorang hamba itu akan berkata-kata dengan perkataan-perkataan yang menyebabkan keredhaan Allah dan tidak memikirkannya, maka Allah menaikkan darjatnya lantaran kalimah-kalimah yang diucapkannya itu. Dan sesungguhnya seorang hamba akan bercakap-cakap dengan kalimah-kalimah yang menyebabkan kemurkaan Allah dan beliau tidak memikirkannya, maka dengan itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam.”

( Diriwayatkan oleh al-Bukhari )

Daripada Mu’adz (r.a) bahawa:

“ Tidaklah manusia itu diseret dengan muka mereka ke dalam api neraka kecuali kerana apa-apa yang diucapkan oleh lidah-lidah mereka.”

Kesimpulannya, setengah daripada ke-elokan Islam seseorang itu apabila dia meninggalkan perkara-perkara yang bukan urusannya.

والله أعلم

Sumber:

1. Subulus Salam

Jilid 4, m/s 485

2. Al-Wafi Fi Syarh Al-Arba’in An-Nabawiyyah

Hadis 15, m/s 171

LARANGAN BERBUAT ZALIM

                             _MG_0479

Daripada Abu Dzar ( r.a ) daripada Nabi SAW yang menyampaikan hadis qudsi: “ Allah SWT berfirman:

‘ Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan Zat-Ku berbuat zalim. Dan Aku haramkan juga ia atas kamu. Maka janganlah kamu saling menzalimi.’

( Diriwayatkan oleh Muslim: 1523 )

Allah SWT merupakan raja dari segala raja dan pencipta segala makhluk. Dia melakukan segala sesuatu tanpa zalim sedikitpun. Dia mengharamkan Zat-Nya berbuat zalim. Meskipun Allah SWT tidak memberitahukan melalui firman-Nya, Allah SWT adalah Maha Suci daripada menzalimi hamba-Nya seperti mana dalam firman-Nya, maksudnya:

“ Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.”

( Surah Fushilat: 32 )

Jika Allah SWT telah mengharamkan Zat-Nya berbuat zalim, sudah tentu Dia lebih mengharamkannya ke atas makhluk-Nya.

LARANGAN BERPRASANGKA

_MG_0326 

.”وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ” إيا كم والظن، فإن الظن أكذب الحديث

(متفقن عليه)

Daripada Abu Hurairah ( r.a ), beliau berkata: “ Rasulullah SAW bersabda:

‘ Hendaklah kamu menjauhi prasangka, kerana ia merupakan sebenar-benar dusta.’

( Muttafaq ‘Alaih: 1517 )

 KENAPA KITA DILARANG BERPRASANGKA?

Ini kerana, didalamnya terdapat tuduhan tanpa bukti yang kuat. Seperti menuduh orang berbuat maksiat sementara buktinya tidak ada.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, maksud daripada hadis ini adalah larangan menuduh orang secara langsung dan meyakini tuduhan itu. Tetapi jika tuduhan itu sekadar didalam hati sahaja dan dia masih ragu ( syak ), maka dia tidak salah. Sepertimana yang disebut didalam hadis berikut:

إن الله تجاوز لأمتي عما حدثت به أنفسها ما لم تعمل أو تتكلم.

“ Allah akan mengampuni umatku atas apa yang dia bimbangkan dalam hatinya, selama dia tidak melakukan atau menyatakannya.”

Hadis ini dinukil oleh al-Qadhi ‘Iyadh daripada Sufyan.

Jauhilah berburuk sangka. Secara hukum, para ulama membahagikan prasangka ini kepada empat bahagian, iaitu wajib, haram, sunnat dan harus ( boleh ).

1. Wajib bersangka baik kepada Allah SWT

2. Diharamkan berburuk sangka kepada Allah SWT dan kepada orang yang secara zahir terlihat adil dan mempunyai maruah. Inilah prasangka yang dimaksudkan oleh hadis ini.

3. Disunnatkan berbaik sangka kepada orang yang secara zahir terlihat adil dan mempunyai maruah.

4. Diharuskan ( boleh ) berprasangka kepada orang yang dibimbangkan berbuat dosa di kalangan masyarakat, kerana dia memang pernah dilihat melakukannya. Berburuk sangka kepada orang seperti ini tidak diharamkan.

Previous Older Entries

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat