TAYAMMUM

IMG_6598

 

Takrif

Tayammum menurut bahasa ialah bersengaja atau bertujuan. Sedangkan menurut makna syari’i adalah bertujuan dan sengaja menyapu tanah ke bahagian muka dan kedua-dua tangan dengan niat agar dapat mengerjakan solat dan lain-lain seumpamanya.

Tayammum adalah alat bersuci menggunakan debu, sebagai pengganti kepada air, sama ada wuduk ataupun mandi ketika ketiadaan air atau tidak mampu menggunakan air kerana sebab-sebab tertentu. Tayammum disyariatkan pada tahun ke 6 Hijrah, ketika Nabi SAW kembali dari peperangan Bani Mustaliq, sebagaimana yang diyakini oleh Ibnu Abdul Bar dan selainnya daripada ulama hadis, seperti Ibnu Sa’id dan Ibnu Hibban.

Dalil pensyariatan tayammum adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“…. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air ( untuk mandi atau berwuduk ), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah ( debu ), yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pemgampun.”

( Surah an-Nisa’: 43 )

Manakala dalil daripada Sunnah pula ialah berdasarkan kepada hadis Abu Umamah ( r.a ), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Allah menjadikan seluruh isi bumi untukku dan untuk umatku sebagai masjid dan alat bersuci. Oleh sebab itu, jika solat telah memanggil salah seorang daripada umatku, maka disisinya itu ( tanah ) terdapat alat untuk bersuci.” [1]

 

Tayammum Adalah Satu Keistimewaan

 

Tayammum merupakan salah satu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita, ia ( tayammum ) tidak pernah disyariatkan kepada umat-umat terdahulu.

Daripada Khuzaifah ( r.a ), bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Kita dilebihkan dari manusia yang lain dengan tiga perkara:-

1. Barisan kita dijadikan seperti barisan para malaikat

2. Dijadikan bagi kita seluruh bumi sebagai masjid

3. Dan dijadikan bagi kita tanah sebagai alat bersuci, apabila kita tidak menemukan air.” [2]

 

Dari Jabir ( r.a ), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Allah memberiku lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada satu umat pun sebelumku:

1. Aku diberi kemenangan melawan musuh dengan perasaan takut yang tertanam dalam jiwa mereka sejauh perjalanan satu bulan perjalanan

2. Bumi dijadikan sebagai masjid dan alat bersuci untukku dan oleh kerananya, sesiapa diantara umatku yang mendapati bahawa waktu solat telah tiba, hendaklah dia mengerjakannya

3. Harta ghanimah dihalalkan kepadaku, padahal ia tidak dihalalkan kepada satu umat pun sebelum ku ini

4. Aku diberi hak unruk memberi syafaat

5. Jika nabi-nabi lainnya diutus kepada kaumnya sahaja, sebaliknya aku diutus kepada seluruh umat manusia.” [3]

 

 

Sebab Pensyariatan Tayammum

 

A’isyah ( r.a ) meriwayatkan, katanya:

“ Kami pergi bersama Nabi SAW dalam suatu perjalanan. Ketika kami tiba di Baida’, rantaiku terputus. Nabi SAW pun berhenti untuk mencarinya. Begitu pula para sahabat berhenti untuk mencari kalung tersebut. Kebetulan tempat itu tidak berair dan mereka pula tidak mempunyai bekalan air. Para sahabat datang menjumpai Abu Bakar ( r.a ), kata mereka: ‘ Tidakkah kamu mengetahui apa yang telah diperbuat A’isyah?’ maka datanglah Abu Bakar, sementara Nabi SAW sedang tidur di atas pahaku. Lalu Abu Bakar pun mencelaku dan mengeluarkan kata-kata sesuka hatinya, bahkan menusuk pinggangku dengan tangannya. Aku menahan diri agar tidak sampai bergerak, kerana mengingat Nabi SAW sedang tidur sampai pagi tanpa air. Kemudian Allah Taala menurunkan ayat tayammum, iaitu ‘… maka bertayammumlah kamu…’ Usaid bin Hudhair berkata: ‘ Bukankah ini satu berkat yang luar biasa ke atas kamu, wahai keluarga Abu bakar?’ A’isyah berkata: ‘ Kemudian para sahabat menghalau unta yang aku kenderai. Tidak lama kemudian, kami menemukan rantai itu di bawahnya.” [4]

 

 

 

Sebab-sebab yang membolehkan tayammum

Orang yang berhadas kecil mahupun berhadas besar dibolehkan bertayammum, sama ada ketika bermukim mahupun bermusafir sebagai pengganti kepada air, jika terdapat salah satu sebab-sebab berikut:

1. Sakit

Sakit yang tidak mampu menggunakan air seperti mengalami luka atau bila menggunakan air penyakitnya semakin bertambah teruk ataupun kesembuhannya semakin lambat, sama ada yang demikian itu dikenalpasti berdasarkan pengalaman atau berdasarkan nasihat doktor yang dapat dipercaya. Maka dalam keadaan seumpama ini seseorang itu dibolehkan bertayammum. Dalilnya:

Daripada Jabir ( r.a ), katanya:

“ Suatu hari kami berangkat untuk mengadakan perjalanan. Kebetulan, salah seorang di antara kami tertimpa sesbuah batu hingga melukakan kepalanya. Kemudian orang itu bermimpi junub dan dia pun bertanya kepada rakan-rakannya: ‘ Adakah aku ini mendapat keringanan seperti bertayammum?’ Mereka menjawab: ‘ Tidak ada keringanan untukmu, kerana kamu masih lagi boleh menggunakan air.’ Orang itu pun mandi dan secara kebetulan, dia terus meninggal dunia. Setelah itu, mendatangi Rasulullah SAW dan kami menceritakan peristiwa itu yang dialami oleh seorang rakan kami itu. Nabi SAW yang mendengar cerita itu langsung terperanjat dan bersabda: ‘ Mereka telah membunuh lelaki itu! Semoga Allah membunuh mereka! Kenapa mereka tidak bertanya jika tidak tahu? Bertanya merupakan satu-satunya cara untuk mengatasi kejahilan! Padahal lelaki itu sudah cukup dengan cara bertayammum, mengeringkan darahnya, atau membalut lukanya dengan kain, kemudian menyapu bahagian atasnya dan setelah itu membasuh seluruh tubuhnya.” [5]

 

 

2. Ketiadaan Air

– Jika seseorang tidak menemukan air, maka dibenarkan untuk bertayammum. Dalilnya adalah berdasarkan hadis ‘Imran bin Husain ( r.a ), katanya:

“ Ketika itu, kami berada dalam perjalanan bersama Rasulullah SAW. Beliau pun mengerjakan solat bersama para sahabatnya. Tiba-tiba ada seorang lelaki yang mengasingkan dirinya tanpa ikut serta mengerjakan solat. Melihat itu, lantas Nabi pun bertanya:

‘ Kenapa kamu tidak mengerjakan solat (berjemaah bersama kami )?’ Lelaki itu menjawab: ‘ Aku dalam keadaan berjunub, sementara air tidak ada.’ Nabi pula bersabda: ‘ Gunakanlah tanah, sebab yang demikian boleh dilakukan sebagai pengganti air.” [6]

 

Dari Abu Zar ( r.a ), Nabi SAW bersabda:

“ Sesungguhnya tanah dapat mensucikan bagi orang yang tidak mendapati air selama sepuluh tahun.” [7]

Tetapi sebelum bertayammum, seseorang dikehendaki mencari air terlebih dahulu dari bekalannya, dari rakan-rakannya, atau dari tempat yang menurut kebiasaannya tidak di anggap terlalu jauh. Sekiranya jarak seseorang itu dengan air lebih daripada separuh farsakh iaitu menyamai 2 ½ km, maka dia boleh bertayammum dan dia tidak wajib berusaha untuk pergi mendapatkan air tersebut kerana yang demikian itu adalah membebankan.

 

 

3. Air sangat sejuk

– Jika air teramat sejuk dan diduga kuat apabila digunakan akan menimbulkan bahaya, tetapi dengan syarat seseorang itu tidak dapat memanaskan air tersebut meskipun dengan cara mengupah ( untuk memanaskan air ). Dalilnya bersandarkan kepada hadis Amar bin al-‘Ash ( r.a ) bahawa:

“ Tatkala diutus untuk menjadi panglima perang Zat as-Salasil, dia berkata: ‘ Pada waktu malam yang teramat sejuk, aku bermimpi junub. Aku khuatir mati jika aku memaksakan diri untuk mandi. Akhirnya, aku pun bertayammum lalu aku mengerjakan solat subuh bersama sahabat-sahabatku yang lain. Setibanya kami dihadapan Rasulullah SAW, sahabat-sahabatku tadi menceritakan peristiwa itu kepadanya. Nabi SAW bertanya: ‘ Wahai Amar! Betulkah kamu melakukan solat bersama sahabat-sahabatmu ketika kamu dalam keadaan berjunub?’ Jawabku: ‘ Aku teringat firman Allah Azza wa Jalla: “ Janganlah kamu membunuh dirimu! Sungguh Allah Maha Penyayang terhadap kamu sekalian.” ( Surah an-Nisa’: 29 ). Berikutan itu, aku pun bertayammum lalu mengerjakan solat. Mendengar itu, Rasulullah hanya tertawa dan tidak mengatakan apa-apa lagi.” [8]

Hadis ini menerangkan pengakuan Nabi SAW dan pengakuannya itu boleh dijadikan sebagai dalil, kerana Nabi SAW tidak pernah mengakui atau menyetujui perkara yang batil.

 

 

4. Khuatir bahaya menimpa diri, kehormatan dan hartanya

– Jika air berhampiran dengan seseorang, tetapi dia khuatir terhadap keselamatan diri, kehormatan dan hartanya, khuatir ditinggalkan rakan-rakan serombongannya ( musafir ), keberadaan air itu terhalang oleh musuh yang amat digeruni tanpa mengira musuh dari kalangan manusia atau dari jenis lain. Maka dalam situasi sebegini seseorang dibolehkan bertayammum. Begitu juga seseorang dibolehkan bertatammum jika khuatir bakal dituduh melakukan perkara yang bukan-bukan dan akan mengakibatkan bahaya dan bencana jika dia mandi.

 

5. Air tersebut hanya cukup untuk diminum

– Jika seseorang memerlukan air, sama ada untuk keperluan mendesak mahupun untuk keperluan yang akan datang, seperti untuk keperluan minumnya atau keperluan minum selain dirinya, meskipun hanya untuk keperluan minum haiwan. Maka dalam keadaan inii seseorang itu diboleh kan bertayammum dan menyimpan air yang ada padanya. Demikian pula jika air itu digunakan untuk memasak dan menghilangkan najis yang tidak dapat dimaafkan, maka dalam situasi ini juga seseorang itu hendaklah bertayammum dan menyimpan air yang ada padanya. Imam Ahmad berkata:

“ Sejumlah Sahabat bertayammum dan menyimpan air untuk minuman mereka.” [9]

 

Dari ‘Ali ( r.a ), beliau mengeluarkan fatwa mengenai seorang lelaki berjunub ketika dalam perjalanan, sedangkan dia hanya membawa sedikit air, di samping khuatir akan mengalami kehausan:

“ Hendaklah dia bertayammum dan tidak perlu mandi!” [10]

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata:

“ Sesiapa yang menahan kencing kerana takut batal, sebab dia tidak mempunyai air, maka lebih afdhal baginya adalah mengerjakan solat dengan tayammum dan membuang air kecil berbanding mempertahankan wuduk dan mengerjakan solat sambil menahan kencing.” [11]

 

 

__________________

NOTA KAKI

[1] Diriwayatkan oleh Ahmad. Syaikh Albani mengklasifikasikannya sebagai shahih dalam Irwa’ al- Ghalil: Jilid 1,m/s: 180. Lihat Fiqh Sunnah: 1/161

[2] Diriwayatkan oleh Muslim. Lihat al-Fiqh al-Wadhih: 1/121

[3] Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Fiqh Sunnah: 1/162

[4] Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah. Lihat Fiqh Sunnah: 1/163, al-Fiqh al-Wadhih: 1/120

[5] Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah, ad-Daruqutni dan dikategorikan sebagai shahih oleh ibnu as-Sakan. Lihat Fiqh Sunnah: 1/165, al-Fiqh al-Wadhih: 1/122, Fiqh Manhaji: 1/112

[6] Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, An-Nasa’i & Musnad Abu ‘Awanah. Lihat Fiqh Sunnah: 1/ 164

[7] Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah. Menurut at-Tirmizi, hadis ini hasan lagi Shahih. Lihat Fiqh Sunnah: 1/164

[8] Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Hakim, ad-Daruqutni dan Ibnu Hibban, manakala al-Bukhari menyebutkannya secara mu’allaq. Lihat Fiqh Sunah: 1/166, al-Fiqh al-Wadhih: 1/123, Fiqh Manhaji: 1/112

[9] Lihat Fiqh Sunnah: 1/167

[10] Lihat Fiqh Sunnah: 1/167, al-Fiqh al-Wadhih: 1/123

[11] Lihat Fiqh Sunnah: 1/167

JANGAN LAKUKANNYA…

IMG_9682

 

 

1. Jangan ‘ memekakkan telinga ‘ saat azan berkumandang.

 

  • Daripada Jabir ( r.a ), Rasulullah SAW bersabda:

“ Batasan antara seseorang dengan kekafiran itu ialah meninggalkan solat.”

– Hadis Shahih diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Lihat Fiqh Sunnah: 1/193

 

  • Dari Buraidah ( r.a ), Rasulullah SAW bersabda:

“ Ciri utama ( yang membezakan ) antara kami ( Muslim ) dengan mereka ( kafir ) ialah solat. Oleh yang demikian, sesiapa yang meninggalkannya, bererti dia menjadi kafir.”

– Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Al-Hakim berkata: ‘ Ini adalah hadis yang memiliki sanad yang shahih, malah tak satu pun dijumpai kecacatannya.’ Lihat Fiqh Sunnah: 1/193

 

 

2. Jangan menjauhkan diri daripada majlis ilmu.

  • Rasulullah SAW bersabda:

“ Menuntut ilmu adalah fardhu atas setiap Muslim.”

– Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah. Lihat Al-Wafi: 1/554

 

  • Daripada Mu’awiyah ( r.a ), Rasulullah SAW bersabda:

“ Sesiapa yang dikehendaki Allah menjadi baik, maka

dia memberi orang itu kefahaman dalam masalah agama.”

– Hadis ini diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih. Lihat Subulus Salam: 4/534

 

 

3. Jangan membutakan mata tatkala melihat kemungkaran.

  • Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan ‘Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batasan. Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat itu. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka lakukan itu.”

( Surah al-Ma’idah: 78-79 )

 

  • Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Hendaklah ada segolongan dari kamu yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran….”

( Surah Ali- ‘Imran: 104 )

 

  • Daripada Abu Sa’id al-Khudri ( r.a ), Rasulullah SAW Bersabda:

“ Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

– Diriwayatkan oleh Muslim. Lihat Al-Wafi, m/s 469

 

  • Daripada Abu Bakar ( r.a ), Rasulullah SAW bersabda:

“ Tidaklah sattu kaum itu apabila maksiat dikerjakan di kalangan mereka kemudian mereka tidak mengubahnya sedangkan mereka berupaya berbuat sedemikian melainkan hampir-hampir Allah akan mengenakan azabNya ke atas mereka.”

– Diriwayatkan oleh Abu Daud. Lihat Al-Wafi, m/s 476

 

Semoga Bermanfaat…

BEKERJA UNTUK DUNIA

Petani

اعمل لدنياك كأنك تعيش أبدا، واعمل لآخرتك كأنك تموت غدا

“ Bekerjalah untuk duniamu seolah-oleh kamu akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati esoknya.”

KETERANGAN

Syaikh al-Albani Rahimahullah di dalam Silsilah Ahadith al-Dhaifah wa al- Maudhua’h berkata:

“ Tidak ada asal usul bagi hadis ini bahawa ia daripada Rasulullah SAW, walaupun ia masyhur dikalangan manusia pada zaman ini.”

Secara umumnya, isi kandungan hadis ini adalah benar. Apa yang ingin disampaikan ialah supaya kita tekun dan bersungguh-sungguh dalam melakukan urusan kerja dunia. Begitu juga kita memperbanyakkan ibadah dan amal sebagai bekalan di akhirat seolahh-olah kita mati pada esok hari. Jadi,ia menganjurkan kehidupan yang seimbang di antara dunia dan akhirat. Bekerja di dunia tanpa melupakan urusan akhirat.

Walaupun isi kandungan hadis palsu ini betul dan baik, tetapi ia tetap salah apabila disandarkan kepada Rasulullah SAW. Jika ini dilakukan, ia juga termasuk ke dalam perbuatan melakukan pendustaan kepada Nabi SAW, kerana menyandarkan sesuatu ucapan yang tidak pernah Baginda ucapkan atau dilakukan olehnya.

Konsep yang perlu kita ingat ialah setiap apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW itu semestinya benar, tetapi bukanlah setiap yang benar itu diucapkan oleh Baginda. Contoh yang mudah, kita mengatakan Kuala Lumpur terletak di Negara Malaysia. Ini memang benar, tetapi ia tidak pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW.

Sebagai penutup, hayatilah firman Allah SWT ini:

“ Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia sudah sediakan daripada amal-amalnya untuk hari esok ( hari qiamat ). Dan ( sekali lagi diingatkan ) bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.”

( Surah al-Hasyr: 18 )

SETIAP AMALAN BERMULA DARI NIAT

IMG_4599_thumb1

Daripada ‘Umar al-Khattab ( r.a ), Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Sesungguhnya segala amalan-amalan itu bermula dari niat dan sesungguhnya bagi setiap seorang itu ( ia akan memperolehi berdasarkan ) untuk apa diniatkannya. Maka barangsiapa ( niat ) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya dan barangsiapa yang hijrahnya untuk maksud dunia, maka ia maksudnya itu akan terpenuhi atau kerana seorang wanita, maka ia akan mengahwininya. Oleh yang demikian hijrahnya adalah berdasarkan kepada maksud apa hijrah itu dilakukan.”

Hadis ini telah diriwayatkan oleh:-

  • Imam al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya dan kitab al-Iman
  • Imam Muslim di dalam kitab al-Imarah ( 1907 )
  • Imam Abu Daud di dalam kitab Ath-Thalaq ( 2201 )
  • Imam at-Tirmizi di dalam kitab Fadha’il Jihad ( 1646 )
  • Imam Ibnu Majah di dalam kitab az-Zuhud ( 4227 )
  • Imam an-Nasa’i di dalam kitab ath-Thaharah ( 59 )
  • Imam Ahmad di dalam Musnadnya 25/ ms: 1 & 43
  • Imam ad-Daruqtni, Imam Ibnu Hibban dan Imam al-Baihaqi

 

 

 

KETERANGAN

  • Sesungguhnya hadis ini merupakan paksi kepada agama Islam. Kebanyakan daripada hukum-hukam dan amalan-amalan ibadah bersandarkan kepada hadis ini. Hadis ini juga merupakan hadis yang terpenting di dalam agama.

 

  • Para ulama berkata:

 

  • Imam Abu Daud Rahimahullah

§ “ Sesungguhnya hadis ini adalah setengah daripada agama Islam, justeru agama itu sama ada zahir yang merupakan amalan atau batin yang merupakan niat.”

  • Imam Asy-Syafi’i dan Imam Ahmad Rahimahullah

§ “ Masuk ke dalam hadis ini sepertiga daripada ilmu.

Adapun sebab yang demikian itu adalah sesungguhnya pekerjaan seseorang hamba itu terjadi daripada tiga galur:

a. Iaitu dengan hati

b. Lidahnya

c. Dan anggota-anggotanya ( tubuh badan )

Maka adapun niat itu dengan hati, adalah merupakan salah satu daripada ketiga-tiga bahagian ini.”

Oleh itu, alim ulama amat suka untuk memulakan kitab-kitab dan karangan mereka dengan hadis ini. Lantaran itu Imam al-Bukhari Rahimahullah telah meletakkan hadis ini pada awal kitab Shahihnya.

Imam an-Nawawi Rahimahullah juga telah memulakan ketiga-tiga kitabnya dengan hadis ini, iaitu Riyadhus Solihin, al-Adzkar dan al-Arba’in an-Nabawiyyah.

 

 

 

SETIAP AMALAN AKAN DI BERI GANJARAN BERDASARKAN NIAT

  • Barangsiapa yang telah berniat untuk mengerjakan sesuatu amalan soleh dan kemudian dia terhalang untuk melakukannya atas sebab sesuatu keuzuran seperti sakit atau kematian, maka sesungguhnya dia diganjari dengan apa yang dia niatkan.

 

 

 

WAKTU DAN TEMPAT BERNIAT

  • Tempat berniat adalah di dalam hati dan tidak disyaratkan untuk melafazkan niat tersebut. Walaupun ada pendapat

             ( ulama mazhab Syafi’i ) yang membenarkan untuk melafazkannya agar dapat membantu hati untuk menghadirkan niat tersebut.

FAEDAH HADIS

  • Ia menjadi satu peringatan kepada penuntut ilmu agar memperbetulkan niat mereka semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah SWT dalam usaha menuntut ilmu serta melakukan amalan kebajikan.
  • Abu Ubaid berkata ( tentang faedah hadis ini )

         “ Tidak ada di dalam hadis-hadis faedah yang lebih luas dan banyak daripada hadis ini.”

 

 

 

KESIMPULAN

  • Hadis ini membimbing kita ke arah keikhlasan dalam  mengerjakan sesuatu amalan dan ibadat sehingga kita berjaya menghasilkan ganjaran dan pahala di alam akhirat, taufik dan kejayaan di dalam dunia.

 

 

والله أعلم

TAKRIF HADIS QUDSI

IMG_9648

 

 

Hadis Al-Qudsi adalah hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم daripada Tuhannya ‘Azza wa Jalla, kadangkala dengan perantaraan Jibril ‘Alaihissalam, kadangkala dengan perantaraan wahyu atau mimpi. Adapun ibarat atau lafaz hadis ini terpulanglah kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم untuk mengucapkannya.

 

Tiada perbezaan atau percanggahan antara hadis Al-Qudsi dengan hadis An-Nabawi melainkan pada isnad, di mana Al-Qudsi isnadnya kepada Allah. Justeru itu, ianya disandarkan kepada Allah pada kebanyakan waktu dan dinisbahkan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagai satu nisbah insya’i, lantaran Allah yang berfirman dengan hadis itu kemudian disandarkan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم , justeru baginda yang memberitahunya dari Tuhannya.

 

Melalui takrif hadis Al-Qudsi ini, maka jelaslah perbezaannya dengan Al-Qur’an:

 

a. Al-Qur’an merupakan mukjizat dengan lafaz dan maknanya, sedangkan hadis Al-Qudsi sebaliknya.

b. Sah solat membaca Al-Qur’an, manakala dengan hadis Al-Qudsi adalah sebaliknya ( batal ).

c. Ingkar terhadap AL-Qur’an menjadi kafir dan ingkar terhadap hadis Al-Qudsi adalah fasiq.

d. Lafaz dan makna Al-Qur’an dari Allah dan lafaz hadis Al-Qudsi adalah dari perkataan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan maknanya adalah wahyu dari Allah.

e. Tidak boleh meriwayatkan Al-Qur’an dengan makna, sebaliknya hadis Al-Qudsi boleh diriwayatkan dengan makna.

f. Orang yang berjunub tidak boleh membaca Al-Qur’an atau memegangnya, manakala hadis Al-Qudsi boleh dipegang, membawa atau membacanya.

g. Al-Qur’an tidak boleh disentuh, melainkan oleh orang yang dalam keadaan bersuci. Manakala tidak disyaratkan bersuci ke atas seseorang itu ketika membaca hadis Al-Qudsi.

h. Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka ia memperolehi sepuluh kebaikan. Manakala tiada ganjaran bagi orang yang membaca hadis Al-Qudsi dengan maksud semata-mata membaca.

i. Hadis-hadis Al-Qudsi dinamakan hadis-hadis Ilahiyyah. Jumlahnya lebih daripada seratus buah hadis. Alim ulama telah mengumpulkan hadis-hadis ini, diantara mereka ialah Ali bin Balban di dalam kitabnya Al-Maqasid As-Sunniyyah fi Al-Ahadith Al-Ilahiyyah, di mana terkumpul di dalamnya seratus hadis.

 

 

 

والله أعلم

Sumber:

Al-Wafi fi Syarh al-Arba’in an-Nabawiyyah

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

IMG_5145

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa…”

( Surah an-Nisa’: 36 )

Allah SWT berfirman, maksudnya:

“ Dan Kami perintahkan kepada manusia ( berbuat baik ) kepada dua orang ibu bapa; Ibu yang telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu…”

( Surah Luqman: 14 )

Daripada Abu Hurairah ( r.a ), beliau berkata:

“ Ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu berkata: ‘ Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak saya temani dengan baik?’ Baginda menjawab: ‘ Ibumu.’ Dia berkata: ‘ Kemudian siapa lagi?’ Baginda jawab: ‘ Ibumu.’ Dia berkata: ‘ Kemudian siapa lagi?’ Baginda jawab: ‘ Ibumu.’ Dia berkata ( lagi ): ‘ Kemudian siapa lagi?’ Baginda menjawab: ‘ Ayahmu.’”

( Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih )

Manakala di dalam riwayat yang lain:

“ Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku layan baik?” Baginda berkata: “ Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu kemudian ( berbuat baiklah ) kepada ayahmu kemudian kepada orang yang terdekat denganmu dan orang yang terdekat denganmu.”

( Diriwayatkan oleh Muslim )

Daripada ‘Abdullah ibn ‘Amr ibn al-‘Ash ( r.a ), beliau berkata:

“ Seseorang menghadap Nabi صلى الله عليه وسلم lalu berkata:

‘ Saya berbaiat kepada tuan untuk berhijrah dan berjihad demi mencari pahala dari Allah Ta’ala.” Nabi صلى الله عليه وسلم bertanya: “ Apakah salah seorang dari kedua ibu bapamu masih hidup?” Dia menjawab: “ Ya, bahkan kedua-duanya sekali.” Mendengar itu, baginda bersabda: “ Benarkah kamu mencari pahala dari Allah?” Dia menjawab: “ Ya.” Baginda bersabda: “ ( Kalau begitu ), pulanglah kepada kedua ibu bapamu dan bergaullah dengan baik terhadap keduanya.”

( Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih & Abu Daud )

Di dalam riwayat Muttafaq ‘Alaih:

“ Telah datang seseorang lelaki memohon izin kepada Nabi صلى الله عليه وسلم untuk turut serta berjihad, lalu baginda bertanya: “ Apakah masih hidup kedua ibu bapamu?” Dia menjawab: “ Ya.” Baginda bersabda: “ ( Kalau begitu ), hendaklah kamu berjihad dalam ( berbuat bakti ) kepada mereka berdua.”

Daripada ‘Abdullah ibn ‘Amr ibn al-‘Ash ( r.a ) daripada Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

“ Redha Allah ada pada redha kedua ibu bapa dan murka Allah ada pada murka kedua ibu bapa.”

( Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan dinilai shahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim )

KETERANGAN

Setiap amal ibadah pasti dapat mendekatkan diri seseorang kepada rahmat Allah dan setiap perbuatan maksiat dapat mendekatkan diri seseorang kepada murka-Nya. Jadi, dekat atau jauh seorang hamba daripada cinta dan murka Allah bergantung kepada seberapa banyak amal ibadah atau perbuatan maksiat yang dilakukannya.

Firman Allah Ta’ala dan Sabda Rasul-Nya صلى الله عليه وسلم di atas membahas salah satu amal ibadah kepada Allah iaitu berbakti kepada kedua ibu bapa. Oleh kerana berapa besar kewajipan kita untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dan oleh kerana betapa besar dosa berbuat derhaka kepada keduanya, maka membuat marah keduanya dianggap sebagai perbuatan maksiat.

Al-Qadhi ‘Iyyadh berkata:

“ Jumhur ulama berpendapat ibu adalah lebih afdhal daripada bapa ketika harus menentukan mana yang lebih didahulukan untuk berbakti kepada salah seorang mereka.”

Al-Harith al-Muhasibi menegaskan ulama telah bersepakat tentang masalah ini.

والله أعلم

Sumber:

Subulus Salam

4/456

Riyadhus Salihin

1/318

TAQLID & TA’SUB

IMG_5864

 

 

Taqlid dan ta’sub mazhab menjadikan umat Islam kehilangan petunjuk daripada Al-Quran dan Sunnah, yang kemudiannya disusuli dengan kenyataan bahawa pintu ijtihad telah tertutup. Berikutan itu, muncullah kenyataan:

‘ Syariat itu pendapat fuqaha dan pendapat fuqaha itu adalah syariat ‘

Manakala setiap orang yang menyalahi pendapat fuqaha itu dipandang sebagai ahli bid’ah dan perkataannya tidak dapat dipercayai sementara fatwanya tidak boleh diterima.

Antara faktor yang menyebabkan tersebarnya semangat kemunduran ini adalah terdapat usaha yang dilakukan oleh para hartawan dan pihak berkuasa untuk mendirikan sekolah-sekolah, di mana sistem pembelajarannya tertumpu kepada satu mazhab atau beberapa mazhab sahaja. Inilah penyebabnya muncul fanatisme mazhab yang kemudiannya disusuli dengan gerakan anti ijtihad. Semua itu dilakukan untuk mengaut keuntungan sekaligus mempertahankan gaji yang menjadi saraan hidup guru-guru berkenaan!

Pada suatu ketika, Abu Zir’ah bertanya kepada gurunya, al-Bulqini:

“ Apakah yang menyebabkan Sheikh Taqiyuddin al-Subki enggan berijtihad, pada hal beliau sudah memiliki syarat-syarat yang memadai untuk itu?”

al-Bulqini terdiam mendengar soalan itu. Disebabkan gurunya hanya diam sahaja maka dengan agak segan Abu Zir’ah mengatakan:

“ Pada saya, keengganannya untuk berijtihad adalah disebabkan jawatan dan kedudukan yang telah ditetapkan kepada para fuqaha untuk tetap mengikuti mazhab yang empat sahaja. Siapa pun yang berani keluar daripadanya pasti tidak memperoleh kedudukan apa pun, termasuk dilarang daripada memegang jawatan kadi. Malah ramai orang yang tidak mahu mendengar katanya, bahkan dia akan ditohmah sebagai ahli bid’ah.”

Mendengar itu, al-Bulqini pun tersenyum dan bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan oleh muridnya itu.

Terlena dengan taqlid, pengabaian Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup dalam memperoleh hidayah dan munculnya kenyataan bahawa pintu ijtihad telah tertutup, menjadikan umat Islam terjerumus ke dalam lubang katak. Inilah yang diperingatkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم agar umat Islam selalu berwaspada daripada terjerumus ke dalam keadaan seumpama ini.

Di samping itu, munculnya taqlid buta, pengabaian kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber hidayah diiringi dengan kenyataan pintu ijtihad telah tertutup adalah berkait rapat dengan tersebarnya amalan bid’ah, merudumnya panji-panji Sunnah, mundurnya gerakan permikiran, terhentinya kebebasan berfikir dan hancurnya penyelidikan ilmiah. Inilah yang menyebabkan lemahnya keperibadian umat, lenyapnya kehidupan berkarya dan menghambat kemajuan dan perkembangan. Di sinilah orang asing melihat celah-celah kelemahan Islam dan seterusnya menghancurkannya.

Tahun demi tahun berlalu dan abad demi abad silih berganti, namun beginilah keadaan umat Islam yang terus terlena dengan kemunduran ekoran taqlid buta yang diamalkannya. Meskipun sepanjang zaman itu, Allah membangkitkan tokoh pembaharu kepada umat ini untuk menyegarkan kembali ajaran agama Islam, membangunkannya dari kelenaan tidur yang berpanjangan dan mengarahkannya menuju ke jalan yang benar, namun kesedarannya untuk berbenah diri tidak bertahan lama. Mereka kembali semula lalai atau bahkan menjadi lebih teruk lagi.

 

Fiqh Sunnah

1/16-17

Previous Older Entries

Para Ulama Ahlul Hadits

Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi'in dan Tabiut Tabi'in beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم

Abu Abdillah Riduan Khairi

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam. (Bukhari & Muslim)

Mari baca

Just another WordPress.com weblog

Mohd Riduan Khairi

Serulah manusia ke jalah Allah dengan hikmah dan bijaksana

Mashoori's Blog

Menuju Kegemilangan Melalui Dakwah Salafiah

Dr Fathul Bari

Meniti Jalan Nabi dan Para Sahabat