HUKUM MENGGERAK-GERAKKAN JARI TELUNJUK DALAM TASYAHUD

IMG_5585

 

 

Ulama berselisih pendapat tentang hukumnya. Sebahagian berpendapat bahawa hukumnya adalah makruh, sedangkan sebahagian yang lain berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat.

Ulama yang mengatakan perbuatan ini makruh adalah berdalilkan dengan sebuah hadis yang bersumber daripada Abdullah bin Zubair, bahawa:

“ Nabi صلى الله عليه وسلم menjulurkkan jari telunjuknya ke depan tetapi tidak menggerak-gerakkannya.”

( Diriwayatkan oleh Abu Daud )

 

Manakala ulama yang mengatakan hukumnya sunat adalah berdalil kepada hadis yang bersumber daripada Wail bin Hajar, dan beliau mencontohkan sebagaimana sifat solat Nabi صلى الله عليه وسلم :

“ Kemudian baginda صلى الله عليه وسلم menggenggam tiga jari-jarinya dan melingkarkannya, kemudian baginda mengangkat jari ( telunjuk )nya, maka saya lihat baginda menggerak-gerakkannya sambil membaca doa.”

( Diriwayatkan oleh Ahmad dan an-Nasa’i )

 

Sebahagian ulama fiqh mencuba untuk mencari titik temu kedua-dua hadis yang seakan-akan bertentangan itu dengan berkata:

“ Menggerak-gerakkan itu disunatkan, tetapi sebaiknya tidak terlalu banyak agar tidak dianggap bermain-main, lebih-lebih lagi kerana sebahagian ulama berpendapat bahawa gerakan-gerakan yang banyak meskipun ringan boleh membatalkan solat jika orang yang solat mengetahui bahawa perbuatan tersebut boleh membatalkan solat.”

 

والله أعلم

Al-Fiqh Al-Wadhih

1/262

ANJURAN UNTUK MENZIARAHI KUBUR

IMG_6632

Daripada Buraidah Ibn al-Hashib al-Aslami ( r.a ), bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Dahulu aku melarang kamu daripada menziarahi kubur, namun sekarang hendaklah kamu menziarahinya!”

( Diriwayatkan oleh Muslim )

Manakala di dalam riwayat at-Tirmizi di tambahkan:

“ Ini kerana ziarah kubur itu boleh mengingatkan hari akhirat.”

Di dalam riwayat Ibnu Majah yang bersumber daripada Ibnu Mas’ud ( r.a ) ditambahkan seperti berikut:

“ Dan menyebabkan zuhud terhadap urusan duniawi.”

 

 

KETERANGAN

Pada masa permulaan Islam Nabi صلى الله عليه صسلم melarang ziarah kubur kerana mereka masih baru meninggalkan penyembahan kubur. Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم membenarkan mereka menziarahi kubur setelah beberapa waktu kemudian dan baginda menjelaskan hikmah yang terdapat di dalam menziarahi kubur yang antara lain adalah mengingatkan seseorang kepada hari akhirat dan menyebabkan zuhud terhadap urusan duniawi. Oleh itu, menziarahi kubur hendaklah dilakukan oleh orang yang mempunyai ketabahan yang kuat dan sempurna agamanya.

Disyariatkan menziarahi kubur dan dianjurkan melakukannya, kerana menziarahi kubur merupakan pengajaran dan nasihat bagi orang yang rajin melakukannya. Ulama telah bersepakat bahawa menziarahi kubur itu sunat bagi kaum lelaki, tetapi mereka berselisih pendapat bagi kaum wanita. Ada di antara mereka yang mengharamkan kaum wanita menziarahi kubur kerana mereka memiliki kesabaran yang rapuh dan cepat beremosi. Mereka yang mengharamkannya berlandaskan kepada hadis berikut:

Daripada Abu Hurairah ( r.a ), bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم melaknat wanita-wanita yang melakukan ziarah kubur.

( Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan dinilai shahih oleh Ibnu Hibban )

Ada pula di antara mereka yang membolehkan kaum wanita melakukan menziarahi kubur dengan alasan bahawa rukhsah yang diberikan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم dalam masalah menziarahi kubur ini bersifat umum yang mencakupi kaum lelaki dan kaum wanita. Ziarah kubur ini dikukuhkan lagi kepada kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia, kerana ada hadis yang menganjurkan berbuat demikian.

 

 

والله أعلم

Sumber

Subulus Salam

2/239

Riyadhus Solihin

1/531

ANJURAN UNTUK MENJILAT JARI APABILA SELESAI MAKAN DAN MENGAMBIL MAKANAN YANG JATUH

IMG_3391

 

Daripada Ibnu ‘Abbas ( r.a ), Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Jika salah seorang di antara kamu selesai makan, maka janganlah di sapu tangannya sebelum menjilat tangan itu atau mengambil makanan yang jatuh lalu memakannya.”

( Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih: 1472 )

KETERANGAN

Di dalam Shahih Muslim ada hadis yang menegaskan bahawa sesungguhnya kamu tidak tahu mana makanan yang mengandungi keberkatan. Jadi, makruh membuang makanan kerana dikhuatiri makan itulah yang mengandungi keberkatan. Jika makanan itu jatuh dari mulut, maka hendaklah dia tetap mengambilnya lalu dibersihkan dan kemudian makanlah. Inilah akhlak Rasulullah صلى الله عليه وسلم terhadap makanan.

Inilah alasan pertama mengapa kita tidak boleh membuang atau menyia-nyiakan makanan sedangkan alasan kedua adalah Allah SWT menyuruh kita mensyukuri nikmat-Nya dan tindakan menyia-nyiakan sesuatu yang dikatakan nikmat Allah tidak disebut sebagai mensyukuri nikmat-Nya.

Sebagai kesimpulannya, kita disyariatkan untuk menjilat jari atau sudu yang padanya masih ada sisa makanan, malahan Ibnu Hazm berpendapat perintah ini adalah wajib.

 

 

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam: 4/435

BERDOA SETELAH TASYAHHUD AKHIR DAN SEBELUM SALAM

IMG_2879 (2)

Disunatkan berdoa setelah bertasyahhud ( iaitu sebelum salam ), sama ada berdoa untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain, urusan duniawi juga urusan ukhrawi.

 

1. Daripada Abu Hurairah ( r.a ), Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Jika seseorang di antara kamu bertasyahhud, maka hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada empat perkara, iaitu dengan membaca doa:

اللهم إني أعوذ بك من عذاب جهنم، ومن عذاب القبر، ومن فتنة المحيا والممات، ومن شر فتنة المسيح الدجال

Allahumma inni a’udzubika min ‘adzaabi jahannam, wa min ‘adzaa bilqabr, wa min fitnatil mahyaa wal mamat, wa min sharra fitnatil masihhiddajjal.

“ Ya Allah, sesungguhnya alu berlindung kepada-Mu dari azab neraka Jahannam, dari azab kubur, dari fitnah dalam hidup dan setelah mati, dan juga fitnah al-Masih al-Dajjal.” [1]

 

2. Dari ‘Aisyah ( r.a ), bahawa Nabi صلى الله عليه و سلم berdoa dalam solat dengan membaca:

اللهم إني أعوذ بك من عذاب جهنم، ومن عذاب القبر، ومن فتنة المحيا والممات، اللهم إني أعوذ بك من المأثم والمغرم

Allahumma inni a’udzubika min ‘adzaabi jahannam, wa min ‘adzaa bilqabr, wa min fitnatil mahyaa wal mamat, allahumma inni a’udzu bika minal ma’ thami wal maghram.

“ Ya Allah, sesungguhnya alu berlindung kepada-Mu dari azab neraka Jahannam, dari azab kubur, dari fitnah dalam hidup dan setelah mati. Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan dosa dan daripada hutang.” [2]

 

3. Dari Abdullah bin Mas’ud ( r.a ), bahawa:

“ Nabi صلى الله عليه وسلم mengajarkan kepada mereka tasyahud. Pada akhir hadis ini, beliau bersabda: ‘ Kemudian pilihlah berbagai macam doa yang kamu sukai untuk dibaca!” [3]

KETERANGAN

Rasulullah صلى الله عليه وسلم sentiasa berbelas kasihan dan amat memperhatikan umatnya supaya mereka tidak melakukan perbuatan maksiat dan setiap perkara yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam lembah dosa. Untuk itu, baginda memberikan mereka cara membahagiakan mereka di dunia dan akhirat melalui doa yang di ajarkan. Doa itu merupakan jami’ al-kalim yang di dalamnya mengandungi perlindungan daripada siksa neraka Jahannam dan daripada segala fitnah yang melanda manusia sepanjang masa hidup dan ketika menjelang mati. Hidup manusia sentiasa terdedah kepada bahaya dan kejahatan apabila tidak mendapat perlindungan daripada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Pada akhir doa tersebut disebutkan permohonan perlindungan kepada Allah daripada fitnah yang paling besar, paling merbahaya, dan paling luas mudharatnya. Umat ini pada akhir zaman kelak akan mendapat cubaan fitnah tersebut, iaitu kemunculan al-masih ad-dajjal yang menyeru manusia kepada kebatilan dan perbuatan dosa. Kebenaran pun menjadi pudar bagi mereka dan segala urusan umat manusia pun menjadi kacau bilau. Pada zaman itu mereka hampir tidak dapat membezakan lagi antara mana yang bermanfaat dan mana yang mudharat, mana yang baik dan mana yang buruk. Semoga Allah melindungi kita daripada fitnah ini dan menunjukkan kita ke arah jalan yang lurus.

Pada dasarnya, doa itu disunatkan sama ada yang diriwayatkan daripada Nabi صلى الله عليه وسلم mahupun tidak, tetapi doa yang diriwayatkan daripada Nabi صلى الله عليه وسلم adalah lebih diutamakan.

 

 

p/s: Hadis di atas adalah di antara beberapa doa yang telah diriwayatkan. Walaubagaimanapun, ada banyak lagi doa-doa yang lain namun tidak dapat saya nukilkan kesemuanya.

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

Fiqh Sunnah

Al-Fiqh Al-Wadhih

______________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Subulus Salam: 1/445

[2] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Fiqh Sunnah: 1/365

[3] Diriwayatkan oleh Muslim. Lihat Fiqh Sunnah: 1/364

MENCEGAH KEMUNGKARAN ADALAH FARDHU

IMG_6911

 

 

عن أبي سعد الخدري رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول

” من رأى منكم منكرا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان “

( رواه مسلم )

Daripada Abu Sa’id al-Khudri ( r.a ), beliau mendengar Rasulullah صلى الله عليه وستم bersabda:

“ Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

( Diriwayatkan oleh Musim: al-Iman, hadis no. 40 )

 

 

 

MENCEGAH KEMUNGKARAN

Umat Islam telah bersepakat atas wajibnya mencegah kemungkaran. Maka wajib ke atas setiap Muslim mencegah kemungkaran mengikut kemampuannya dan mengubahnya mengikut keupayaannya untuk mengadakan pengubahan dengan perbuatan dan perkataannya iaitu, dengan tangan, lidah dan hatinya ( membenci perkara mungkar ).

 

 

Mencegah Kemungkaran Dengan Hati Apabila Kurang Mampu/ Tidak Berupaya

Seseorang itu akan terlepas dari pertanggungjawaban apabila ia mencegah kemungkaran dengan hatinya kerana ia tidak berupaya untuk mencegah dengan tangan dan lidahnya. Ibnu Mas’ud ( r.a ) berkata:

“ Hampir-hampir orang-orang yang hidup dari kalangan kamu apabila melihat kemungkaran tidak berupaya untuk mencegahnya melainkan Allah SWT mengetahui apa yang ada di dalam hatinya bahawa dia amat benci kepada kemungkaran itu.”

Begitu juga hukumnya sekiranya seseorang itu takutkan kemudharatan yang bakal menimpa diri dan hartanya sekiranya kemungkaran itu dicegah dengan tangan atau lidah memandangkan ia tidak berupaya untuk menanggung yang sedemikian itu. Walau bagaimanapun, jika benar-benar dalam sangkaan bahawa kemudharatan sebegitu tidak akan menimpa diri dan hartanya, maka hukum wajib mencegah mungkar dengan hati itu masih belum gugur darinya, bahkan hendaklah seorang Muslim itu mencegah kemungkaran tersebut dengan tangan atau lidahnya bergantung kepada kemampuannya.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Sesungguhnya pada hari kiamat nanti Allah SWT akan bertanya kepada hamba-Nya sehingga Allah SWT berfirman:

‘ Apakah yang menghalang kamu dari menafikan kemungkaran apabila kamu melihatnya?” Apabila Allah SWT selesai mengajar kepada si hamba hujahnya, si hamba pun berkata:

‘ Ya Tuhanku, aku mengharapkan-Mu dan aku menjauhi manusia.’

( Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Sa’id al-Khudri )

Iaitu (maksud hadis ), aku mengharapkan kemaafan dan kemapunan-Mu dan aku takut sekiranya manusia menimpakan kemudharatan ke atas diri dan hartaku.

 

 

Mencagah kemungkaran dengan tangan atau lidah mempunyai dua hukum

 

1. Fardhu Kifayah

Jika kemungkaran tersebut disaksikan oleh lebih daripada seorang dari kalangan kaum Muslimin, pencegahan dan pengubahan kemungkaran itu adalah wajib ke atas sekalian kaum Muslimin di mana apabila sebahagian dari mereka melaksanakan tugas itu walaupun seorang, maka gugurlah kewajipan tersebut daripada bahu yang lain-lain. Apabila tiada seorang pun bangun melaksanakan kwajipan itu, maka berdosalah setiap orang yang berupaya berbuat demikian jika tidak beralaskan sebarang keuzuran atau ketakutan.

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Hendaklah ada segolongan dari kamu yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran….”

( Surah Ali-‘Imran: 104 )

Maksud umat di dalam ayat tersebut ( rujuk mushaf ) bermaksud jama’ah, iaitu sebahagian kaum Muslimin.

 

 

2. Fardhu ‘Ain

Jika kemungkaran itu disaksikan oleh seorang individu dan beliau berupaya melakukan pencegahan atau pengubahan, maka wajiblah hukum ke atasnya berbuat demikian. Begitu juga jika kemungkaran itu disaksikan atau diketahui oleh satu jama’ah, namun mereka tidak berupaya melaksanakan pencegahan kecuali seorang daripada mereka, maka wajiblah hukumnya ke atas yang seorang itu. Jika seseorang itu tidak bangun untuk melaksanakannya, berdosalah ia. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

“ Barangsiapa dikalangan kamu melihat kemungkaran…”

Iaitu, apabila tiada orang lain melihat kemungkaran itu kecuali dia seorang. Seumpama dengan ‘ melihat dan menyaksikan ‘ ialah pengetahuan mengenai kemungkaran itu dan keupayaan untuk mencegah atau merubahnya.

 

 

AKIBAT MENINGGALKAN TUGAS MENGHAPUSKAN KEMUNGKARAN SEDANGKAN BERUPAYA MELAKSANAKANNYA

 

Jika kerja mencegah kemungkaran ditinggalkan, maka merebaklah kejahatan di seluruh bumi, lalu tersebarlah maksiat dan lain-lain perkara yang keji. Justeru itu terhapuslah penunjuk-penunjuk kebaikan lalu diganti dengan kehinaan yang mengumumi kehidupan masyarakat kita. Ketika itu, kesemua mereka layak untuk menerima kemurkaan Allah SWT serta penghinaan dan pembalasannya. Firman Allah SWT, maksudnya:

“ Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan ‘Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batasan. Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat itu. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka lakukan itu.”

( Surah al-Ma’idah: 78-79 )

Manakala hadis mengenai perkara ini banyak sekali, antaranya:

1. Daripada Abu Bakar ( r.a ), daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Tidaklah satu kaum itu apabila maksiat dikerjakan di kalangan mereka kemudian mereka tidak mengubahnya sedangkan mereka berupaya berbuat sedemikian melainkan hamper-hampir Allah akan mengenakan azab-Nya ke atas mereka.”

( Diriwayatkan oleh Abu Daud )

 

2. Daripada Jarir ( r.a ), belia mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Tidaklah seorang lelaki itu mengerjakan maksiat di dakam satu kaum yang berupaya untuk mengubah maksiat yang dilakukannya, namun mereka tidak mengubahnya melainkan Allah menimpakan azab-Nya ke atas mereka sebelum mereka mati.”

( Diriwayatkan oleh Abu Daud )

 

3. Daripada ‘Adi bin Umair ( r.a ), bahawa beliau telah mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Sesungguhnya Allah tidak mengazab golongan umum ( orang-orang yang tidak melakukan kemungkaran ) disebabkan apa yang dikerjakan oleh golongan khusus ( orang-orang yang mengerjakan kemungkaran ) hinggalah apabila kemungkaran dikerjakan dihadapan mereka di mana mereka mampu untuk mencegahnya, namun tidak mencegahnya. Apabila mereka melakukan sedemikian, maka Allah pun mengazab golongan umum dan golongan khusus.”

( Diriwayatkan oleh Abu Daud )

 

 

MEMPERBETULKAN KEFAHAMAN YANG SALAH

Ramai dikalangan kaum Muslimin yang tersilap apabila mereka mengemukakan alasan mereka terhadap ketidakprihatinan dan sikap tidak bertanggungjawab mereka dalam mencegah kemungkaran dengan berhujah sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“ Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk….”

( Surah al-Ma’idah: 105 )

Sedangkan ayat itu sendiri mewajibkan pelaksanaan pencegahan kemungkaran. Telah diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abu Bakar ( r.a ), katanya:

“ Wahai manusia! Sesungguhnya kamu membaca ayat ini dan meletakkannya bukan pada tempatnya ( yakni surah al-Ma’idah: 105 tersebut ). Dan sesungguhnya kami telah mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Sesungguhnya manusia itu apabila melihat orang yang zalim namun mereka tidak mengahalang dan mencegah ( kezaliman ) nya, hampir-hampir Allah mengenakan azab-Nya ke atas mereka.”

Al-Imam An-Nawawi Rahimahullah menukilkan di dalam Syarah Muslim dengan berkata:

“ Mazhab yang shahih di sisi para muhaqiqqun ( mereka yang mentarjihkan dan menshahihkan sesuatu perkhabaran ) tentang penafsiran ayat ini ( surah al-Ma’idah:105 ) ialah:

‘ Sesungguhnya apabila kamu melaksanakan tuntutan pencegahan mungkar itu yang dipertanggungjawabkan ke atas dirimu, maka kelemahan dan kekurangan orang lain tidak akan memudharatkan kamu seperti di dalam firman Allah SWT yang maksudnya:

“ …. Dan seorang, yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain….”

( Surah ali-‘Imran: 164 )

Maka, apakah lagi alasannya seseorang itu yang telah terpikul di bahunya untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran?

 

 

REDHA DENGAN DOSA ADALAH SATU MAKSIAT YANG BESAR

Barangsiapa tahu tentang satu dosa dan dia redha akannya, sesungguhnya dia telah melakukan dosa besar dan mengerjakan seburuk-buruk perkara haram sama ada dia melihat perbuatan dosa tersebut atau tidak, maka dosanya adalah seperti dosa orang yang melihatnya tetapi tidak mencegahnya.

Daripada al-‘Urs bin Umairah ( r.a ), daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Apabila satu dosa dilakukan di muka bumi ini, maka orang yang melihatnya serta membencinya ( Baginda bersabda pada ketika yang lain: dan mengingkarinya ) maka dia sama seperti orang yang tidak melihat kemungkaran itu berlaku dihadapan matanya, tetapi redha dengannya, samalah seperti orang yang menyaksikannya.”

( Diriwayatkan oleh Abu Daud )

Disebabkan redha dengan dosa, hal ini akan mengakibatkan seseorang itu tidak akan mampu mencegah kemungkaran tersebut dengan hatinya. Kita telah mengetahui bahawa mencegah kemungkaran hukumnya adalah fardhu ‘ain dan meninggalkan fardhu ‘ain adalah tergolong ke dalam dosa-dosa besar.

 

والله أعلم

Sumber:

Al-Wafi, fi syarh al-arba’in an-nabawiyyah

Hadis ke-34

MANFAATKAN KESEMPATAN DI DUNIA UNTUK KEJAYAAN DI AKHIRAT

 

IMG_1157

 

 

Daripada Ibnu ‘Umar ( r.a ), Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Jalanilah kehidupanmu di dunia ini seolah-olah kamu orang asing atau pelancong.” Ibnu ‘Umar berkata: ‘ ( maksud sabda baginda itu adalah ) apabila kamu berada di petang hari, maka janganlah kamu menanti datangnya pagi. Apabila kamu berada di pagi hari, janganlah kamu menanti datangnya petang. Ambillah kesempatan di masa sihatmu untuk masa sakitmu, dan masa hidupmu untuk masa matimu.’

( Diriwayatkan oleh al-Bukhari: 1499 )

 

 

KETERANGAN

 

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Allah bertanya lagi ( kepada mereka yang kafir itu ): “ Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?” Mereka menjawab: “ Kami tinggal ( di dunia ) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan ( malaikat ) yang menjaga urusan menghitung. Allah berfirman: “ Kamu tidak tinggal ( di dunia ) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini ( tentulah kamu bersiap sedia ).”

( Surah al-Mu’minun: 112-114 )

 

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ ( Dalam kitab-kitab itu ditegaskan ): bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain ( bahkan dosa usahanya sahaja ). Dan bahawa sesungguhnya tidak ada ( balasan ) bagi seseorang melainkan ( balasan ) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan ( kepadanya, pada hari kiamat kelak ). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.”

( Surah al-Najm: 38-41 )

 

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Segala yang ada di muka bumi itu akan binsa. Dan akan kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.”

( Surah al-Rahman: 26-27 )

 

Ayat di atas mengisahkan soalan yang diajukan Allah SWT kepada orang yang sudah meninggalkan kehidupan dunia ( meninggal dunia ).

Setiap manusia semestinya sedar bahawa suatu ketika dirinya akan binasa dan kembali kepada Tuhannya. Tiada yang menghalangi antara dirinya dengan kematian melainkan masa yang amat sempit. Oleh itu hendaknya manusia hidup di dunia ini laksanan orang asing atau pelancong yang tidak terikat ( mencintai ) dengan tenpat yang dia singgahi.

Selain itu, hendaklah setiap insan tidak menanti datangnya pagi apabila dia berada di petang hari, demikian pula sebaliknya. Dan lakukanlah sesuatu kerana dia tidak pernah tahu apa yang akan terjadi pada esok hari.

Ibnu ‘Umar ( r.a ) juga mengingatkan kepada kita bahawa masa berlalu dengan pantas dan kadangkala manusia tidak menyedari peredaran masa. Oleh yang demikian, janganlah sampai kita terlajak dan tidak sempat melakukan sesuatu yang bermanfaat. Gunakanlah masa dengan baik, kerana belum tentu esok akan sama seperti hari ini.

 

Ibnu Batthal berkata:

“ Seseorang yang mengasingkan dirinya ke negeri lain akan berasa asing bergaul dengan orang-orang di negeri itu. Dia tidak mempunyai kenalan di tempat itu sehingga membuatnya merasa hina dan takut. Demikian juga seorang pelancong. Dia tidak membawa bekalan melainkan yang diperlukannya selama dalam perjalanan saja selain jumlahnya pun sedikit supaya tidak memberatkannya. Dia juga hanya membawa kenderaan ( keldai ) yang dapat membantunya dalam perjalanan. Ini merupakan isyarat bahawa setiap manusia perlu bersifat zuhud.”

 

 

DUNIA SEMENTARA DAN AKHIRAT KEKAL ABADI

 

Seorang insan yang hidup di dunia ini hanya hidup dalam jangka waktu yang dikehendaki oleh Allah SWT, kemudian seseorang itu pasti akan mati pada suatu hari nanti. Firman Allah SWT, maksudnya:

“ Setiap yang bernyawa pasti akan menemui kematian….”

( Surah Ali ‘Imran: 185 )

 

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad ) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.”

( Surah az-Zumar: 30 )

Seorang insan itu juga tidak mengetahui bilakah kehidupannya berakhir. Allah SWT berfirman, maksudnya:

“… Dan tiada seorangpun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok ( sama ada baik atau jahat ); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati….”

( Surah Luqman: 34 )

 

Justeru itu, seorang mukmin yang berakal tidak akan tertipu oleh kehidupan dunia. Dia akan memendekkan angan-angannya serta menjadikan dunia sebagai ladang yang ditanamnya dengan amalan-amalan soleh agar suatu masa nanti dituai akan hasilnya di alam akhirat. Dunia ini dijadikannya sebagai kenderaan bagi menyelamatkan dirinya sewaktu melintasi jambatan yang dibentangkan untuknya di atas neraka Jahannam.

 

Al-Hasan al-Bashri berkata:

“ Seorang mukmin bagaikan seorang asing, dia tidak takut dan tidak gelisah terhadap kehinaan dunia ini dan tidak pula beliau berlumba-lumba merebut kemuliaannya. Antara dia dengan manusia memiliki urusan masing-masing yang berbeza.”

 

Ibnu Rajab al-Hanbali berkata:

“ Setelah Allah SWT menciptakan Adam ( a.s ), Allah SWT menempatkannya bersama-sama isterinya di syurga, kemudian diturunkan dari syurga itu dan dijanjikan untuk dikembalikan semula ke dalamnya bersama-sama orang-orang yang soleh dari zuriatnya. Maka seorang mukmin itu untuk selama-lamanya rindu terhadap negara asalnya ( syurga ) dan cinta pada Negara adalah sebahagian daripada iman.”

 

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam: 4/476

Al-Wafi fi syarh al-arba’in an-nabawiyyah: m/s 638| hadis: 40

MEMAKAI SELIPAR DENGAN KAKI KANAN DAN MENANGGALKANNYA DENGAN KAKI KIRI

SELIPAR

 

Daripada Abu Hurairah ( r.a ), Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Jika salah seorang kamu ingin memakai selipar, maka mulailah dengan kaki kanan dan jika ingin menanggalkannya, maka mulailah dengan kaki kiri. Jadikanlah kaki kananmu paling pertama ketika memakai selipar dan paling akhir ketika menanggalkannya.”

( Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih: 1478 )

KETERANGAN

‘Aisyah ( r.a ) menceritakan tentang Rasulullah صلى الله عليه وسلم di mana baginda menyukai untuk mendahulukan yang kanan dalam setiap urusan; ketika memakai selipar, menyikat rambut dan segala bentuk pekerjaan yang lain. Memulakan perkerjaan yang baik dengan sebelah kanan merupakan amalan yang digalakkan oleh syariat Islam, kerana di samping sebelah kanan merupakan sisi yang lebih dapat merasakan kekuatan, di samping itu sisi sebelah kanan merupakan sisi yang lebih di utamakan. Manakala menanggalkan sesuatu hendaklah dengan sebelah kiri.

Al-Qadhi ‘Iyadh mengatakan perintah dalam hadis ini bersifat sunat berdasarkan kesepakatan ulama.

Ibnu Abdul Barr berkata:

“ Barangsiapa memakai selipar yang dimulakan dengan kaki kiri ketika memasangnya, maka dia telah melakukan kesalahan kerana melanggar perintah sunat, namun perbuatan itu tidaklah diharamkan.”

Ulama yang lain pula berbeza pendapat seperti mana yang dinukil oleh al-Shan’ani mengatakan, hendaklah ketika menanggalkan selipar dimulai dengan kaki kiri dan memasangnya dengan kaki kanan. Ini bermaksud perintah dalam hadis itu adalah wajib.

 

 

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam: 4/441

Previous Older Entries Next Newer Entries

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat